Saturday, May 19, 2012

Kalimat Langit

video

kalimat turun dari langit
berkibar atas sayap makrifat
bersinar gua di atas bukit
memeluk jiwa sarat hakikat

kalimat tergantung di tulang sulbi
roh ditiup ke dalam jasad
seumur hidup ibadah terisi
sebelum nyawa dijemput malaikat

kalimat membebaskan jiwa abdi
terkurung dalam penjara dunia
menjadi penawar hidup tersisih
rahmat bertebar ke alam maya

kau letakkan mentari di tangan kananku
kau letakkan rembulan di tangan kiriku
namun tak kulepaskan kalimat yang satu
sehingga aku sendiri musnah kerananya

laailahaillallah
tiada tuhan melainkan Allah
laailahaillallah
tiada tuhan melainkan Allah
Allah tuhanku
tiada sekutu bagi Mu

Tuesday, May 15, 2012

Tasik Rindu

video

dalam diam ku kesan gerak
permukaan tasik yang berkaca
ditatang riak minda
begitulah tafakurku padamu

dalam gerak ku genang diam
teratai yang dibuai bayu
dibendung asyik kalbu
begitulah munajatku padamu

embun menitis
mengocak gelora di permukaan
luas kasihmu menebar pusaran syahdu
hidupku dicucuri rahmat
gema dan gerak kudrat
memaut damai di tepian

sebutir embun kau titis
seumur hidupku
lemas ditenggelami
tasik rindu

Wednesday, April 25, 2012

Kasih Seorang Seniman

video

kasih seorang seniman
lebih wangi dari mawar
walaupun hati insan
telah padam dan tawar

kasih seorang seniman
lebih bersih dari awan
biarpun halilintar
sering membelah perasaan

kasih seorang seniman
lebih tajam dari pedang
walaupun luka perjuangan
sering menjadi bekalan pulang

kasih seorang seniman
lebih setia dari karang
biarpun ombak lautan
sering menghempas penderitaan

kasih seorang seniman
bukan kasih ubi dan batas
kerana bumi tuhan
lebih berbudi dan luas

kasih seorang seniman
adalah kasih saudara

Friday, March 9, 2012

Sastera Dan Kesedaran Sejarah

MENGISAHKAN KEMBALI CERITERA SINGAPURA
Isa Kamari

PENDAHULUAN
Kertaskerja ini bertujuan memaparkan proses kreatif lima buah novel yang telah saya hasilkan. Novel-novel tersebut adalah Satu Bumi (1998), Atas Nama Cinta (2006), Memeluk Gerhana (2007), Rawa (2009) dan Duka Tuan Bertakhta (2011). Kesemua novel telah pertama kali diterbitkan Ameen Serve Holdings yang berpusat di Kuala Lumpur kecuali Satu Bumi yang diterbitkan Pustaka Melayu di Singapura. 
Terdapat dua persamaan jelas pada kesemua novel di atas. Pertama, novel-novel tersebut berlatarbelakangkan Singapura. Kedua, kelima-lima novel jelas memaparkan beberapa aspek kesedaran sejarah, khususnya sejarah Singapura. Novel-novel itu telah saya rangkumkan dalam satu siri pengkaryaan yang saya gelar Ceritera Singapura.            
Seperti yang kita maklum sejarah rasmi sesebuah negara ditulis oleh mereka yang berkuasa pada satu-satu masa. Siri novel Ceritera Singapura yang telah saya hasilkan menawarkan penceritaan sejarah alternatif berdasarkan kisah-kisah individu atau kelompok yang bukan dari golongan berkuasa. Dengan perkataan lain penceritaan sejarah alternatif ini tumbuh daripada hati nurani masyarakat yang telah melalui sejarah tersebut, sama ada secara langsung atau berdasarkan cebisan cerita yang didengar dan dirakamkan daripada mereka yang mengalaminya.      
Tentunya aspek-aspek kesedaran sejarah ini bukan satu-satunya tumpuan atau subjek yang telah saya kembangkan dalam setiap novel. Maka proses kreatif yang akan saya kongsi tidak membicarakan aspek sejarah sahaja. Terdapat aspek-aspek lain terutama dari sudut agama, politik, sosial dan budaya yang telah saya terapkan dalam penceritaan. Saya berpegang teguh pada pendirian bahawa sebuah novel yang baik harus dikayakan dengan lapisan pengalaman dan pemikiran yang dibentuk suasana kehidupan yang rencam, tidak terjangka dan dinamis. Maka antara lain saya akan memaparkan bagaimana aspek kesedaran sejarah telah disulam dengan aspek kehidupan lain dalam satu paparan naratif berupa novel.            
Sebelum saya mendedahkan satu persatu aspek kesedaran sejarah di sebalik penghasilan setiap novel, saya ingin mengajukan pertalian antara gagasan yang dinamakan ‘sastera’ dengan gagasan yang dinamakan ‘sejarah’. Perbincangan ini perlu kerana terdapat persamaan dan perbezaan di antara kedua-duanya. Siapakah yang dinamakan sasterawan dan siapakah pula yang dinamakan sejarawan? Adakah perbezaan antara mereka begitu ketara atau adakah mereka sebenarnya lebih serupa dan akrab daripada yang kita sangka?
SASTERA DAN SEJARAH
            Naratif wujud dalam kedua-dua sejarah dan sastera. Sejarah adalah sejenis cereka di mana kita hidup dan berhasrat untuk terus wujud, dan cereka pula adalah semacam sejarah yang menawarkan kemungkinan, suatu sejarah hebat di mana butir-butir yang tersedia untuk sebuah karangan adalah lebih luas jangkauannya dan rencam sumbernya daripada yang diandaikan sejarawan. Tiada cereka atau non-cereka sepertimana yang kita fahami. Yang ada hanyalah naratif. Dengan kata lain sejarah adalah sejenis sastera, manakala sastera adalah sejenis sejarah; kedua-duanya memiliki satu ciri umum, iaitu naratif (Hashim 1994).                      
            Dilihat pada asalnya, naratif pada penulisan sejarah dan sastera terasa agak berbeza. Sasterawan bebas menolak aturan plot yang sedia ada dan memulakan penulisannya dengan satu adegan atau watak yang diperkembangkan dengan pelbagai bahan rekaan. Sebaliknya seorang sejarawan memulakannya dengan urutan yang mengandungi perjalanan atau pergerakan masa, yang dalam tiap masa itu pula terdapat peristiwa-peristiwa yang tidak dapat diubah. Biarpun terdapat perbezaan ini, seorang sasterawan dan seorang sejarawan tetap menghadapi masalah yang sama, iaitu memperlihatkan bagaimana suatu situasi tertentu pada permulaan suatu urutan masa boleh membentuk suatu situasi yang berlainan pula pada pengakhirnya (Hashim 1994). Andaian yang mendasari persamaan ini ialah seperti berikut:
i)                            Semua peristiwa yang terlibat mestilah bersesuaian dengan suatu pokok persoalan atau perkara tertentu, seperti manusia, daerah, atau negara;
ii)                          Peristiwa-peristiwa itu mestilah disatukan dalam hubungannya dengan isu tertentu yang menyentuh soal kepentingan manusia, yang nanti akan dapat menjelaskan pula mengapa urutan masa mesti bermula dan berakhir sewajarnya.
            Maka itu, naratif merupakan semacam jambatan atau perantaraan antara sejarah dan sastera yang dapat menjelaskan pengaruh dan pencerminan realiti di dalam kedua-duanya. Aturan atau konvensi naratif bukanlah merupakan hambatan bagi sejarawan dan sasterawan. Malah ia dapat membuka jalan bagi mereka untuk melahirkan pelbagai kemungkinan penceritaan atau pengisahan peristiwa. Sejarawan tidak akan dapat berbuat apa-apa tanpa menguasai aspek tersebut; apatah lagi apabila fakta yang dimilikinya ternyata sedikit. Dengan mengetahui kepentingan atau keistimewaan manusia, seorang sejarawan mempengaruhi sesuatu persoalan tertentu; dengan mengenali sesuatu tentang pemikiran, perasaan dan keinginan manusia, dan juga struktur sosial yang membentuk mereka, sejarawan dapat menemukan hipotesis mengapa sesuatu itu berlaku sedemikian rupa. Daripada hipotesis inilah dia dapat menentukan fakta-fakta mana yang akan dikaji dan bagaimana pula bentuk susunannya yang mungkin dipaparkan. Sasterawan yang bergantung lebih banyak pada dokumentasi yang benar atau realistik akan menjalani proses yang serupa. Dalam hubungan ini, sehingga kini masih belum ada ukuran atau cadangan yang dapat membezakan antara bentuk kaitan peristiwa dalam naratif sastera dengan yang terlaksana dalam sejarah (Hashim 1994).
             Seterusnya, penentuan sesuatu pemerian itu sebagai ‘fakta’ atau tidak, lebih banyak terletak pada konvensi naratif atau gaya pengisahan. Dengan kata lain, unsur atau nilai ‘realiti’ dapat dijelmakan melalui konvensi tersebut, baik dalam sejarah mahupun sastera. Dalam perkembangan penulisan sejarah dewasa ini, ada kecenderungan untuk menerapkan urutan atau bentuk plot yang biasa terpakai dalam sastera. Di sini ternyata bahawa realiti dapat diwujudkan khususnya melalui pembentukan atau pembinaan. Dari itu, oleh kerana realiti tidak boleh dirakamkan, maka realisme telah mati.
            Semua jenis penulisan, semua karangan adalah pembinaan. Kita tidak meniru dunia, kita membina versi-versinya. Tiada mimesis, hanya poesis. Tiada rakaman, hanya pembinaan. Hal ini diperkuatkan lagi pula oleh dakwaan bahawa realiti terdedah dan terpengaruh oleh setiap proses pembinaan yang dilakukan ke atasnya. Dengan demikian realiti juga merupakan suatu rekaan, suatu teks, suatu konvensi linguistik (Hashim 1994).
Dalam konteks ini, kita melihat bahawa realiti diwujudkan dalam sejarah dan sastera bukan sahaja kerana adanya peristiwa dan manusia, malah kehadiran latar tempat dan masa yang jelas, serta gerakan atau tindakan manusia yang terlibat dalam suatu susunan yang masuk akal dan hidup. Maka itu, jika terdapat semacam kesongsangan fakta atau realiti antara naratif yang dikemukakan oleh sejarawan, dengan naratif yang dilukiskan oleh sasterawan yang berlaku pada satu-satu masa, di situlah terdapat kemungkinan campurtangan pengarang yang didorong pemikiran ideologi atau utopia. Hal ini juga berlaku jika pengarang sengaja menghapuskan atau merosakkan fakta sejarah dalam karyanya.
Dalam konteks penulisan novel khususnya, naratif ialah penyusunan peristiwa yang membentuk cerita. Pola atau struktur yang membentuk naratif mempunyai fungsi politik, sosial dan psikologi. Struktur naratif ini mungkin sama dan mungkin berbeza antara satu dengan yang lain. Namun yang pasti ialah naratif menjadi struktur dasar penulisan. Sebuah novel merangkumi bentuk budaya yang agak luas dan menyeluruh jangkauannya. Struktur naratif dalam novel mengandungi mekanisme plot yang sangat teratur dan sistem rujukan sosial yang menyeluruh, yang bergantung kepada institusi-institusi dalam sesebuah masyarakat serta kemutlakan dan kekuasaannya. Dengan perkataan lain, naratif dapat memberikan gambaran sistem dan budaya politik, serta keadaan sosial yang berkuatkuasa pada satu-satu masa dalam sebuah masyarakat atau negara.
Selain itu, sebuah novel juga adalah bentuk budaya yang menguatkan, menghalusi serta memperjelaskan kemutlakan status quo. Aspek penting dalam pemerkasaan kemutlakan sebuah novel itu, bukan saja bertalian dengan kuasa sosial dan pemerintahan, tetapi dipaparkan sebagai suatu yang menjadi kebiasaan dan berkuat-kuasa, iaitu saling membenarkan dalam pembentangan sebuah naratif. Suatu paradoks akan hanya terjadi jika seseorang itu lupa bahawa inti sebuah subjek naratif adalah gejala sosial yang murni, dan oleh itu mengandungi kemutlakan sejarah dan sosial (Said 1993). Dengan perkataan lain, menerusi penelitian terhadap struktur naratif dalam novel, kita dapat mengukur sejauh mana pengarang telah memperkuatkan atau menentang sejarah atau status quo sebuah sistem sosial dan pemerintahan sesebuah negara. Begitu juga kesan sejarah ke atas cerita dapat ditelusuri untuk melihat sama ada sejarah telah membentuk cerita atau cerita cuba merubah sejarah.
Penyesuaian sejarah, pensejarahan masa silam serta penceritaan masyarakat yang memberi tenaga kepada novel, memungkinkan pembentangan dan pembentukan ‘ruang sosial’ dalam teks, iaitu ruang yang digunakan bagi kegiatan sosial dan politik.
Yang mendasari ruang sosial adalah wilayah, tanahair, daerah geografik serta persaingan budaya. Untuk memikirkan perihal tanah seberang, untuk menjajahinya, untuk menduduki atau mengasingkannya, semua ini berlaku kerana tanah. Pengertian geografik ini mengajukan gambaran yang imaginatif, berpeta, melibatkan institusi ketenteraan, ekonomi dan sejarah, atau secara umumnya melibatkan budaya. Ia juga memungkinkan pembinaan segala macam pengetahuan yang semuanya bergantung kepada ciri yang tertanggap serta akhir tuju daerah geografik tersebut (Said 1993).
Implikasinya ialah, pertentangan budaya antara kelompok masyarakat berlainan bangsa dalam satu daerah geografik misalnya, atau pertalian serta ketegangan antara ahli-ahli suatu kelompok masyarakat yang sama bangsa, yang terpisah oleh daerah geografik yang berlainan, juga dapat dikesan dan dianalisis melalui gambaran ‘ruang sosial’ yang terpancar dalam naratif, sama ada dalam bentuk pembentangan sejarah atau lukisan sastera.
Tambahan pula, tanggapan pengarang terhadap sesebuah negara, tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh cerita dan tulisan mengenai negara tersebut yang berinteraksi secara kreatif dengan keperluan dan kelaziman sebuah naratif serta kebijaksanaan pengarangnya sendiri dan juga sejarah. Di sinilah pengaruh sebuah naratif ke atas naratif yang lain dapat dijejaki. Kesinambungan atau kesongsangan pegangan politik atau sosial seorang pengarang melalui novel-novel yang dicipta pada masa yang berbeza, atau pengaruh novel seorang pengarang ke atas novel pengarang yang lain, dapat disusuri melalui pertalian yang dijalin antara struktur naratif dalam novel-novel tersebut.
Selain itu, sebuah karya sastera, terutama yang membicarakan sebuah negara, mengandungi aspek-aspek dalaman yang tidak teratur dan latarbelakang politik yang agak mampat. Namun di sebalik kerumitan yang tidak dipertikaikan itu, sebuah karya sastera adalah pencernaan atau suatu usaha memudahkan, atau satu rangkaian pilihan yang dibuat pengarang yang sifatnya lebih teratur dan lebih jelas daripada realiti politik. Dari itu, semakin bercantum, becampur atau rumit sebuah teks itu, usaha menafsirkannya harus semakin cergas dan rinci.
Setiap teks mengandungi hikmah dan pengajarannya tersendiri, sepertimana juga setiap daerah di dunia ini mengandungi pengalaman yang bertindanan dan sejarah konflik yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain. Memang setiap pembacaan teks tidak harus memberi gambaran yang umum hingga identiti sebuah teks, pengarang atau gerakan menjadi terkikis. Pada masa yang sama, ia harus membenarkan segala yang pernah berlaku, atau segala yang mungkin berlaku dalam sebuah karya atau ke atas seorang pengarang, agar dijadikan bahan perbincangan dan sanggahan.
Dalam pembacaan sebuah teks, kita harus terbuka kepada segala yang terkandung di dalamnya atau apa saja yang mungkin dikecualikan pengarang daripadanya. Setiap karya budaya adalah wawasan sesuatu ketika, dan kita harus menggandingkan visi tersebut dengan segala perubahan pandangan yang mungkin dicetuskannya pada masa hadapan. Tambahan pula, seseorang itu harus menghubungkan struktur naratif dengan segala idea, konsep dan pengalaman yang mendukungnya.
Namun demikian, kita tidak boleh, dan tidak harus memberikan kuasa mutlak legislatif serta politik kepada novel. Novel sebenarnya menyumbang kepada proses politik yang sangat kecil dan lambat, yang menjelaskan, menguatkan serta kadangkala mendukung tanggapan dan sikap terhadap sesebuah negara (Said 1993). Justeru itu adalah penting kita meneliti suatu rangkaian novel yang tercipta pada masa yang berbeza dan oleh pengarang yang berlainan untuk mendapatkan gambaran yang lebih meyeluruh dan jitu terhadap keadaan sosial dan politik yang mewarnai budaya sesebuah masyarakat atau negara.
Idea, konsep serta pegangan pengarang mengenai masyarakat dan negara sering terpancar melalui watak-watak dalam karya, terutama wira dan wirawati. Wira atau wirawati dalam sebuah novel mempamerkan keresahan serta kesungguhan masyarakat, dan mereka disodorkan dengan pengalaman yang menjelaskan kepada mereka batas-batas hasrat, usaha dan keterampilan diri. Justeru itu novel-novel sering berakhir dengan kematian wira atau wirawati kerana hasrat mereka tidak dapat menepati keadaan yang sedia ada, atau tidak bersesuaian dengan kebangkitan protagonis ke puncak kestabilan. Implikasinya ialah menerusi kajian terhadap watak dalam karya, kita dapat mencungkil gambaran hasrat masyarakat serta pegangan pengarang yang terserlah atau tersembunyi dalam naratif.
KESEDARAN SEJARAH DALAM NOVEL
SATU BUMI
Cetusan
            Satu Bumi dicetuskan suatu peristiwa peribadi yang mungkin dianggap remeh. Ketika itu anak perempuan saya yang berumur lapan tahu pulang dari sekolah dalam keadaan menangis. Bila ditanya mengapa dia menangis, katanya kawannya mengejeknya ‘Cina’. Saya terkejut dengan penjelasannya namun bila saya renungkan permasalahan tersebut saya memahami mengapa rakan-rakan sekolahnya mengatakan sedemikian. Memang kulit anak saya cerah. Mentelahan ibunya berdarah campuran Cina dan Melayu. Ibu mertua saya adalah seorang Cina yang telah diambil keluarga Melayu pada zaman pendudukan Jepun. Anak saya bertanya beberapa kali sama ada dia Cina. Jelas jiwanya terganggu. Bagi menenangkannya saya mengatakan tidak. Dia keturunan Melayu. Saya mendaftarkannya sebagai orang Melayu dalam surat kelahirannya. Dia berhenti menangis. Namun saya sendiri masih diganggu pertanyaan anak saya itu.
Gugatan
            Maka saya tertanya-tanya apakah yang membentuk jatidiri seseorang? Adakah ia bersumber daripada keturunannya, perangainya, bahasa yang digunakannya, budaya yang diwarisinya, agama yang dianutinya, lingkungan hidupnya atau sejarah hidupnya? Bagaimanakah saya mendifinisikan kemelayuan diri saya? Ternyata pada saat itu saya belum pernah memikirkannya secara mendalam.
Penggalian
            Maka saya mengajukan permasalahan berat itu kepada isteri saya. Dia tersenyum lalu menyerahkan draft tesis Phd yang sedang disiapkannya berjudul Trends in Malay Political Leadership (Sukmawati 1995) kepada saya sambil tersenyum. Pada saat itu saya berasa agak jengkel dan terfikir bahawa isteri saya kurang peka terhadap gugatan minda dan jiwa yang sedang saya alami. Namun setelah membaca tesis beliau saya terjumpa satu konsep yang telah meleraikan kekusutan minda dan kekalutan jiwa saya. Konsep ‘budaya politik’ yang digarapnya telah menawarkan jalan keluar kepada pencarian saya.
            Budaya politik lazimnya dimengertikan sebagai rangkaian sikap, kepercayaan dan perasaan mengenai politik yang wujud dalam sebuah negara pada satu-satu masa. Ia dibentuk oleh sejarah sosial, ekonomi dan politik sebuah negara atau masyarakat. Ia berupaya mempengaruhi perjalanan serta masa hadapan negara atau masyarakat tersebut. Budaya politik mengarahkan dan membentuk tata hidup, perilaku dan juga etos bangsa (Haryatmoko 2003).
            Saya tersentak setelah memahami bahawa keperibadian masyarakat serta individu boleh dipengaruhi dan dibentuk budaya politik yang berkuatkuasa pada satu-satu masa. Selama itu saya hanya beranggapan jatidiri seseorang hanya bergantung pada keturunan, bahasa dan budaya yang dihayati seseorang.
            Maka saya bertanya kepada ibu mertua saya mengenai sejarah hidupnya ketika dia diambil keluarga Melayu sebagai anak angkat semasa pendudukan Jepun. Secara kebetulan pada saat itu saya juga sedang membaca biografi Ya’acob Mohamed (A Ghani Hamid & Sulaiman Jeem 1990). Maka terbentuklah beberapa gagasan dalam fikiran saya bahawa keperibadian masyarakat Melayu Singapura telah terbentuk daripada peristiwa-peristiwa yang dilaluinya sejak bersama Malaysia dan kemudian terpisah daripadanya. Timbul pertanyaan dalam diri sama ada keperibadian orang Melayu Singapura mula mengalami perubahan kerana trauma perpisahan yang menyebabkan pertukaran status daripada majoriti kepada minoriti di Singapura.
Jalinan
            Tiba-tiba timbul idea untuk menulis novel yang menjalinkan pengalaman hidup ibu mertua dan riwayat Ya’acob Mohamed dalam bentuk novel romantik yang tragis berpandukan gagasan ‘budaya politik’ yang terbentuk daripada sejarah sosial, ekonomi dan politik masyarakat. Latarbelakangnya ialah zaman pendudukan Jepun hingga ke peristiwa tragis pemisahan Singapura daripada Malaysia. Kiranya anak saya telah menjadi guru saya dalam usaha saya untuk menjejaki dan mengenali jatidiri orang Melayu di Singapura.
Pengertian
            Melalui Satu Bumi saya mengharapkan pembaca dapat memahami bahawa budaya politik yang dibentuk pristiwa-peristiwa sejarah berupaya mencorak keperibadian masyarakat dan jatidiri seseorang. Antara lain melalui pembentukan watak-watak dalam novel, saya cuba menawarkan gagasan bahawa prinsip hidup serta kepercayaan sesorang, khususnya Islam adalah lebih penting daripada keturunannya.
            Dari aspek kesedaran sejarah saya ingin menganjurkan agar masyarakat Melayu Singapura tidak terus dibelenggu beban peristiwa perpisahan Singapura daripada Malaysia. Sebaliknya kita harus berupaya mencorak sejarah sendiri dengan berdikari walaupun kini tergolong sebagai minoriti.
ATAS NAMA CINTA
Cetusan
            Ketika itu saya sedang membantu isteri saya dalam satu tugasan untuk menyiapkan bahan pameran di bawah naungan Arkib Negara Singapura. Saya terpandang beberapa keping gambar yang menimbulkan tandatanya. Saya tertegun melihat gambar seorang gadis kulit putih memeluk erat tubuh seorang wanita Melayu. Minat saya bertambah mendalam apabila terlihat gambar perkahwinannya dengan seorang pemuda Melayu. Saya membaca ringkasan kisah mereka dan jiwa saya tergugah.
Gugatan
            Saya bertanyakan kepada diri bagaimanakah gadis kulit putih bernama Maria Hertogh menjadi begitu rapat dengan wanita Melayu bernama Aminah? Apakah kisah cinta yang terjalin antara Nadra atau Maria dengan Mansoor Adabi? Apakah atau siapakah pula yang menyebabkan berlakunya tragedi dalam hidup mereka yang memuncak lalu menjadi rusuhan kaum pada Disember 1950? 
Penggalian
            Lalu saya mula membaca beberapa tulisan mengenai kisah hidup gadis Belanda bernama Maria Hertogh atau Nadra yang ditulis Tom Eames Hughes berjudul Tangled World serta The Nadra Tragedy karya Haja Maideen. Saya dapat mengesan perbezaan pada sikap kedua-dua pengarang tersebut. Tom Eames melihat rentetan peristiwa dari kacamata seorang pegawai kolonial atasan manakala Haja Maideen pula menawarkan sudut pandangan peribumi. Selain daripada itu saya mewawancara beberapa ‘orang lama’ bagi mendapatkan butir-butir pengalaman dan pengamatan peribadi mengenai rangkaian peristiwa yang telah meninggalkan parut hodoh pada sejarah Singapura yang juga melibatkan Negara Jepun, Indonesia, Malaya serta Belanda.
Jalinan
            Saya mendapati kisah hidup Nadra berwarna-warni, dramatik dan subur dengan unsur romantik dan tragik. Saya berasa tidak perlu merubah fakta sejarah namun berusaha untuk menghidupkan watak dan suasana berdasarkan maklumat sejarah yang kering dan kadang-kadang berat, terutama yang melibatkan perbicaraan di mahkamah.
            Dari segi penceritaan, saya berusaha memilih bahan sejarah yang penting dan signifikan sahaja serta menggunakan bahasa mudah. Tujuan saya ialah menimbulkan gugatan pada minda dan jiwa dengan serta-merta agar timbul keinginan kepada pembaca untuk menggali lebih dalam kisah Nadra yang menyayatkan hati. Saya juga ingin menguji sejauh mana kisah yang dianggap sensitif ini dapat diterima sebagai pengajaran oleh masyarakat berbilang bangsa dan budaya di Singapura pada masa kini.
Pengertian
            Melalui Atas Nama Cinta saya mengharapkan agar pembaca akan sedar bahawa prejudis serta minda tertutup boleh menimbulkan konflik dahsyat kepada masyarakat yang jatuh dan bangun mengikut keupayaan kepimpinannya. Selain daripada itu kita harus menyedari bahawa media memainkan peranan penting dalam memupuk kesejahteraan masyarakat. Media yang tidak bertanggungjawab boleh menimbulkan kesangsian, salah faham dan huru hara kepada masyarakat, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan tanggapan dan paparan cetek terhadap isu-isu politik yang berbaur dengan agama.
            Dari sudut kesedaran sejarah saya cuba membetulkan beberapa tanggapan yang selama ini disalurkan dan diinstitusikan pihak penjajah. Misalnya saya telah berusaha mengembalikan maruah bangsa Melayu dengan memberi gambaran lebih tepat mengenai watak Aminah yang selama ini diburuk-burukkan penjajah. Beliau sebenarnya adalah seorang peniaga dan karyawan yang berkebolehan dan bukan perempuan Melayu yang lemah dan jahat seperti nenek kebayan yang digambarkan pihak Belanda. Begitu juga Nadra atau Maria sebenarnya bukan menjadi mangsa ibu angkatnya tetapi adalah mangsa prejudis ayah serta ibu kandungnya yang memandang rendah terhadap bangsa Melayu yang dijajahi mereka ketika itu.
MEMELUK GERHANA
Cetusan
            Saya mendapati bahawa tidak terdapat banyak buku Melayu yang sesuai dijadikan bahan bacaan kanak-kanak peringkat remaja, terutama yang membicarakan kehidupan orang Melayu di Singapura. Maka saya terfikir adalah baik jika saya merakamkan sebahagian daripada pengalaman hidup saya semasa kecil dalam bentuk cerpen untuk dijadikan bahan bacaan hiburan sekurang-kurangnya, terutama kepada anak-anak saya sendiri. Kebetulan pada masa itu saya telah bertemu kembali dengan rakan-rakan semasa di sekolah rendah. Segala peristiwa manis, lucu dan pahit ketika remaja seperti manangkap labah-labah, main dalam longkang, mencuri ayam, mengintai pasangan berasmara, cinta monyet dan sebagainya muncul dalam ingatan.
Gugatan
            Pada masa yang sama jiwa saya terganggu apabila menyedari bahawa kanak-kanak yang sezaman dengan anak-anak saya kurang berpijak pada realiti seperti mana yang telah saya alami semasa membesar di kampung. Kanak-kanak zaman sekarang lebih terpukau dengan kilauan dan kegemilangan dunia siber dan media yang saya anggap palsu dan melalaikan.
            Saya juga menyedari bahawa dari sudut dokumentasi, tidak terdapat banyak tulisan yang memaparkan sejarah sosial masyarakat Melayu Singapura sejak kemerdekaan hingga ke zaman 1980an. Keadaan ini sangat membimbangkan kerana pada pendapat saya, masyarakat yang tidak kenal sejarahnya sendiri adalah masyarakat yang tidak berakar serta goyah keperibadiannya dan akan mudah mengalami keterasingan dalam kehidupan, terutama dalam keadaan Singapura yang sangat terdedah kepada pengaruh global. Maka saya terpanggil untuk menyumbangkan sesuatu bagi menambahkan korpus tulisan yang menyangkut sejarah sosial masyarakat saya sendiri.
Penggalian
            Lantas saya mula menceduk pengalaman hidup saya sendiri sejak zaman sekolah rendah hingga ke zaman remaja. Peristiwa-peristiwa semasa hidup di Kampung Tawakal yang dikelilingi perkuburan Cina saya tumpahkan kembali dalam kisah. Peralihan hidup ke rumah pangsa HDB di Ang Mo Kio saya ceritakan dengan sejujurnya. Cerpen-cerpen yang telah saya siapkan sebelum itu saya kembangkan sebagai novel. Selain daripada itu sebagai latarbelakang penceritaan, saya merujuk dan merakamkan kembali peristiwa-peristiwa dunia dan tanahair seperti penubuhan Asean, pembunuhan Kennedy, inflasi yang terbit daripada krisis minyak serta revolusi Islam di Iran, yang sedikit sebanyak telah menjadi topik perbincangan antara penduduk kampung dan nyata telah mempengaruhi perjalanan hidup kita semua ketika itu.
Jalinan
            Dari segi penceritaan saya menulisnya dengan jujur berdasarkan urutan pengalaman saya sendiri. Saya hanya membuat perubahan pada fakta atau watak demi melindungi maruah serta keselamatan orang-orang yang terlibat dalam cerita. Bagi mencapai matlamat ini sewajarnya saya mencipta watak gabungan atau menggambarkan latarbelakang lain menurut keperluan. Saya menggunakan bahasa mudah agar cerita berjalan dengan lancar.
Pengertian
            Memeluk Gerhana merupakan karya yang paling akrab dengan diri saya sendiri. Malah ia boleh dianggap sebagai novel autobiografi. Antara kesan yang saya harapkan daripadanya ialah gambaran bahawa lingkungan yang lemah bukanlah hambatan kepada hasrat mencapai cita-cita tinggi dalam hidup. Dalam hal ini persahabatan yang murni dapat mengukuhkan keperibadian seseorang dan mendorongnya mencapai kemajuan dalam hidup. Dari sudut kenegaraan, saya telah menggambarkan bahawa keamanan adalah sangat penting bagi menjamin masa hadapan yang makmur kepada rakyat.
            Dari aspek kesedaran sejarah saya telah berusaha membongkar secebis peristiwa yang telah tertimbus dalam lipatan sejarah rasmi. Kisah penangkapan sekumpulan pelajar yang didakwa terlibat dalam komplot subversif yang mengancam keselamatan dalam negeri telah saya ceritakan sejujurnya. Saya tahu saya menghadapi risiko yang besar apabila bertindak sedemikian kerana saya telah menandatangani dokumen merahsiakannya, namun dorongan untuk menceritakan peristiwa yang benar telah mengatasi segala pertimbangan. Lagipun menurut pertimbangan saya, peristiwa yang berlaku lebih daripada 30 tahun itu tidak lagi menjadi maklumat yang sensitif bagi keselamatan negara malah berpotensi dijadikan pengajaran kepada semua pihak. Alhamdulillah, sejauh ini saya tidak mengalami sebarang kesulitan daripada pihak berkenaan, namun kewaspadaan masih saya amalkan dalam ucapan dan tindakan selanjutnya.
RAWA
Cetusan
            Seorang rakan dari NUS telah berkongsi tulisan akademiknya mengenai Orang Seletar pada suatu ketika. Saya tertegun membacanya dan cuba mengimbas sama ada sebarang karya kreatif pernah ditulis pengarang Melayu Singapura mengenai Orang Seletar atau peribumi asal sesebuah negara. Sejauh yang saya ingat, tidak pernah. Yang terdekat adalah novel Darah Kedayan tulisan Harun Aminurrashid yang menjadi mentor saya dalam penghasilan karya berunsur sejarah. Maka timbul keinginan untuk menulis novel mengenai sejarah peribumi asal Temasek yang kini menjadi misteri.
Gugatan
            Antara pertanyaan yang timbul dalam benak saya ialah siapakah yang sampai dahulu ke Singapura? Mengapakah sejarah mereka dilupakan? Apakah yang kini terjadi kepada mereka? Adakah kewujudan mereka begitu enteng sehingga jatidiri dan budaya mereka kini dilupakan sejarah samasekali? Tiadakah sebarang sumbangan daripada cara hidup mereka yang boleh kita jadikan sebagai pengajaran dalam mengharungi kehidupan moden masakini? Jawapan pada pertanyaan-pertanyaan ini begitu genting kerana saya menyedari tentang usaha pihak tertentu untuk menulis kembali sejarah Singapura demi menguatkan justifikasi mereka bahawa Singapura sejak dari dahulu merupakan pulau para pendatang. Maka status peribumi asal pulau ini telah mula dipersoalkan dan dicabar mereka.
Penggalian
            Maka saya mula membaca tulisan-tulisan akademik mengenai Orang Laut, Orang Seletar dan Orang Biduanda Kallang yang telah menjadikan Temasek dan perairan sekitarnya sebagai tempat menyara kehidupan. Kawasan Selat Tebrau ternyata menjadi jantung kehidupan mereka yang berulang-alik di dalam pau kajang antara Temasek, Johor dan kepulauan Riau.
            Saya juga menggali sejarah Singapura sebelum dan sesudah kedatangan Raffles di samping menziarahi tempat-tempat yang menjadi lokasi mereka berkumpul atau menetap seperti Sungai Seletar, Sembawang serta beberapa tempat lain di pantai utara Singapura dan pantai Selatan Johor.
Jalinan
            Kisah dalam novel Rawa melibatkan tiga generasi. Saya menjejaki asimilasi kehidupan mereka dengan kehidupan orang Melayu dari sudut sosial, politik, ekonomi, agama dan budaya dari tahun-tahun sebelum kemerdekaan Singapura hingga ke tahun-tahun 1980an. Asimilasi tersebut ternyata menimbulkan ketegangan kepada protagonis kerana dia telah menyaksikan cara hidupnya perlahan-lahan pupus dan digantikan dengan cara hidup manusia kota yang semakin terasing daripada alam. Firasat yang menjadi panduan hidupnya ketika berkayuh dalam pau kajang kini digantikan pendekatan rasional dan bercongak-congak seperti yang diamalkan anak serta menantunya yang kadang-kadang mengorbankan keharmonian antara manusia dengan alam. Hanya kepada cucunya dia menaruh harapan menurunkan beberapa pengajaran agar cara hidupnya tidak hilang samasekali.
Pengertian
            Menerusi Rawa saya telah berusaha mengingatkan kita orang Melayu bahawa pembangunan juga mengandungi risiko dan berupaya menimbulkan akibat buruk jika dilakukan secara terburu-buru tanpa menghiraukan kesannya kepada cara hidup yang selama ini menjadi warisan dan sandaran. Selain daripada itu, kita juga harus selalu diingatkan bahawa sesuatu yang selama ini menjadi hak akan hilang atau dirampas pihak tertentu jika kita tidak sentiasa berwaspada dan cekal serta tekal mempertahankan hak tersebut.
            Dari sudut kesedaran sejarah, saya telah berusaha menawarkan secebis sejarah Singapura dari perspektif peribumi asal yang kini telah dilupakan. Cara hidup mereka yang sederhana masih berupaya memberikan pengajaran kepada manusia kota canggih seperti kita jika kita sudi mempelajarinya dan mencontohinya secara ikhlas.
DUKA TUAN BERTAKHTA
Cetusan
            Saya membaca sebuah buku tipis berjudul Grand Saint of Singapore karya Dr Ghouse Khan Suratee yang mengisahkan riwayat hidup ulama tersohor Habib Nuh Alhabshi. Saya tersentak apabila terbaca bahawa beliau telah datang ke Singapura dari Pulau Pinang beberapa bulan setelah Stamford Raffles menemukan Singapura pada 1819. Kebetulan saya sedang membaca karya Dr Hadijah Rahmat berjudul Antara Dua Kota yang memaparkan pengaruh Munsyi Abdullah ke atas pulau kecil ini pada zaman yang sama.
Gugatan
            Maka timbul satu pertanyaan yang berdasarkan andaian bahawa mungkin ada sebab khusus Habib Nuh menyusul Raffles ke Singapura. Andaian ini dikuatkan dengan atsar bahawa Habib Nuh sengaja dijemput seorang ahli sufi Naqshbandi bernama Habib Salim Bin Abdullah Ba Sumayr yang bermastatutin di Singapura ketika itu.
            Kebelakangan ini pula jiwa saya sering terganggu dengan keadaan di mana bilangan orang Melayu semakin berkurangan di Singapura. Kira-kira lima belas tahun yang lalu bilangan orang Melayu adalah sekitar 17% keseluruhan penduduk Singapura. Dikhabarkan bahawa kini bilangan orang Melayu adalah sekitar 13% daripada lima setengah juta rakyat Singapura. Semakin ramai pendatang, terutama dari negara Cina, India dan Filipina yang kini diberi status kerakyatan atau penduduk tetap. Secara alamiah saya berasakan kewujudan saya sebagai orang Melayu di Singapura sedikit sebanyak telah terancam.
            Selain daripada itu tiada karya sastera yang menceritakan kisah pembukaan Singapura oleh Stamford Raffles dari perspektif orang Melayu tempatan sejauh ini. Sejarah pembukaan Singapura yang kita kenal telah ditulis pihak berkuasa dan menggambarkan Raffles sebagai seorang wira yang harus disanjungi rakyat. Namun daripada sedutan beberapa tulisan yang saya baca, Raffles telah dipaparkan sebagai watak yang bertentangan dengan tanggapan tersebut. Sebagai penulis saya terpanggil untuk mengkajinya dengan lebih mendalam dan menulis novel mengenainya.
Penggalian
            Maka saya mula menguliti beberapa versi sejarah kedatangan Raffles ke Singapura pada 1819. Selain daripada itu saya mendalami Hikayat Abdullah serta Kisah Pelayaran Abdullah di samping buku-buku yang menawarkan perspektif baru mengenai Stamford Raffles yang dihasilkan almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas serta Dr Syed Muhd Khairudin Aljunied. Saya juga meneliti beberapa buku yang menyentuh idea-idea pembangunan dan pemikiran orang Melayu karya Dr Shaharuddin Maaruf serta Dr Hadijah Rahmat. Saya terkejut namun berasa beruntung apabila mengetahui bahawa Wak Cantuk yang telah menjadi legenda keperwiraan orang Melayu Singapura juga hidup sezaman dengan Raffles, Farquhar, Habib Nuh, Munsyi Abdullah, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman.
            Watak-watak sejarah tersebut menawarkan bahan yang subur dan menarik bagi penceritaan novel kerana masing-masing mewakili pihak tertentu dan saling mempengaruhi dalam perkembangan sejarah orang Melayu Singapura: Raffles dan Farquhar sebagai penjajah, Habib Nuh mewakili golongan ulama agama, Munsyi Abdullah adalah contoh golongan intelektual, Wak Cantuk mewakili golongan pejuang rakyat, Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman pula mewakili golongan istana.
Jalinan
            Maka saya mengisahkan kembali cerita pembukaan Singapura mengikut urutan kronologi. Sebahagian daripada interaksi antara watak-watak memang benar-benar terjadi menurut laporan sejarah. Sebahagian daripadanya saya reka berdasarkan imaginasi yang dibentuk oleh kemungkinan yang tidak boleh ditolak begitu sahaja, misalnya hubungan antara Wak Cantuk dengan watak-watak lain seperti Sultan Hussein dan Habib Nuh yang tidak pernah dirakamkan di mana-mana catatan sejarah. Dari segi pembinaan watak, saya cuba mencoraknya berdasarkan butir-butir maklumat sejarah yang betul. Namun terdapat juga situasi di mana saya membentuknya mengikut intervensi perasaan saya sendiri, misalnya pembinaan watak komik Sultan Hussein bagi meredakan ‘kemarahan’ saya terhadapnya kerana begitu jahil, lemah dan rakus sehingga mudah menjadi mangsa penipuan dan eksploitasi penjajah.
            Dari segi paparan dapatan daripada kajian akademik, saya cuba menggambarkannya mengikut peristiwa yang dilaporkan melalui sejarah. Namun terdapat juga situasi di mana saya mencipta konteks baru bagi mengemukakan maklumat penting, misalnya sebahagian besar daripada dapatan Dr Syed Khairuddin Aljunied mengenai watak dan sikap Raffles terhadap orang Melayu dan Islam, saya rangkumkan dalam bentuk surat daripadanya kepada Residen Crawfurd yang tidak pernah terjadi dalam sejarah.
            Selain daripada itu, bahan sejarah yang berat saya ringankan dengan meminjam watak-watak lucu ikonik Bujang Lapuk. Watak-watak tersebut berfungsi sebagai narator dan mewakili rakyat biasa. Dengan tidak secara langsung saya ingin mengingatkan pembaca bahawa karya ini adalah cereka walaupun bertulangbelakangkan sejarah. Saya berusaha bersikap jujur terhadap fakta sejarah di samping menawarkan naratif yang ditatang imaginasi.
Pengertian
            Menerusi Duka Tuan Bertakhta saya cuba mendedahkan beberapa penipuan sejarah seperti keadaan Singapura yang digambarkan sebagai sarang lanun yang hanya didiami orang Laut ketika kedatangan Raffles, padahal ramai orang Melayu telah mendiami pulau yang menjadi pusat dagangan rantau ini ketika itu. Begitu juga saya berusaha mendedahkan watak Raffles yang membenci Islam dan sebenarnya bersifat licik dan tidak berhati perut terhadap rakyat yang dijajahnya terutama orang Melayu. Saya mengimbangi watak Raffles dengan watak Farquhar yang lebih rapat dan mesra dengan rakyat agar penceritaan saya tidak dianggap anti British atau anti penjajah.
            Selain daripada itu saya telah mendedahkan strategi Freemason di rantau ini yang berpusat di Singapura dan diterajui Raffles sendiri sejak beliau berada di Batavia, Bengkahulu dan Pulau Pinang. Saya cuba memberi gambaran bahawa strategi Freemason yang telah berakar dalam kehidupan orang Melayu sejak dahulu hingga kini telah membawa kesan yang buruk terhadap akidah dan cara hidup orang Melayu yang beragama Islam. Saya sedar langkah saya ini mungkin akan menyebabkan karya saya digolongkan sebahagian pembaca sebagai karya spekulatif atau hanya berdasarkan teori konspirasi yang tidak harus diambil berat tentangnya, namun saya tekal dan yakin telahan serta penceritaan saya bukan sekadar omongan kosong dan harus direnungkan secara mendalam oleh pembaca. Harapan saya ialah agar Duka Tuan Bertakhta mampu menawarkan sejarah alternatif pembukaan Singapura yang bernas dan mampu mengimbangi sejarah rasmi yang telah disodorkan kepada kita sejak sekian lama.
            Sebagai matlamat terakhir, saya mengharapkan novel ini sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah pelestarian kewujudan orang Melayu di Singapura melalui jejak sejarah sosial, jurus perjuangan, pemerkasaan budaya serta perkembangan pemikiran yang dikemukakan melalui naratif.
KESIMPULAN
            Saya mengharapkan daripada perbincangan di atas kita dapat menghargai bahawa pertalian antara sejarah dan sastera adalah sangat akrab kerana kedua-duanya melibatkan pembinaan naratif bagi memaparkan keadaan, hasrat, perjuangan, kekecewan mahupun kejayaan masyarakat. Dengan perkataan lain kedua-duanya menggambarkan ‘keberadaan manusia’ pada suatu periode, zaman, era atau milieu. Bezanya sejarah rasmi lazimnya ditulis pihak yang berkuasa manakala sejarah yang dipaparkan melalui sastera pula timbul daripada hati nurani masyarakat.
            Ruang sosial utama yang menjadi arena di mana watak-watak berinteraksi pada kesemua novel adalah Singapura. Hubungan Singapura dengan ruang sosial yang lain seperti negeri-negeri di Malaysia serta Indonesia, negara Jepun, Belanda dan Britain yang menjadi penguasa penjajah, malah Iran juga dipaparkan dalam novel. Periode atau zaman di mana peristiwa sejarah dikembangkan pada siri Ceritera Singapura ini bermula sebelum pembukaan Singapura hingga ke 1980an. Subjek utama penceritaan adalah masyarakat Melayu Singapura. Sedikit sebanyak perkembangan sejarah sosial masyarakat Melayu Singapura dapat dijejaki melalui novel-novel yang telah dibicarakan.
            Aspek kesedaran sejarah yang disulam dalam karya sastera juga pelbagai. Dalam Satu Bumi kita dipelawa supaya tidak terus dibelenggu beban sejarah yang pahit tetapi harus berani berdikari dan menghadapi masa hadapan dengan cekal dan tekal. Dalam Atas Nama Cinta kita diajak mengembalikan maruah bangsa dengan membetulkan rakaman sejarah yang ternyata didasarkan prejudis dan minda tertutup. Dalam Memeluk Gerhana kita dianjurkan supaya bersikap berani mendedahkan secebis sejarah yang tertimbus demi menyerlahkan kebenaran. Dalam Rawa kita diingatkan supaya tidak melupakan asal-usul dan menilai kembali sumbangan daripada cara hidup peribumi asal yang telah dilupakan sejarah. Dalam Duka Tuan Bertakhta kita digugah dan diingatkan agar sentiasa peka terhadap strategi golongan tertentu yang sentiasa mahu melenyapkan sejarah serta kewujudan orang Melayu di Singapura. Di samping itu novel ini menawarkan sejarah alternatif yang dapat dijadikan sandaran untuk mengembalikan semangat dan maruah bangsa yang sering tercabar dan diperlekehkan mereka.
            Secara am, kelima-lima novel di atas telah sedikit sebanyak memaparkan penceritaan yang mencabar atau menentang arus sejarah pada ketika itu. Hampir kesemua wira dan wirawati dalam novel adalah watak-watak yang menentang atau berjuang mengatasi bendungan status quo atau cuba menampilkan keperibadian yang bukan stereotaip. Dalam Satu Bumi Tan Swee Mei berusaha keras mempertahankan kepercayaannya dalam lingkungan yang mencabar manakala Jati berusaha menentang penjajahan agar manusia seperti Ilham dapat berdikari dalam suasana yang merdeka. Dalam Atas Nama Cinta Cik Aminah serta Encik Majid juga berusaha membebaskan orang yang dicintai dan menjadi tanggungjawab mereka daripada cengkaman institusi penjajah demi menegakkan keadilan, hak dan maruah bangsa. Dalam Memeluk Gerhana Ilham dijadikan tawanan keselamatan dalam negeri kerana pegangan agamanya yang telah disalahertikan pihak penguasa. Dalam Rawa, Rawa berusaha menurunkan sebahagian daripada cara hidup Orang Seletar kepada cucunya, Hassan demi menentang cara hidup anak dan menantunya yang dibelenggu tuntutan ‘pembangunan’ di kota. Dalam Duka Tuan Bertakhta, Wak Cantuk dan Habib Nuh menentang cengkaman penjajahan dan cara hidup yang dibawa British dengan cara masing-masing, manakala Munsyi Abdullah giat mengkritik Sultan.
            Akibat daripada penentangan terhadap status quo ini wira dan wirawati dalam novel-novel tersebut sama ada tewas atau terkorban akhirnya. Ternyata status quo yang mereka hadapi adalah lebih besar dan lebih hebat daripada kemampuan mereka sebagai individu. Namun keadaan ini tidak sama sekali menimbulkan kesan negatif yang akan menarik pembaca ke kancah pessimisme atau fatalisme. Sebaliknya wira dan wirawati dalam novel-novel itu sempat meninggalkan semangat dan jejak perjuangan yang dapat disambut dan disambung oleh pembaca yang terkesan dan terpengaruh oleh pendirian, falsafah hidup dan tindakan mereka seperti yang dipaparkan dalam cerita. Sekurang-kurangnya pembaca diajak supaya merenungkan sebab dan kesan daripada pertembungan budaya, fahaman atau ideologi yang terjadi dan membuat keputusan dan membentuk pegangan mereka sendiri.
            Natijahnya, sebagai pengkarya saya mengharapkan agar semacam dialog telah terjadi antara sejarah rasmi dengan sejarah alternatif yang telah saya persembahkan dalam karya. Namun saya mengakui kelima-lima novel tersebut bersifat subjektif dan masih terbatas dari segi pencernaan dan pemaparan aspek-aspek kesedaran sejarah. Kajian terhadap kelima-lima novel di atas harus digandingkan dengan kajian terhadap karya novelis lain agar gambaran sejarah Singapura yang lebih lengkap, mendalam dan menyeluruh dapat dihasilkan.
            Secara peribadi pula saya berharap telah menjadi murid yang baik kepada Pak Har atau Harun Aminurrashid yang sangat saya kagumi sebagai novelis yang telah menjadikan sejarah sebagai titik tolak dan teras pengkaryaannya.

RUJUKAN
A Ghani Hamid. 1998. Wak Cantuk: Drama Sebabak. Singapura: Perkumpulan Seni
A Ghani Hamid dan Sulaiman Jeem. 1990. Yaacob Mohamed. Singapura: Penerbitan Wisma
Ghouse, K S. 2008. Grand Saint of Singapore. Singapura: Wardah Books.
Hadijah Rahmat. 1999. Antara Dua Kota. Singapura: Regional Training & Publishing Centre.
Haryatmoko. 2003. Etika Politik dan Kekuasaan. Jakarta: Penerbit Buku Kompas.
Hashim Awang. 1994. Sastera dan Sejarah: Menilai Asas Hubungan Antara Dua Disiplin dlm. Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
Isa Kamari. 1998. Satu Bumi. Singapura: Pustaka Melayu.
Isa Kamari. 2006. Atas Nama Cinta. Kuala Lumpur: Ameen Serve Holdings.
Isa Kamari. 2007. Memeluk Gerhana. Kuala Lumpur: Ameen Serve Holdings.
Isa Kamari: 2009. Rawa. Kuala Lumpur: Ameen Serve Holdings.
Isa Kamari: 2011. Duka Tuan Bertakhta. Kuala Lumpur: Ameen Serve Holdings.
Mariam Ali. 2002. Singapore’s Orang Seletar, Orang Kallang, and Orang Laut dlm Tribal Communities in the Malay World: Historical, Cultural and Social Perspectives. Singapore: Institute of Southesat Asian Studies.
Munsyi Abdullah: 1965. Kesah Pelayaran Abdullah. Singapura: Malaysia Publications Limited.
Said, E. 1978. Orientalism. London: Routledge.
Shaharuddin Maaruf. Malay Ideas on Development. Singapore: Times Books International
Shellabear, W. Hikayat Abdullah. 1915. Singapore: Methodist Publishing House.
Sukmawati Sirat. 1995. Trends in Malay Political Leadership. Tesis Phd. University of South Carolina
Syed Hussein Alatas. 1971. Thomas Stamford Raffles: Schemer or Reformer. Singapore: Angus & Robertson.
Syed Muhd Khairudin Aljunied. 2005. Rethinking Raffles: A Study of Stamford Raffles Discourse on Religions Amongst Malays. Singapore: Marshall Cavendish.

Saturday, February 18, 2012

Video Anugerah Tun Seri Lanang 2009


Video Pingat Budaya 2007

Cultural Medallion 2007 Video

Mawar


hidup sebagai mawar
di tengah padang belukar
adalah suatu pertapaan yang sunyi
sewaktu-waktu keasingan ini
akan menjelmakan pergelutan
antara harga diri
dan kemurahan hati
bila angin dan hujan
memaksa kau memilih
antara kerinduan yang memanjang
dan kerelaan yang pedih
bila kau biarkan kelopakmu gugur
satu demi satu
kerana asas kebahagiaan
adalah kedamaian dalam hidup
biarpun sesingkat musim
yang berlalu
biarpun wangi baktimu
akan luntur ke bumi syahdu
kedewasaan yang merah
harus mengajar kau menerima
di tengah masyarakat belantara
kekadang kau dianggap
sebagai belukar
di tengah padang mawar
kerana embun
mudah lenyap
sebelum mentari menerangi segala

sememangnya benar
sering dalam hidup ini
mawar hanya tumbuh
di pinggir syurga.