Saturday, February 18, 2012

Video Anugerah Tun Seri Lanang 2009


Video Pingat Budaya 2007

Cultural Medallion 2007 Video

Mawar


hidup sebagai mawar
di tengah padang belukar
adalah suatu pertapaan yang sunyi
sewaktu-waktu keasingan ini
akan menjelmakan pergelutan
antara harga diri
dan kemurahan hati
bila angin dan hujan
memaksa kau memilih
antara kerinduan yang memanjang
dan kerelaan yang pedih
bila kau biarkan kelopakmu gugur
satu demi satu
kerana asas kebahagiaan
adalah kedamaian dalam hidup
biarpun sesingkat musim
yang berlalu
biarpun wangi baktimu
akan luntur ke bumi syahdu
kedewasaan yang merah
harus mengajar kau menerima
di tengah masyarakat belantara
kekadang kau dianggap
sebagai belukar
di tengah padang mawar
kerana embun
mudah lenyap
sebelum mentari menerangi segala

sememangnya benar
sering dalam hidup ini
mawar hanya tumbuh
di pinggir syurga.

Cinta Kemboja



senyummu manis di balik selendang
dibuai lembut angin utara
menghimbau indah sejarah gemilang
kasih berakit di sungai sejarah

tangismu menitis di bumi bertuah
dipingit rindu siang dan malam
hias mahkota raja bertitah
berseri puteri melayu cham

lenggok apsara angkor nan megah
wajah bayon empat penjuru
tidak seindah masjid berkubah
di kampung cham budaya melayu

kemboja
tanahmu subur disirami rahmah
kemboja
bumimu pernah disinari hidayah
kemboja
sejarahmu pilu dilanda derita
kemboja
hari kelammu mendambakan pelita

pesisir mekong tasik tonle sap
susur nasib perahu melayu
gema azan nusantara berharap
bertaut kasih kemboja nan syahdu

Lorong Wahyu



menyusuri lorong
dekat rumah mu
di mana kerap
turun wahyu
jiwaku merangkak
dibebani dosa
ku usahakan berdiri
biar payah sekali
dengan rintih harap
semoga ringan
kalbu gelap
diangkat cahaya
doa mustajab

(ini dia airmata ku beri
sebagai tanda
ku mengerti risalahmu
berpacak di bumi
syafaatmu sering ku damba
pada setiap salam dan selawat

sujud di masjidmu terasa benar
selama ini aku hanya pelawat sunnahmu
bisakah airmata ku jadikan hadiah
kunjungan hinaku ke makam sucimu)

Kaabah



apa yang hendak ku katakan lagi
tenang ini menuntut diam
menatap rumah Mu ya Allah

apa yang hendak ku tahan lagi
kesayuan ini melepaskan raung
mengharap belas Mu ya Allah

raung dalam diam
diam dalam raung
terima kasih, terima kasih
ya Allah, aku malu
jadi tamu Mu

raudhah

Nikmatilah lagu,

klik : Raudhah

solat di bawah kerusi
majlis para sufi
aku terdengar liuk sungai
dalam damba kalbuku

biarpun dahi
hanya mencecah
sejengkal tanah
harum raudhah
kudakap dalam jiwa
penawar duka derita

sujud di atas taman ini
tidak mahu kulepaskan
asyik dan bisik

bahasa awan



kebenaran
yang tidak dikembalikan
kepada kemanusiaan
adalah seperti awan berarak
yang tidak menurunkan hujan
walaupun putih dan tinggi
hanya menjadi teman pelangi
meninggalkan bumi yang menanti
dalam kemarau yang abadi

namun kebenaran
yang terpisah
dari ketuhanan
adalah seperti air hujan
yang tergenang di pinggir nisan
walaupun bersih dan nyaman
sekali-kali
tidak akan membangkitkan
jiwa insan

hujan di arafah



hujan meratib
zikir berlarut
padang panas
didingini belas

ramai tamu Allah
keluar kemah
wajah basah
kuyup jiwa
menadah berkah
hujan di arafah

Monday, February 13, 2012

Tiga Karya Menangani 9 Ogos 1965

PROF MADYA DR HADIJAH RAHMAT
Mengesan Jejak, Batas Langit, Satu Bumi Pada 9 Ogos 1965

PENGENALAN

            Perkembangan politik dan pembangunan negara mempengaruhi perkembangan sastera. Para sasterawan, sebagai golongan yang prihatin terhadap alam dan lingkungan sosialnya tidak dapat mengenepikan pergolakan politik dan kesannya terhadap diri, bangsa dan negaranya. Kelahiran, pembangunan, kegemilangan dan kejatuhan sama ada pucuk pimpinan atau pemerintahan sesebuah negara adalah sumber motivasi dan inspirasi bagi seseorang penulis untuk berbicara. Apatah lagi jika penulisannya itu dianggap sebagai suatu amanah dan tanggungjawab sosial dan tunututan kemanusian yang harus dilaksanakan dengan bijaksana. Hasil renungan mengalir melalui pena secara kreatif ini kemudian dinikmati oleh khalayak sastera yang menjadi rakyat sesebuah negara dan ini akhirnya mempengaruhi kesedaran nasional mereka dan juga proses pembinaan negara tersebut.

KONSEP NEGARA BANGSA DI ASIA TENGGARA

            Sejarah mengenai pembinaan negara dan identiti nasional di Asia Tenggara dikatakan amat berkait rapat dengan politik Eropah di rantau ini, khususnya pada abad ke-19.  Pemikirannya diterapkan dalam negeri-negeri yang dijajah oleh Barat sebagai suatu proses peluasan budaya dan pengaruh Barat. Masalah jatidiri negara dipercayai telah dialami oleh elita yang berpendidikan Barat yang terasing dengan tradisi budaya mereka. Sedangkan golongan elita tradisional dikatakan lebih yakin dengan identiti mereka dan identiti negara, yang mereka ingin bangunkan. Bagi negara yang mempunyai rakyat yang seragam keturunan bangsanya (homogenous) yang tidak mengalami pemutusan tradisi kenegaraan kerana tdiak dijajah misalnya, serta dapat mengekalkan simbol identiti asal negara, masalah identiti nasional tidak timbul. Masalah membina identiti nasional timbul kerana adanya kepelbagaian budaya dan kelompok sosial yang berbeza, yang merupakan warisan penjajahan Barat di rantau Asia Tenggara. (Chan Heng Chee dan Hans-Dieters Evers 1978:117).
Walaupun kesedaran nasional di Asia Tenggara ini begitu menyerlah dalam abad ke-19 akibat reaksi terhadap kuasa penjajahan Barat yang sudah meluas ketika itu dan suatu fenomena zaman atau abad ke-19, sebenarnya dorongan untuk membina semula (reconstruct) konsep pemerintahan sendiri sebagai sebuah negara yang berdaulat boleh dilihat lebih awal lagi. Dari segi sejarah kerajaan Melayu atau pemerintahan kerajaan-kerajaan Rumpun Melayu di Asia Tenggara, usaha ini timbul setelah kerajaan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah karya klasik yang telah dihasilkan atas dorongan atau reaksi politik yang menentang arus gelombang penjajahan Barat di dunia Melayu.

MEMBINA SEMULA KEGEMILANGAN KERAJAAN MELAYU DI TENGAH  GELOMBANG PENJAJAHAN[1]

Arus gelombang Penjajahan Barat telah meruntuhkan tebing kerajaan, teluk politik dan tanjung keyakinan Melayu. Ia bermula dengan kejatuhan kerajaan Melayu-Islam Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511, dan beralih pula ke dalam genggaman Belanda (1641), kemudian Inggeris yang juga menguasai Pulau Pinang dan Singapura (1819). Negeri-negeri Melayu yang lain tidak pernah ditakluki Inggeris, tetapi mendapat perlindungan Inggeris sebagai “protected states” dengan persetujuan raja-raja Melayu sendiri (Buyong Adil 1983). Inggeris dan Belanda adalah dua kuasa besar penjajah yang meninggalkan kesan dalam sejarah bukan sahaja di Malaysia, Singapura dan Indonesia, malah seluruh Alam Melayu. Kedua-dua kuasa ini sejak abad ke-16 lagi sudah bersaing untuk menguasai alam yang kaya dengan rempah ratus ini. Sebelum membuka pengkalan di Singapura, Inggeris juga pernah menguasai Batavia +(1811) dan Bengkahulu. Namun Belanda merupakan kuasa penjajah utama yang menguasai Indonesia sejak awal lagi, khususnya sesudah Perjanjian 1824 dimaterai, yang telah membelah Dunia Melayu di bawah kuasa Inggeris dan Belanda.    
Gelombang Penjajahan Barat telah meruntuhkan keagungan kerajaan Melayu silam dan keyakinan diri Melayu sebagai sebuah bangsa yang pernah besar dan mengalami zaman kegemilangan dalam pemerintahan sendiri sehingga mampu membina empayar besar yang dikagumi dunia. Penjajahan telah menukar imej Melayu menjadi masyarakat hamba di bumi sendiri yang kemudian telah dicap sebagai bangsa yang  malas dan mundur. Generasi baru kemudian menyalahkan seluruh sistem feudal sebagai punca segala angkara dan kesengsaraan bangsa, dan mula berpaling kepada Barat sebagai penawar pedih dan penebus maruah diri.
Anehnya, dalam zaman penjajahan dan gerhana ini, para sasterawan kita telah berjaya menghasilkan karya-karya agung atau klasik Melayu untuk menjelaskan hakikat sejarah untuk renungan generasi masa muka. Tun Sri Lanang telah menghasilkan Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu(1612) yang secara bijaksana melukiskan akan kegemilangan silam sebelum ia hilang dalam kotak ingatan dan tenggelam oleh rasa kehilangan kita buat selamanya. Karya ini juga mengingatkan kita akan kelemahan kepemimpinan yang tidak menunaikan tanggungjawabnya untuk memerintah dengan adil dan saksama sebagaimana yang dimaterai dalam Perjanjian di Bukit Seguntang, sehingga menyebabkan kejatuhan bangsa. Sejarah Melayu bukan saja membuktikan pengetahuan sejarah pengarangnya yang luas, malah karya besar ini berjaya menerapkan rasa bangga pada sejarah dan tamadun Melayu silam, pada masa yang sama pengarangnya masih bersifat kritis terhadap kelemahan bangsa Melayu ketika itu.
Dalam abad ke 17 pula, epik Hikayat Hang Tuah pula dihasilkan untuk menanam benih kepahlawan Melayu kerana pengarangnya merasakan desakan zaman kerana akar diri bangsa Melayu sudah lama tercabut oleh penjajahan. Dalam zaman tersebut, semangat perjuangan, pengorbanan dan ciri keperwiraan yang luar biasa benar-benar diperlukan oleh masyarakat Melayu untuk menentang arus hebat penjajahan yang sudah memamah kekuatan masyarakat. Sekurang-kurangnya pengarang epik ini, melalui mulut protogonis utamanya, Hang Tuah, telah memberi kita sebuah harapan positif Takkan Melayu Hilang di Dunia”. Pengarang epik besar ini bukan sahaja menunjukkan semangat dan keterlibatan sosial yang kental malah memperlihatkan daya kreatif yang hebat, sikap objektif kepengarangan yang luar biasa, yang masih belum tercabar sehingga kini.
Kesan yang ditimbulkan oleh kedua-dua teks sastera klasik tersebut begitu hebat sehinggakan ia, secara sedar atau tidak, telah mempengaruhi falsafah politik pengarang Melayu Asia Tenggara atau Nusantara, yang memilih tema kenegaraan dan cuba menerapkan semangat kebangsaan kepada khalayak sasteranya. Umumnya para sasterawan cenderung memberi perhatian pada titik mula atau peristiwa-peristiwa penting yang membawa kepada kelahiran, kemerdekaan dan pembentukan negaranya. Sungguhpun kini khalayak sastera Melayu di negara-negara Asia Tenggara (Malaysia, Singapura, Indonesia & Brunei) adalah rakyat sebuah negara yang kini tidak lagi di dalam sebuah kerajaan Melayu yang besar seperti yang dilukiskan dalam sastera klasik, dan sesudah mencapai kemerdekaan, setiap negara ini adalah sebuah entiti politik yang baru, rujukan atau kaitan pada teks sastera klasik tersebut dan zaman kegemilangan Melayu masih tetap terkesan dalam karya-karya sastera moden. Kenyataan ini akan dihuraikan berdasarkan contoh pengalaman sastera di negara Singapura. 

PROSES PEMBINAAN NEGARA SINGAPURA

            Singapura lahir sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada 9 Ogos 1965. Negara Singapura baru sahaja merayakan ulangtahun ke-36 Hari Kebangsaan beberapa hari lalu.
Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dengan penduduknya yang terdiri daripada masyarakat  berbagai bangsa dan budaya, sumber alam yang terbatas, serta sejarah  politik dan kedudukan geografi yang unik,  soal pembinaan negara, identiti nasional, nilai-nilai nasional, perpaduan atau integrasi nasional, memang menjadi persoalan utama dan masih merupakan cabaran besar kepada pemimpin dan rakyat Singapura.[2]
Sejarah awal kelahiran Singapura telah bermula lebih awal lagi dan ini telah dijelaskan dalam buku sastera sejarah Melayu klasik yang terkenal iaitu Sejarah Melayu. Sejarah Melayu merakamkan bahawa Singapura adalah sebahagian daripada sejarah Kerajaan Melayu silam yang panjang: bermula dengan Kerajaan Bukit Seguntang di Palembang, beralih ke Bintan, berpindah ke Temasik, kemudian beralih dan mencapai puncak kegemilangannya di Melaka. Singapura adalah sebahagian daripada Bumi atau Alam Melayu yang besar. Marilah kita renungi perspektif sebuah sastera sejarah klasik untuk mengesan keistimewaan Bumi Temasik ini.

Menemui  Keindahan dan Keperkasaan Bumi Temasik


Penemuan dan pembukaan kerajaan di Singapura dilukiskan dengan menarik. Kalau kita teliti sejarah pembukaan negeri-negeri Melayu dahulu, terdapat banyak mitos yang menceritakan  bagaimana penemuan dan kelahiran sesebuah negeri. Mitos asal-usul negeri Melayu umumnya menjelaskan bahawa yang menjadi asas pemilihan sesebuah negeri ialah unsur keistimewaan atau peristiwa aneh yang berlaku di tempat tersebut - yang menurut sistem kepercayaan masyarakat Melayu lama membuktikan keistimewaannya dan sebagai isyarat atau ramalan akan masa depannya sebagai sebuah negeri yang kuat dan terbilang. Beberapa mitos asal-usul Melayu menjelaskan tempat pertemuan seekor pelanduk putih dan anjing menjadi tempat pemilihan negeri atau kerajaan. Kedua haiwan ini dikatakan telah berkelakuan luar biasa, misalnya pelanduk amat berani, tidak takut dengan anjing yang garang. Malah dua haiwan yang sering bermusuhan ini dikatakan berdakapan antara satu sama lain. Fenomena alam yang luar biasa ini meyakinkan raja bahawa di situlah tempat yang paling sesuai untuk dijadikan negeri. Kerajaan Melayu Pasai, Sumatera, Bintan dan juga Melaka telah memilih tempat berdasarkan kejadian dan kepercayaan mitos.
Mitos mengenai pembukaan Singapura ternyata lebih hebat dan amat menarik. Diceritakan, Seri Teri Buana baru sahaja membuka negeri di Tanjung Bemban, Bintan setelah melihat seekor pelanduk putih menghambat anjingnya di situ. Tetapi apabila menaiki sebuah bukit di situ, baginda terpandang pulau Singapura dan lantas tertarik dengan keindahan pantainya:

“ Serta baginda memandang ke seberang maka kelihatanlah pasir merentang terlalu putih. Maka baginda bertanya kepada Menteri Bupala, “Tanah mana pasirnya merentang putih di seberang itu.”  Maka sembah Menteri Bupala, “Pasir di sebelah tanah besar tuanku, Temasek namanya.” Maka titih baginda, “Sekarang apa bicara segala orang, kerana kita mau ke sana, terlalu sekali kita berkenan memandang dia.”  (A.Samad Ahmad, 1986:38)   

Kemudian, Seri Teri Buana pun dengan kelengkapan perahu yang banyak telah belayar ke Singapura. Tetapi berlaku ribut barat daya yang besar sehingga semua kelengkapan perahu berpecah dan hanya empat buah perahu yang dinaiki oleh Raja dan  para pembesarnya (Demang Lebar Daun, Menteri Bupala dan Batala) yang selamat. Tetapi perahu kenaikan Raja dipenuhi air dan walaupun sudah dibuang segala muatannya, airnya masih tidak tertimba dan perahu baginda hampir tenggelam di perairan Teluk Belanga:

“ Maka titah baginda, “Apa yang ada lagi di dalam perahu ini, maka tiada ia mahu timbul ini?” Maka sembah Menteri Bupala, “Pada pendapat patik, kalau sebab mahkota kudrat itu juga tuanku, maka kenaikan demikian halnya.” Maka diambil mahkota itu, lalu diletakkan baginda ke air. Sekonyong-konyong teduhlah ribut itu dan ombak pun tenag seperti air di dalam balang.” (1986:40)

Di samping peristiwa mahkota yang luar biasa itu, berlaku pula penemuan dengan seekor haiwan yang perkasa dan ini telah diceritakan dalam Sejarah Melayu:

“ Maka segala rakyat pun naiklah menebas; sekonyong-konyong melintas seekor binatang maha tangkas lakunya, merah warna bulu tubuhnya, kehitam-hitaman kepalanya, dan putih dadanya; sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada kambing randuk. Setelah ia melihat orang banyak itu, lalu ia melompat, ghaib daripada mereka itu. Maka titah Seri Teri Buana, “Apa nama binatang yang serupa itu?” Maka seorang pun tiada menyahut. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Tuanku, ceritera orang patik dengar, yang demikian sifat dan kelakuan biantang itu, singa konon namanya, tuanku.”
            Maka titih baginda, “Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang gagah ada di dalamnya; dan sisebutlah Temasek ini Singapura;” sampailah sekarang disebut orang “Singapura”. (1986:40) [3]

Kejadian tersebut yang disampaikan, sama ada melalui sastera lisan atau sastera bertulis, amat penting kerana mempunyai kesan terhadap pemilihan nama negeri dan juga kerana ia menjadi simbol rasmi negara Singapura dan beberapa institusinya hingga ke hari ini. Malah pemilihan tiga warna pada singa tersebut juga mempunyai makna simbolik budaya yang istimewa: Kepala yang hitam, menandakan kepahlawan/kematangan; tubuh yang merah, menunjukkan tenaga dan semangat diri yang waja; sementara dada yang putih pula mencerminkan jiwa yang murni dan suci. Warna merah dan putih masih menjadi warna rasmi negara Singapura hingga kini.[4]
Demikianlah sebuah hasil sastera menjelaskan kepada pembaca secara simbolik atau berkias akan makna sejarah dan budaya yang mendalam mengenai sejarah kelahiran negara Singapura. Yang menarik, pengarang Sejarah Melayu bukan sahaja menjelaskan kedudukan Singapura atau Temasik sebagai sebahagian daripada satu bumi atau sebuah kerajaan Melayu yang besar, tetapi juga beliau memerikan dengan rasa penuh bangga mengenai dua buah nilai yang mendorong kelahirannya: keindahan pulaunya dan keperkasaan haiwan Singa yang menjadi simbol negara Singapura. Kedua-dua nilai istimewa negeri ini membayangkan perasaan bangga yang hebat dan harapan besar pengarangnya terhadap pembentukan Singapura sebagai  negeri yang indah dan sebuah kerajaan yang gagah perkasa.  

Sastera dan Pembinaan Negara Singapura Moden


Bagaimanakah pula tafsiran dan perspektif para pengarang Singapura mengenai proses pembinaan negara Singapura moden, khususnya sejak kemerdekaannya pada 9 Ogos 1965?[5]
Negara Singapura baru sahaja merayakan ulang tahun ke-36 kemerdekaannya pada 9 Ogos 2001 yang lalu. Keriangan dan perasaan bangga dan semangat kesingapuraan rakyat Singapura terhadap negara begitu terserlah melalui sambutan hari kebangsaan yang cukup hebat dan meriah.  Kesuraman ekonomi dunia yang sedang meleset ternyata tidak menjejas harapan dan keyakinan rakyat Singapura untuk menjadi sebuah kota jagat (global city), yang maju dalam ilmu sains dan teknologi tetapi masih mengekalkan kekayaan budaya dan seni tradisionalnya serta melihat kesejahteraan negara sebagai sebuah institusi keluarga yang besar dan utuh. Kebanggaan,  kemeriahan dan keyakinan ini ternyata amat berbeza dengan suasana negara dan perasaan rakyat Singapura 36 tahun lalu, iaitu apabila pada tarikh yang sama diumumkan siaran berita untuk memberitahu rakyat kedua negara mengenai keputusan politik yang memisahkan Singapura daripada Malaysia.
Kertas kerja ini menyorot dan meletakkan tarikh 9 Ogos 1965 – ketika berlaku perpisahan Singapura dari Malaysia, menjadi sebuah negara republik yang berdaulat dan merdeka. Sebenarnya terdapat banyak karya kreatif yang telah dihasilkan, sama ada dalam bentuk puisi,  lagu, drama, cerpen atau novel, yang telah memilih peristiwa bersejarah tersebut. Namun begitu, sejauh ini belum ada usaha untuk mengumpul dan meneliti karya-karya tersebut walaupun ianya memang suatu bahan kajian yang berguna untuk mengesan perkembangan semangat dan kesedaran nasional rakyat Singapura yang berbilang bangsa dan budaya sejak kemerdekaannya. Kertas kerja ini hanya memilih tiga buah karya prosa yang ada menyentuh peristiwa ini secara langsung. Tiga buah karya ini dihasilkan oleh tiga orang penulis anak Singapura dari tiga latar belakang atau generasi yang berbeza. Karya tersebut ialah: Mengesan Jejak Pelayan Munshi Abdullah oleh Harun Aminurrashid (1966); Batas Langit oleh Mohd Latiff Mohd (1996) dan Satu Bumi oleh Isa Kamari (1998).  

MENGESAN JEJAK PELAYARAN ABDULLAH MUNSYI OLEH HARUN AMINURRASHID (1966)
Buku ini merupakan catatan perjalanan (travelogue) Harun Aminurrashid ke Pantai Timur Malaysia sehingga ke negeri Kelantan dari 5 Ogos hingga 12 Ogos 1965, untuk mengesan jejak pelayaran Munsyi Abdullah setelah kira-kira 130 tahun berlalu. Ketika itu, Harun Aminurrashid sudah pun berusia 58 tahun. Pengarang membawa keluarganya, iaitu isteri dan lapan orang anaknya  ke sana dengan memandu Peugeout-van 403. Menurut Harun, minat untuk melawat Pantai Timur ini timbul 40 tahun lebih awal (1922), semasa beliau mula membaca buku Kisah Pelayaran Abdullah dalam Darjah Empat (darjah tertinggi sekolah Melayu ketika itu) di Sekolah Rendah Telok Kurau. Harun tidak puas hati dengan tulisan dan pandangan Abdullah yang mengkritik keras kelemahan masyarakat dan sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu itu. Oleh itu, beliau berazam untuk melihat sendiri negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu dan mencari kenyataannya. Beliau dapati kehidupan orang-orang Melayu di pantai timur pada tahun 1965 tidaklah sama seperti yang disuratkan oleh Abdullah, malah penduduk di sana sudah mencapai banyak kemajuan dalam berbagai bidang kehidupan.

Kejutan 9 Ogos 1965


Semasa Harun dan keluarganya berada di Kelantan, beliau dan keluarganya mendapat khabar yang Singapura berpisah daripada Malaysia. Ketika itu, mereka berada di sebuah kedai makan. Harun menceritakan rasa terkejut orang ramai ketika itu:

 “ Menantu saya pergi ka-pejabat surat khabar Straits Times berjumpa sahabat-nya di-sana yang telah lama ta’berjumpa. Ada kira2 sa-puloh minit, makanan telah terhidang, saya dan anak2 telah dudok menghadap makanan hanya menantu saya sahaja yang belum balek dari berjumpa kawan2nya, tiba-tiba kelihatan menantu saya balek dengan termengah2, mukanya berubah muram, lalu berkata kapada saya, “ Adakah ayah telah dengar berita baharu?”

Dengan chepat saya bertanya hendak tahu, “Berita apa?”

Menantu  saya menjawab dengan suara gopoh,
 “ Singapura telah pechah dengan M’sia hari ini.”
China kedai kopi yg menjaga di-tempat menerima duit pembayaran minuman di-kedai itu terperanjat dan dengan bahasa Inggeris terus ia bertanya, “S’pura separated from M’sia?”

Menantu saya menjawab pendek, “Yes to-day”. (1966:114-115)

“ Berita khusus dari radio itu benar-benar mengganggu fikiran saya dan anak isteri saya. Kesah lawatan saya ka-Kota Baharu itu telah tidak seronok lagi, ingatan saya dan anak isteri saya berubah hendak lekas balek ke-S’pura. Saya sendiri merasa kejadian besar perpechahan S’pura dengan M’sia itu tentulah memberi akibah yang tidak menyenangkan kapada penduduk kedua buah negeri itu.” (1966:117)

Semangat Cinta Tanahair 


Harun Aminurrashid memang telah dikenali ramai sebagai penulis sebelum perang yang amat meminati sejarah kerajaan Melayu lama dan karya-karya beliau seperti novel Panglima Awang (1958) dan Anak Panglima Awang mencerminkan semangat kebangsaannya yang kuat. Perasaan ini juga tercermin melalui catatan perjalanannya ini:
“ Selepas mendengar warta berita…..Undang2 boleh mencheraikan kita, tetapi persaudaraan sa-darah, saketurunan, sa-kebudayaan, sa-tanahair ta’dapat di-cheraikan. S’pura menjadi keluarga Alam Melayu ta’dapat di-katakan tidak dari segi ilmu alam, ilmu bumi dan sejarah. Bumi S’pura ta’dapat di-pindahkan atau di-nyahkan dari kawasan Alam Melayu. Namanya boleh bertukar2…..

Encik Nawawi dan orang2 yg mendengar chakap saya itu termenong…S’pura negeri tua yang banyak mengandongi sejarah…Dengan tersenyum saya menjawab lagi, “Tetapi terus akan membuat sejarah yg terkenal ka-seluroh dunia.” (1966:134-135)

Gugurnya Mumbang Kehidupan 

Jelas tergambar perasaan cinta dan bangga Harun terhadap negaranya Singapura. Beliau menyedari hubungan Singapura dengan Alam Melayu yang lain dan mengharapkan Singapura akan terus menempah sejarah sehingga terkenal di seluruh dunia kerana pencapaiannya. Memang Harun sebagai orang Melayu mempunyai perasaan yang mendalam terhadap Dunia Melayu yang lain. Sungguhpun begitu, Harun lahir dan dibesarkan di Singapura dalam suasana hidup kota yang amat kosmopolitan semasa penjajahan Inggeris. Yang menarik, walaupun tulisan-tulisan jelas merakamkan kesedaran sejarah kegemilangan Melayu lama dan semangat kemelayuannya yang kuat, beliau belum pernah menjejakkan kaki ke negeri yang penduduknya begitu ramai Melayu, sehinggalah beliau berusia 58 tahun. Apabila Harun tiba di Terengganu, beliau merasakan kelainan suasana negeri yang kebanyakan penduduknya Melayu, lantas beliau  teringat pada kata-kata pahlawan Melayu yang terbilang:

“ Satu perasaan yang terbit di hati saya ketika melawat ka-negeri Terengganu ini, iaitu- benar-benar saya sampai di-kawasan yang banyak orang Melayu dan teringat saya kata pahlawan Hang Tuah, ‘Tidakkan Melayu hilang di-dunia’” (1966:80-81)

Harun adalah contoh generasi awal Singapura yang mempunyai rasa cinta pada tanahair pada bumi Melayu yang besar dan satu. Bumi Melayu yang besar dengan sejarah yang gemilang inilah yang cuba diperjuangkan dalam kebanyakan karya-karyanya. Itulah sebabnya beliau amat sedih apabila Singapura berpisah daripada Malaysia. Bumi Melayu atau Malaya diibaratkan seperti pohon kelapa yang memang tumbuh subur di merata Alam Melayu dan menjadi tumbuhan yang amat berguna dalam kehidupan dan kebudayaan Melayu. Semasa beliau berada di Kampung Daling Besar Kuantan, perasaan sedihnya kerana perpisahan politik ini diibaratkannya seperti ‘gugurnya mumbang kelapa’ :

“Fikiran saya melayang jauh, kadang2 menjadi tanda-tanya kapada otak saya, berapa ramai agak-nya manusia yg ta’dapat tidor macham saya di-ganggu oleh fikiran di-sebabkan 9 ogos itu? Saya ….Sedang  saya mengelamun…tiba2 saya terkejut mendengar bunyi berdebok tidak jauh dari tempat saya berdiri di-tepi tingkap itu. Saya memerhatikan di-chelah2 pokok kelapa itu kalau2 ada orang berjalan…Rupanya tupai yg melompat. Benda yg berdebok itu juga rupanya mumbang kelapa gugur bekas di-makan tupai….

Kata hati saya, “Rupanya ada juga kawan yg ta’tidor, tetapi sayang tupai itu ta’dapat di-ajak berbual atau bertukar2 fikiran.”….Kata hati saya kepada tupai yg jatoh, “Sa-pandai2 tupai melompat, ta’sa-kali2 jatoh juga!”  (1966:179-181)

Tulisan Harun ini juga menarik kerana selain merakamkan kesan peribadinya mengenai peristiwa tersebut, beliau juga turut menceritakan tentang reaksi masyarakat umum semasa  mendapat berita yang tidak mereka sangkakan itu.

“Saya duduk di-kedai2 kopi….Kesimpulan perbinchangan mereka kerana ta’puas hati mendengar berita yang mengejutkan itu dan sa-olah2 mengambil keputusan, “Mengapa jati begitu!”  (1966:140)

“Kejadian besar di-bumi kita telah berlaku dalam masa  …..masa hampir sa-minggu sa-lepas terjadi peristiwa 9 ogos itu, keadaan fikiran terganggu dan merasa seperti “kosong” kerana di-penuhi oleh tanda-tanya, terutama org Melayu S’pura yg seramai kira2 250,000
org lebih itu, dgn tiba2 tidak lagi menjadi ra’kyat M’sia, sekarang menjadi ra’ayat S’pura yg merdeka, mesti menyingsing lengan baju utk berjuang dlm hidup bersama dgn saudara2nya rakyat yg bukan Melayu, yg mempunyai taraf sama sa-bagai ra’ayat S’pura.” (1966:206)

Visi Masa Depan Orang Melayu Singapura

            Walau pun semangat kebangsaan Harun begitu tebal dan beliau agak kecewa dengan perkembangan politik terbaru apabila Singapura keluar daripada Malaysia, beliau dapat membuat penilaian yang rasional dan matang mengenai kedudukan orang Melayu di Singapura di bawah sistem politik yang baru.[6] Harun  tidak mahu orang Melayu terus mundur dan masyarakat penurut sahaja, sebaliknya beliau mahu orang Melayu menjadi masyarakat yang boleh berdikari dalam semua lapangan. Beliau juga melihat masalah perbezaan taraf kemajuan antara dua bangsa secara positif. Harun menyarankan agar orang Melayu belajar daripada pengalaman bangsa-bangsa lain yang sudah maju di Singapura. Harun juga mencatatkan harapan dan visinya terhadap masa depan orang Melayu di Singapura, iaitu beliau mengharapkan agar orang Melayu Singapura berjaya dan menjadi lambang atau simbol kemajuan kepada masyarakat Melayu di Alam Melayu yang lain. Ini disampaikan melalui sebuah nasihat yang ditujukan kepada anak-anaknya:

“ Kamu semua mestilah menjadi org Melayu rakyat S’pura yg mempunyai chita2 besar dan tinggi saperti rakyat S’pura yg bukan Melayu yg telah sangat maju dalam segala lapangan hidup di-bumi S’pura yg bertuah ini. Ayah harap org2 Melayu S’pura akan percaya kepada kebolehan diri sendiri sa-bagai  mana org2 yg bukan Melayu…Mudah2an pada suatu masa yg tidak lama nanti, bila disebut org Melayu S’pura, akan terkenal menjadi lambang baka Melayu yang orang Melayu boleh maju bersama dengan kaum-kaum lain dalam segala lapangan dan bertanggungjawab, bukan menjadi manusia yg hanya terkenal dengan meminta2 atau pa’turut”. (1966:207)

Harun bertindak seperti seorang wartawan berita. Beliau telah membuat penelitian terhadap laporan-laporan di akhbar-akhbar Utusan Melayu, Berita Harian dan Straits Times mengenai  peristiwa bersejarah ini. Malah, buku ini memuatkan pemashoran Singapura yang diisytiharkan oleh Tengku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia, bertarikh 9 Ogos 1965. Mengesan Jejak bukanlah karya yang bercorak fikyen, sebenarnya Harun sengaja menjadikan karyanya supaya bersifat realistik seperti sebuah dokumentasi sejarah. Harun mencatatkan peristiwa semasa dan hasil pemerhatiannya ketika itu, oleh itu tulisannya ini lebih bercorak jurnalistik. Sebagai sebuah karya sastera atau hasil seni, mungkin tidak banyak yang boleh dikemukakan. Gaya penulisannya kurang nilai estetika kerana terlalu didaktik. Namun buku ini boleh dianggap sebagai sebuah catatan peristiwa semasa dan dokumen sejarah yang menarik.

BATAS LANGIT OLEH MUHAMMAD LATIF MOHAMMAD (1996)

Novel Batas Langit memaparkan masalah sosial dan kemiskinan penduduk berbagai kaum di sebuah  kampung di Geylang Road, Singapura menjelang kemerdekaan negara ini daripada penjajahan British dan perpisahan daripada Malaysia. Cerita berkisar dan disorot daripada sudut pandangan seorang remaja bernama Adi yang lahir daripada keluarga yang miskin dan dihimpit oleh berbagai masalah. Bapanya seorang kaki judi yang mengabaikan rumah tangga dan akhirnya meninggal dunia akibat mengidap sakit kencing manis. Hidup Adi amat bergantung pada ibunya. Namun begitu, Adi seorang yang bijak dan mampu berdiri sendiri untuk mencari wang demi membantu ibunya. Dia juga mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar dan mendapat dorongan daripada Abang Dolah, jirannya. Adi masih menuntut di sekolah menengah Melayu dan meminati sastera Melayu. Dia sering mendengar dan memikirkan kata-kata dan pandangan Abang Dolah dan ini mempengaruhi dirinya.  Semasa Singapura dalam Malaysia, Adi meletakkan harapan agar dengan pendidikan Melayu yang diterimanya, masa depan hidupnya akan lebih terjamin.

“ Abang Dolah kata, satu pungutan suara akan diadakan. Pemerintah hendak tahu berapa orang suka masuk Malaysia dan beberapa orang yang tidak suka. Kalau ramai yang suka barulah jadi Malaysia. Kalau ramai yang tidak suka, Malaysia akan dibatalkan. Kalau ini terjadi, fikir Adi, sekolah Melayu akan menjadi tidak penting semula. Bahasa Melayu jadi tidak penting.

“ Makcik mesti undi mahu Malaysia!” Kata Abang Dolah pada suatu malam.
 “ Kau pun nanti undi masuk Malaysia,” pesan Abang Dolah pada Kak Habsah.
“ Dia orang bodoh, nak tentang Malaysia!” kata Abang Dolah sambil minum kopi panas yang Mak Timah sediakan.
“Dia orang bodoh!” kata Abang Dolah.
“Negeri Kita kecil. Tak ada hasil bumi. Nanti dirampas komunis, baru tahu!”, gerun Adi dengar Abang Dolah kata komunis nak rampas negeri kita. “Hanya dalam Malaysia sahaja boleh hidup. Dia orang bodoh! Kena hasutan komunis!” jelas Abang Dolah lagi.” (hal.92)

 Tetapi apabila Singapura berpisah  daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, Abang Dolah yang ketika itu sedang sakit kuat, meramalkan yang masa depan Adi sesudah perpisahan tersebut akan gelap:
            “ Adi terperanjat. Dia mendengar warta berita di radio. Adi rasa macam guruh menghentam telinganya. Adi rasa macam ada gunung berat menimpa dadanya.

            “Singapura berpisah dengan Malaysia!” demikian suara juruhebah membaca warta berita. Adi panik. Ada takungan air mata di kelopak mata Adi.

           Apabila dia membisikkan berita sedih itu pada Abang Dolah, mata Abang Dolah juga berkaca-kaca. Perlahan Abang Dolah membisikkan ke telinga Adi. Suaranya satu-satu. “ Gelap….lah….masa…depankau….kau ….tidak….ada…masa….depan…lagi!”

          Adi menggenggam tangan Abang Dolah erat-erat.
           Air matanya menitis ke pipi.

          (Mohammad Latif Mohammad, 1996:136)

Ramalan Abang Dolah terhadap masa depan Adi yang suram mengakhir novel tersebut.

Adi sering memanjat pokok jejawi dan bermain di situ. Kehidupan Adi dan seluruh penduduk kampungnya dilukiskan dengan menarik menggunakan simbol pokok jejawi ini yang banyak menyaksikan dan menyimpan rahsia penderitaan mereka akibat pergolakan politik tanahair, sekaligus bertindak sebagai simbol hidup dan entiti politik negara Malaysia:
Kata orang, pokok jejawi ini telah berusia ratusan tahun. Pokok ini kononnya berpenunggu dan orang takut lalu di bawahnya pada waktu senja atau waktu malam. Daun jejawi yang lebar-lebar dengan dahannya yang sebesar pemeluk, seolah memayungi rumah atap di bawahnya dengan amat gagah. Batang pokok jejawi ini, terdiri daripada akar-akar pokok sebesar lengan manusia, batangnya kelihatan telah bercalar-calar bekas ditoreh….(p.1)…Adi terpaksa berpisah dengan pokok jejawi yang amat disayanginya. Pokok jejawi depan rumah telah menjadi sahabat Adi semenjak dia belum tahu membaca lagi. Akar dan dahan jejawi sudah kenal betul dengan bau badan Adi. Mengkarung di atas pokok sudah kenal akan Adi. Jiran-jiran terpaksa Adi tinggalkan.Adi sudah membayangkan kesedihan yang bakal dirasainya apabila berpindah nanti. (1996:126)…Adi merasa sangat pilu apabila lori hendak bergerak. Adi merenung pokok jejawi lama-lama. Adi merenung rumahnya dengan airmata berlinangan. Semalam Adi panjat pokok jejawi. Bekas torehan Adi di dahan pokok jejawi perkataan:MALAYSIA, masih jelas. Adi macam hendak peluk pokok jejawi, apakan daya badan pokok jejawi terlalu besar untuknya..” (1996:127)

Siapakah sebenarnya watak Adi? Watak Adi bukan sekadar watak ciptaan pengarang, ia juga bolehlah dianggap sebagai watak yang mewakili generasi muda Melayu di Singapura yang lahir dan membesar dalam tahun-tahun 1950an dan 1960an semasa kemelut politik S’pura begitu genting dan mencabar. Golongan ini mendapat pendidikan Melayu kerana mereka dijanjikan oleh para pemimpin politik ketika itu bahawa sekolah Melayu adalah jenis pendidikan yang paling sesuai dan menjamin masa depan yang cerah. Tetapi apabila Singapura keluar daripada Malaysia, dasar politik dan pendidikan Singapura berubah kerana penekanan pada pendidikan Inggeris dan ini dirasakan oleh orang-orang Melayu yang diwakili oleh Abang Dolah, sebagai menjejas peluang para lepasan sekolah Melayu, seperti Adi.

Siapakah pula watak Abang Dolah?

Adi teringat hidup Abang Dolah yang serba ganjil. Dia lulus sekolah Inggeris. Pandai mengaji. Tahu selok-belok agama. Tapi, tak pernah sekali pun Adi nampak dia sembahyang. Pandai main biola. Sayangkan bangsanya. Menyesali konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia. Bencikan Orang Putih. Hidupnya sangat sederhana. Makan pakainannya amat sederhana. Lemah lembut. Penyayang. Tak suka tengok orang susah. Tapi, mengapa dia tak mahu kerja? Mengapa tak nampak pun dia sembahyang? Pertanyaan ini bertalu-talu menyerang otak Adi. Payah untuknya mendapatkan jawapannya.” (1996:114)

Di kalangan penduduk Melayu di kampung Adi, Abang Dolah dikatakan sebagai seorang yang paling terpelajar – lulus Senior Cambridge dan pernah bekerja sebagai kerani. Tetapi dia dikatakan tidak suka bekerja makan gaji dan setiap bulan hanya menerima wang bantuan kebajikan (welfare) daripada pemerintah. Dia mengisi masanya dengan mengajar budak-budak kampung mengaji Quran dan menulis surat dalam bahasa Inggeris untuk penduduk Kampung Buyung. Abang Dolah dikatakan seorang duda dan anggota pancaragam ‘Norjawan’ dan pada hujung minggu dia bermain biola atau akordian dalam majlis-majlis perkahwinan. Beliau juga dikenali sebagai seorang bomoh dan sering membantu ramai orang yang datang kepadanya untuk mendapatkan rawatan dan pertolongan perubatan tradisional. Perwatakan Abang Dolah digambarkan seperti berikut:

Fikiran Adi beralih kepada Abang Dolah. Dia hairan Abang Dolah tak mahu kerja. Tapi, Abang Dolah ada semangat. Dia masuk politik. Dia sayangkan bangsa dan negerinya. Dia mahu membela rakyat miskin. Rakyat yang terjajah.  Tapi dia tak mahu kerja, tak mahu gunakan kepandaiannya untuk mencari duit. Adi hairan memikirkan perangai Abang Dolah………

   ….”Abang Dolah bukan malas, dia tak mahu kerja dengan Orang Putih, Abang Dolah kata, Orang Putih kata orang Melayu malas, sebab orang Melayu tak mahu kerja di lombong bijih Orang Putih…….’Melayu dulu-dulu’ “ (hal.113)

Watak Abang Dolah bolehlah dikatakan mewakili pemikiran dan kehidupan pemimpin atau golongan terdidik Melayu tradisional yang cukup bersemangat untuk membela masyarakat, mempunyai bakat seni yang besar, tetapi tidak berminat untuk meningkatkan ekonomi atau kekayaan dari segi kebendaan. Watak Dolah boleh diterima sebagai mewakili pemikiran dan jiwa golongan terdidik Melayu ketika itu, yang masih meneruskan amalan budaya dan tradisi seni Melayu dan kurang memberikan perhatian pada ajaran Islam. Golongan terdidik tradisional Melayu ini merasa bimbang, tidak senang dan kurang selamat dengan perubahan pucuk pimpinan dan suasana politik di tangan penjajahan atau dikendalikan oleh bangsa lain dan mereka juga begitu kritikal terdapat kelemahan orang Melayu yang mudah diperalatkan:

“Orang kita tak faham makna kemerdekaaan,” sambil berjalan Abang Dolah bersuara. “Kemerdekaan itu suci! Kemerdekaan itu tugas murni!” Abang Dolah menyambung. “Kau tengoklah nanti, siapa yang merdeka, siapa yang terjajah!” Adi, Daud Cina dan Mail Sengau diam sahaja mendengar leteran Abang Dolah. “Orang kita , belum tahu tentang politik, mereka tidak ada kesedaran politik, mereka biarkan orang luar yang menentukan maruah bangsa, maruah negeri, mereka sendiri.” Leter Abang Dolah lagi. “Orang pekik merdeka, dia orang pekik merdeka. Macam burung kakak tua! Macam keldai! Macam baral!” Abang Dolah berjalan perlahan sambil berleter. (1996:61)

Mereka sukar menerima kenyataan perpisahan Singapura daripada Malaysia dan ternyata bersikap pesimis terhadap masa depan diri dan masa depan masyarakat Melayu umumnya dalam situasi politik baru itu. Bukan sahaja masa depan generasi muda yang diwakili oleh Adi diragui, malah hidup Abang Dolah dan generasi tradisional yang diwakilinya, kelihatan tenat menderita sakit barah yang berat, seolah-olah tiada harapan untuk sembuh dan hanya menunggu saat kematiannya.
Lukisan watak-watak yang mencerminkan pemikiran dan perasaan Melayu pada dan sebelum tarikh 9 Ogos 1965 ini amat menarik untuk direnungkan, apatah lagi ia dihasilkan secara retrospektif, dalam renungan kembali pada tahun 1996, lebih kurang 30 tahun kemudian, dan ditulis oleh penulis yang telah melalui sendiri proses pendidikan Melayu seperti watak Adi. Golongan berpendidikan Melayu mungkin merasakan kehidupan dan masa depan merekalah yang paling terjejas akibat perpisahan dua negara ini dan ini menghantui mereka walaupun negara sudah merdeka lebih kurang 36 tahun lalu.
Batas Langit merakamkan dengan berkesan kehidupan susah masyarakat kampung di kota Singapura yang didiami oleh penduduk yang berbagai bangsa, terutama kaum Melayu dan Cina, yang hidup saling memahami kelainan budaya mereka dan walaupun masing-masing kaum mengekalkan cara hidup dan budaya masing-masing, mereka dapat hidup bersama, malah saling menolong dan kelihatan memahami antara satu sama lain. Malah pengarang juga memaparkan sifat baik keluarga Melayu yang sanggup menjaga seorang anak Cina yang cacat yang tidak tidak mahu dijaga oleh ibu bapanya sendiri. Ini jelas melalui pengambilan anak angkat (Pungut) dari keluarga Cina (Bibik) oleh sebuah keluarga Melayu (ibu Adi). Semangat dan hubungan baik antara kaum ini terbukti semasa berlaku rusuhan kaum di Singapura, yang tercetus semasa perarakan Maulud Nabi. Keluarga Adi dan beberapa orang Melayu di kampung berlindung di rumah Bibik kerana takut diserang oleh perusuh kaum Cina yang tidak mengenal mereka. Tetapi oleh kerana rusuhan masih belum reda, keluarga Adi dan jirannya yang lain terpaksa pindah dan menyewa rumah di kampung di Jalan Turi Geylang Serai, yang sepenuhnya didiami oleh orang Melayu. Namun begitu Adi ternyata sukar untuk melupakan rumah dan suasana kampungnya yang lama, termasuk jiran-jiran Cinanya, yang sudah mesra dengan kehidupannya sejak lahir.
Novel ini juga berjaya merakamkan pemikiran dan perasaan orang Melayu semasa melalui pergolakan politik yang hebat pada tahun 50an dan 60an, terutama kepedihan, kebimbangan serta rasa ketidakyakinan mereka untuk menghadapi hidup sesudah berpisah dengan saudara sebangsa dan seagama dalam Malaysia.
Batas Langit bolehlah dianggap sebagai novel baru ‘ala - Salina’ – yang cuba merakamkan kehidupan masyarakat kelas bawahan yang menjadi mangsa pergolakan politik negara. Kalau novel Salina menyorot watak seorang pelacur yang menjadi mangsa kesan perang, novel Batas Langit menyorot watak seorang remaja (Adi) yang berpendidikan Melayu sebagai pemerhati dan juga sebagai mangsa pergolakan politik negara menjelang kemerdekaan. Kalau novel Salina memberi pembaca kesan psikologi dan sosial akan peperangan dalam kehidupan, Batas Langit berjaya menyajikan pembaca sebuah lukisan hidup yang berkesan dan menyakinkan tentang kesan perubahan pucuk pimpinan dan kemerdekaan Singapura terhadap perasaan, kehidupan dan masa depan orang Melayu Singapura, khususnya pada generasi muda yang berpendidikan Melayu.  Persoalan politik dan pergelutan sosial yang berat telah diolah menjadi sebuah karya sastera  yang menarik.  

SATU BUMI OLEH ISA KAMARI (1998)

Novel Satu Bumi mengisahkan pertemuan seorang jurutera muda bernama Irman dengan seorang lelaki tua bernama Yassir, yang bertugas sebagai penggali kubur di Masjid Bidadari, Singapura. Tanah perkuburan Masjid Bidadari ini akan digali untuk sebuah projek pembangunan dan kubur nenek Irman bernama Swee Mei yang terletak di tanah perkuburan itu juga terjejas dan harus dipindahkan ke kawasan perkuburan lain. Dalam pertemuan itu, Irman menceritakan kepada Yassir kisah arwah neneknya, Swee Mei yang berketurunan Cina. Semasa Pendudukan Jepun keluarga neneknya telah menyerahkan neneknya yang telah pun berusia 18 tahun kepada keluarga Pak Durhakim, orang Melayu Riau, kerana rasa takut anak gadis mereka diperkosa dan dianiaya oleh tentera Jepun. Untuk mengelakkan kesangsian pihak Jepun, Swee Mei telah diberi nama Aminah dan menjadi saudara baru, kemudian dikahwinkan dengan Malek, anak saudara Pak Durhakim, iaitu datuk Irman.
Yassir pula menceritakan kisah perjuangan hidupnya dalam arena politik yang penuh liku. Kedua-dua kisah hidup watak Aminah dan watak Yassir ini disajikan secara berselang-seli dan seiringan sepanjang novel ini. Yang menarik, lukisan riwayat watak-watak dalam novel ini dikaitkan secara simbolik dan penuh falsafah dengan sejarah perjuangan dan pergolakan politik negara Singapura untuk mencapai kemerdekaan.
.

Menggali Jiwa Pejuang Di Bumi Tercinta


Yassir telah pergi ke Seberang Tambak akibat putus cinta dengan wanita yang dikasihinya. Di sana semasa darurat  dia terlibat dalam gerakan politik menentang penjajahan dan berkenalan dengan seorang aktivis politik berhaluan kiri bernama Hashim. Tetapi, seorang pegawai Cawangan Khas di Seberang Tambak, telah menasihati Yassir supaya kembali ke Nusa Selatan kerana tenaga perjuangannya lebih diperlukan di situ daripada di Seberang Tambak:

“ Mungkin telah masanya saudara tukar gelanggang, kerana saudara lebih diperlukan di seberang. Di sini KERIS giat menentang Nusa Utara Union. Malah British agak terperanjat dan kagum dengan perpaduan dan hasrat politik orang Melayu di dalam KERIS, walaupun ianya berlaku di pihak atasan, bukan di pihak orang-orang kebanyakan. Dan saya tahu SAWO akan bersidang di Nusa Selatan pula. Pergilah sebelum masa tidak mengizinkan…..
“ Saudara bercakap seperti saya berasal dari tempat lain. Bukankah saya anak Bumi ini juga?…Dan adakah ini satu ancaman buat saya? Adakah saya sendiri akan ditahan?”

“Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Tak ada salahnya saudara berperanan di sini. Tetapi saudara berkepentingan di seberang. Nusa Selatan telah terpisah dari Rumpun Selat dan kini di bawah Pentadbiran Sivil Penjajahan Mahkota. Saya tau saudara tak suka dengan pemisahan itu.”
“Memang saya tidak suka. Malah sesiapa saja yang mau menyelidiki sejarah akan tau bahawa dari dulu lagi penjajah yang menamakan dirinya penyelamat dan orang beradab  telah mencucuk dan mengadu-dombakan kesultanan Melayu Riau. Salah yang berdaulat jugak. Kepentingan peribadi mengabui pertimbangan. Terpisahlah bumi yang dulunya satu. Kini British mengambil kesempatan itu lagi.”
“Justeru itu, saudara harus cepat dan bijak bertindak. Pergilah! Ramai yang menanti kedatangan saudara. Dan perihal segala peringatan saya, anggaplah ia sebagai nasihat. Nasihat daripada seorang pemerhati dari tebing Selat Tebrau. Anggaplah Selat Tebrau sebagai tembuni yang menalikan ibu dengan anak Dan seperti anak yang sedang membangun, saudara harus belajar bertindak dewasa di dalam politik.” (1998:64)

Ternyata Yassir menerima nasihat tersebut, lalu ia kembali ke Nusa Selatan dan bergiat dalam pertubuhan politik KERIS cawangan Bukit Timah, di Nusa Selatan. Beliau juga turut serta dalam perbincangan kemerdekaan Nusa Utara apabila Paduka Jawatankuasa Tertinggi Pusat KERIS menziarahi rumah Hamid Khamis, Pengerusi KERIS Nusa Selatan:

“ Tidakkah Paduka masukkan agenda kemerdekaan Nusa Selatan ke dalam rundingan di ibukota penjajah itu?”
“Yang penting,” Paduka menjawab tenang dan penuh perhatian, “ kita dapatkan kemerdekaan ibu kita dulu. Selepas itu, barulah kita bicarakan kemerdekaan anak. Percayalah, saya tak akan tinggalkan Nusa Selatan.” Sambungnya tegas. (1998:128)….
….Yassir takut dengan kemerdekaan yang berasingan, Nusa Selatan akan semakin terpisah dari Nusa Utara….
“ Bagaimana dengan nasib kita bila Nusa Utara merdeka kelak?”
“Kita tawarkan biasiswa kepada pelajar Melayu di Nusa Selatan. Kalau mereka mahu, mereka boleh berhijrah ke Nusa Utara.”

Yassir menjadi marah mendengar penerangan Paduka.
“Paduka, Bagi orang Melayu belum pernah mereka berhijrah. Malah tidak tergerak hati kami hendak berhijrah. Walaupun pernah dijajah British dan Jepun, belum pernah orang Melayu hendak berhijrah! Bukan namanya bangsa Melayu meninggalkan negeri sendiri!” Torpedo KERIS meluncur ke arah sasarannya. Terdengar letupan itu di lautan sejarah, di telinga mereka yang mahu menyusuri ombak perjuangan. (1998:129)
 
Sungguhpun begitu, harapan Yassir tidak menjadi kenyataan. Paduka terus bergerak menuntut kemerdekaan Nusa Utara daripada British dan akhirnya berjaya. Pengistiharan kemerdekaan dilakukan di Tanah Tuah pada 31 Ogos 1957. Yassir turut hadir dalam upacara bersejarah itu:
“Hatinya turut melonjak kegembiraan walaupun dibendung perasaan cemas.
Sebelum ke Tanah Tuah beliau telah membeli peta Tanah-Melayu-Nusa Selatan dan kemudian menulis dengan huruf besar di atas peta: JANGAN LUPAKAN NUSA SELATAN, PADUKA. Peta itu diserahkan kepada Paduka.

Yassir tidak tahu sama ada peta itu masih disimpannya. Yang penting bagi Yassir, amanah itu harus dipelihara. Tidak kira oleh siapa, di mana atau bagaimana caranya. Yang penting kejujuran dan ketegasan.

Yassir kini tertanya-tanya samada dia harus menyalahkan Paduka kerana mengenepikan Nusa Selatan dan amanah itu. Bukankah dia sendiri telah bersikap demikian bila dia berkeputusan meninggalkan orang yang disayanginya dan Nusa Selatan untuk mengadu nasib di Seberang Tambak? Bukankah dia sendiri pernah berhijrah? Tetapi dia tidak menganggap Nusa Selatan dan Nusa Utara sebagai dua bumi. Dia tidak pernah berpindah hati dan perjuangan.”
(1998:130)

Harapan Yassir dan masyarakat Melayu Nusa Selatan terhadap Paduka begitu tinggi kerana mereka menyerahkan masa depan mereka di tangan Paduka. Oleh kerana kecewa dengan tindakan Paduka dan parti KERIS, Yassir akhirnya mengambil keputusan untuk memasuki Partai Angkatan Baru (PAB):

“Dia juga sedih Paduka telah mengabaikan amanah terhadap bumi yang satu ini.
Kerana itu, akhirnya dia mengambil keputusan berpindah ke PAB. Dia kesal KERIS telah memperkecilkan amanah itu dan kepentingan orang Melayu di Nusa Selatan. Ternyata KERIS tidak mempunyai wawasan yang jelas terhadap nasib orang Melayu di Nusa Selatan.” (1998:130)

Yassir dilukiskan sebagai tokoh pemimpin masyarakat Melayu yang tulen dan juga pejuang kemerdekaan negara yang sebenar. Pengarang ternyata mengagumi tindakan beraninya dan keikhlasan hatibudinya yang diibaratkan “sebersih pasir putih” (1998:8). Bahkan, gelaran  nama “Yassir” diberikan kepada tokoh ini berdasarkan sifat ‘keputihan jiwanya:

  “Pengorek kubur yang sampai kini belum kukenal namanya. Biar saja aku panggil dia Yassir, singkatan bagi Yang Hatinya Seputih Pasir. Barangkali.” (1998:13)

Watak Yassir ini bolehlah dianggap sebagai  jelmaan atau ikonik kepada Dr Haji Ya’acob Mohammed (1925- 1989), tokoh politik Melayu di Singapura yang keluar daripada parti UMNO dan memasuki parti PAP yang dianggapnya sebuah parti pilihan yang dapat membantu masyarakat Melayu. Pelibatan beliau dalam politik di Singapura amat penting, khususnya kerana membantu PAP mendapatkan sokongan masyarakat Melayu Singapura. Menghargai jasa dan sumbangan beliau, Universiti Nasional Singapura menganugerahkannya Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang pada tahun 1981. Beliau bersara pada tahun 1981 sebagai Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri) kemudian menjadi duta Singapura ke Mesir, Turki dan Yugoslavia dari 1982-1987 dan meninggal dunia pada 11 Oktober 1989.[7]

Retak Cermin Duka Sebuah Keluarga 


Kisah kedua ialah mengenai Aminah, saudara baru Islam yang dapat hidup dengan aman bersama keluarga bapa angkatnya, Pak Durhakim, walaupun dalam zaman pendudukan Jepun. Aminah mempunyai seorang anak bernama Ilham, biarpun dia bekerja sebagai samsui di Hababot (pelabuhan) Singapura, tetapi beliau tetap berpegang teguh pada agama Islam yang dianutinya. Perbezaan kulit atau keturunan tidak menjejas keharmonian dan kebahagiaan hidup keluarga istimewa ini. Yang menarik, hubungan mesra keluarga ini diibaratkan sama seperti percantuman Nusa Selatan dengan Nusa Secita:

“Pak Durhakim berasa gembira menerima dan diterima keluarganya kembali. Dia mengibaratkan nasib dan pertaliannya dengan Aminah dan Ilham sebagai kemasukan negara tercinta, Nusa Selatan, ke dalam Nusa Secita. Nusa Selatan sekarang di bawah satu bumbung rumah Nusa Secita. Dia sedar percantuman di antara dua buah negara itu terlalu besar ertinya jika dibandingkan dengan hubungannya dengan Aminah dan Ilham. Tetapi dia berasa tidak salah jika dia berkongsi kegembiraan dengan negara yang dicintainya. Lagipun dia turut mengalami kedukaan dan kegetiran beserta pergolakan di dalam negara. Airmata mengalir dari kelopak matanya apabila mendengar lagu Nusa Secitaku menggantikan Majulah Nusa Selatan di corong radio.” (1998:144)

Malangnya kebahagiaan yang dinikmati akibat percantuman politik tersebut tidak lama akibat pergeseran politik:
“KERIS menyokong penuh percantuman itu, kerana ia menjanjikan hak keistimewaan Melayu terpelihara. Golongan kiri Partai Buruh menentang pergabungan itu dan membisikkan diayah bahawa hak kaum Cina kini terancam. PAB pula cuba meniti jalan tengah dan gagasan ‘Negara Milik Anak Negara’ diajukan untuk menjanjikan hak samarata di antara kaum. Akibatnya, orang Melayu Senanjung Nusa Secita pula terasa terancam kerana hak istimewa orang Melayu akan terhakis.” (1998: 147).

Seperti Nusa Secita, keselamatan dan kebahagiaan dalam keluarga Aminah dan Pak Durhakim juga terancam akibat masalah perkauman yang timbul. Dalam sebuah perarakan Majlis Maulud Nabi, sebuah rusuhan kaum berlaku dan Pak Durhakim terkorban. Sementara, Aminah pula terbunuh akibat diperkosa dengan kejam oleh sekumpulan pemuda Cina yang amat marah dan rasa terhina apabila mengetahui dia masuk Melayu. Tinggallah anaknya, Ilham sendirian dalam kedukaan:

“Sejak hari itu hidupnya berkaca duka kerana kebahagian dan ketenangan yang dinikmati bersama datuk dan ibu telah terlontar bersama tindakan bodoh pengacau-pengacau. Dia merasa kesal dan sepi. Dia terpaksa menghadapi esok bersendirian. (1998:160)

Kedukaan anak yang kematian ibunya digambarkan sama seperti kedukaan rakyat apabila terjadi perpisahan Nusa Selatan dari Nusa Secita:

“Ibu dan datuk tidak bersamanya ketika Perdana Menteri mengistiharkan kelontaran Nusa Selatan dari Nusa Secita setahun kemudiannya. Perdana Menteri menangis ketika itu. Ilham tidak tahu mana satu yang lebih menyedihkan. Airmatanya telah kering kerana anak telah terpisah dari ibu. Terputuslah tembuni yang menalikan ikatan kasih, siasah dam sejarah. Selat Tebrau bergelora sentiasa. 9 Ogos adalah kaca duka dan retak cermin jiwanya.” (1998:160)

Azam Untuk Berdikari Di Atas Bumi


Biarpun berat tanggungan jiwanya, Ilham menerima tragedi yang menimpa keluarganya dengan tabah dan menganggapnya sebagai suatu cabaran untuknya hidup berdikari. Dia mengambil iktibar dan mendapat dorongan dari pengalaman negaranya sendiri:

“ Seperti Nusa Selatan, dia harus menghadapi esok dengan kecekalan dan keberanian. Tanpa bekalan selain keazaman, dia harus belajar berdikari.” (1998:161)

Malah, Ilham mendapat semacam kekuatan baru daripada riwayat hidup ibunya, Aminah:

Dia sedar dia harus belajar jadi pemurah dan dewasa. Dia mula insaf dan ikhlas dengan perpisahan yang dialaminya. Timbul kebanggaan terhadap riwayat hidup ibunya yang walaupun singkat, tetapi telah menawarkan erti pengorbanan dan kecekalan yang luas dan mendalam. Riwayat itu kini  bersemadi di dalam sanubari dan akan disampaikannya kepada anak cucu.” (1998:162).

Satu Bumi dihasilkan oleh seorang pengarang muda Singapura, yang lahir tahun 1960. Beliau  mendapat pendidikan Inggeris sehingga ke universiti di Singapura dan kini seorang arkitek bertauliah. Beliau bolehlah dianggap sebagai mewakili golongan terdidik Melayu selepas Merdeka. Isa Kamari melalui novelnya ini menunjukkan yang beliau cukup prihatin terhadap sejarah negara Singapura, namun begitu tulisan beliau ini tidak lagi dibebani lagi dengan ikatan emosi sejarah yang mengikat bangsanya selama ini. Malah melalui novel ini. terserlah rasa yakin dan bangga pengarang terhadap sejarah dan pencapaian Singapura selama ini. Beliau melihat masalah kepelbagaian kaum di Singapura dari sudut yang agak berbeza berbanding penulis-penulis generasi sebelumnya, sebagai contoh Harun Aminurrashid dan Mohamad Latif. Perbezaan kulit atau keturunan bukan lagi satu hal yang dianggap amat penting dan mengancam kesejahteraan hidup dan jatidiri orang Melayu di Singapura. Pengarang malah memuji dan mengagumi tindakan berani seorang tokoh politik Melayu Singapura yang sanggup keluar dari parti Melayu, untuk bekerjasama dengan sebuah parti politik lain, demi meneruskan perjuangannya untuk mencapai kesejahteraan hidup orang Melayu itu sendiri.  Hubungan harmonis antara kaum disentuh juga iaitu kisah perlindungan yang diberikan oleh keluarga Melayu kepada seorang gadis Cina tanpa mengira darah keturunannya. Akhirnya keluarga Melayu itu dapat menerima dan hidup bahagia dengan anak angkatnya walaupun berbeza asal keturunannya. Pengarang berpendapat bahawa nilai kemanusiaan dan nilai agama seseorang adalah lebih penting dari nilai bangsanya. Melalui novel ini, Islam diungkapkan sebagai jambatan sosial yang utama untuk membina kesejahteraan sebuah masyarakat pelbagai kaum dan keunggulan sebuah negara.

RUMUSAN

Sejarah kelahiran negara Singapura telah diperikan dengan menarik dalam sastera Melayu klasik. Pemerian ini amat penting dan cukup relevan hingga ke hari ini kerana ia menjelaskan  bukan sahaja mengenai asal usul negara, bahkan menjelaskan juga tentang nama dan simbol-simbol negara yang masih dipegang hingga ke hari ini. Sastera klasik Melayu dapat berfungsi sebagai sumber maklumat sejarah utama yang meningkatkan pengetahuan dan kesedaran sejarah rakyat Singapura mengenai asal usul atau sejarah awal negaranya. Penelitian terhadap dua buah karya sastera moden, Mengesan Jejak dan Batas Langit menunjukkan bahawa kedua pengarangnya masih membuat rujukan, sama ada secara langsung atau tidak, pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu dan unsur-unsur feudalisme dalam penulisan mereka.
Peristiwa perpisahan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 yang amat bersejarah telah mendapat perhatian para penulis Melayu di Singapura. Tiga orang penulis Singapura daripada tiga generasi yang berbeza telah pun membuat tafsiran dan memberi makna kepada peristiwa tersebut, sesuai dengan latar sejarah, pendidikan dan pengalaman hidup mereka. Perbandingan karya tiga orang penulis ini jelas menunjukkan perbezaan sikap dan perspektif mereka terhadap peristiwa bersejarah yang sama. 
Umumnya, perpisahan Singapura dengan Malaysia telah mencetuskan kejutan sejarah yang hebat dan tidak diduga dan menimbulkan reaksi yang kompleks dan berbeza kepada semula lapisan masyarakat dan rakyat di kedua negara, khususnya rakyat Melayu Singapura. Bagi pengarang daripada generasi tua yang matang, seperti Harun Aminurrashid, biarpun sedih dan hampa kerana impian untuk hidup dalam sebuah dunia Melayu yang besar musnah, mereka terpaksa menerima hakikat sejarah dengan rela dan tenang. Walaupun agak bimbang dengan keadaan orang Melayu Singapura, yang kini menjadi golongan minoriti dan yang masih ketinggalan, beliau tetap bersikap optimistik dan mengharapkan agar orang Melayu akan memanfaatkan kedudukannya dengan belajar daripada kemajuan bangsa lain dan akan terus maju dan menjadi simbol kemajuan Melayu umumnya.
Sementara itu, pengarang daripada generasi kedua yang bersekolah Melayu, seperti Mohd Latiff Mohamad, yang terperangkap dalam pergolakan politik sebelum perpisahan, bukan sahaja terkejut dan sedih, malah begitu kecewa dan sinis kerana menganggap diri mereka tertipu dan menjadi mangsa percaturan politik. Mereka amat hampa dan merasakan bahawa masa depan mereka musnah dan suram kerana kelulusan Melayu tidak dapat menjamin kehidupan  dan masa depan mereka.        
Namun begitu, golongan penulis generasi pasca merdeka, yang mendapat pendidikan Inggeris dan berjaya menjalani proses pendidikan dan kehidupan negara yang baru, dan menikmati suasana politik dan ekonomi yang lebih tenteram dan sejahtera, yang diwakili oleh Isa Kamari, sudah dapat menerima hakikat sejarah dengan lebih terbuka. Malahan golongan ini biarpun prihatin terhadap sejarah, dan mahu menggali rahsia sejarah, tidak lagi mewarisi beban emosi sejarah yang mengikat generasi Melayu yang lebih awal. Mereka bukan sahaja menerima aliran sejarah, malah mereka mengagumi tindakan berani dan murni tokoh pemimpinnya. Yang menarik, golongan terdidik Melayu Singapura pasca merdeka ini merasakan dan meyakini akan kekuatan nilai Islam sebagai jambatan perpaduan sosial dan nasional yang lebih berkesan daripada kekuatan bangsa dan keturunan seseorang.
Demikianlah perbezaan sikap dan pemikiran para pengarang tersebut yang jelas terakam dalam karya masing-masing. Pembaca merasai semacam kesegaran tafsiran dan kepelbagaian pandangan mengenai peristiwa bersejarah tersebut, dan ini memperkayakan pengetahuan, nilai hidup dan penghayatan pembaca, mengenai sejarah bangsa, arus pergolakan politik rantau, proses kemerdekaan Singapura yang unik serta pembangunan negara Singapura, khususnya di kalangan pembaca generasi muda kini dan pada masa akan datang.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa proses interpretasi semula sejarah kelahiran dan kemerdekaan Singapura tentu sahaja tidak akan terhenti di situ, di mata pena tiga penulis tersebut. Peristiwa bersejarah itu pasti akan terus mencabar minda para sasterawan lain untuk merenung dan mencari rahsia dan maknanya dan juga memberi ilham kepada mereka untuk mengungkapkannya secara subjektif dan kreatif.
Sesungguhnya tafsiran pena para sasterawan terhadap sejarah bangsa dan negaranya memang merupakan suatu dokumentasi intelektual dan khazanah negara yang penting, yang akan menambah wawasan minda dan warna-warni yang mengisi proses pembinaan negara Singapura sebagai sebuah negara berbilang bangsa, agama dan budaya yang kompleks kerana perjalanan sejarahnya yang unik.

LAGU JIWA RAKYAT DARI  KECAPI SENI BUMI TERCINTA

            Mengesan kisah kelahiran dan kemerdekaan Singapura, sebuah ‘titik merah’ di peta muka bumi Asia Tenggara, kita dibawa menyusur pantai sejarah sebuah kerajaan Melayu yang gagah di atas satu bumi yang besar di pesisir Nusantara, tanpa sempadan geografi dan langit politik yang memisahkannya. Tetapi arus gelombang penjajahan Barat dan ribut badai politik rantau dan dunia seterusnya, telah memecahbelahkan satu bumi ini menjadi pecahan-pecahan wilayah dengan batas langit atau entiti politik yang berbeza. Kini setiap bahagian bumi yang baru di pesisir Asia Tenggara cuba membina semula kesedaran dan identiti nasionalnya di atas pecahan atau puing-puing sejarahnya. Di bumi muda yang baru merdeka ini, para sasterawannya cuba mengutip dan menggali kesan-kesan peninggalan sejarah bangsa dan negaranya, untuk mencari, mentafsir dan memberi makna baru kepada ruangan bumi dan langit yang membentuk tanahair, masyarakat dan dirinya.  Perbincangan kita selama ini membawa kita kepada satu kesimpulan: ‘Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’. Jelas, betapa dalam makna peribahasa Melayu ini.
            Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat, tidak kira di Asia Tenggara atau di mana saja, memerlukan wahana sastera dalam proses pembinaan negara tersebut. Tugas nasional dan cabaran golongan sasterawan dan juga seniman dalam semua bidang kesenian ialah menulis mengenai riwayat bangsa dan negaranya supaya rakyat negara tersebut memahami sejarahnya dan menghargai tanahairnya sebagai bumi tercinta atau rumah hidupnya. Pengalaman dan proses yang dilalui oleh Singapura, sebagaimana yang tercermin melalui tiga karya Melayu tersebut, menunjukkan bahawa proses pembinaan negaranya melalui wahana sastera, masih pada tahap awal, oleh itu perlu diteruskan dan dikukuhkan.
Sebagai penutup, saya ingin memetik pandangan Encik Kishore Mahbubani (2001), Wakil Tetap Singapura di Bangsa-Bangsa Bersatu, mengenai peranan dan cabaran para sasterawan dan seniman Singapura kepada negaranya, sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan Singapura ke-36. Kata-kata beliau mungkin sesuai untuk direnung sama bukan sahaja oleh para seniman dari Singapura dan Malaysia, malahan juga oleh seniman seluruh Asia Tenggara yang sedang bergolak dalam proses pembinaan negara bangsanya:

            The Singapore Story will be better understood when our poets, writers and artists  play the underlying common chords on our heartstrings that make each of us feel a Singaporean. Some have begun the job. But a lot more needs to be done. We need to have our own Lat, the much-loved cartoonist in Malaysia. …But we need many more storytellers to weave the tales of Singapore. When they do, we will all begin to understand in words what already exists in many hearts: the sense of Singapore as home.”  [8]


Seminar Antarabangsa Asia Tenggara ke-2
Hotel Istana, Kuala Lumpur, 27-29 Ogos 2001



BIBLIOGRAFI

Teks Kajian

A.    Samad Ahmad, 1986. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). K.L.DBP. Cetakan keempat.

Harun Aminurrashid, 1966. Mengesan Jejak Pelayaran Abdullah Munshi. S’pura: Pustaka Melayu.

Mohamed Latiff Mohamed, 1996. Batas Langit. K.L.: Pustaka Cipta Sdn.Bhd.

Isa Kamari, 1998. Satu Bumi. S’pura:Pustaka Melayu Publishers.


Rujukan Umum


A.Ghani Hamid, 2001. “ Mengenang Sambutan Hari kebangsaan Silam”, Berita Harian, S’pura, 9 Ogos 2001, p.17.

Chan Heng Chee dan Hans-Dieter Evers, 1978. “ National Identity and Nation Building in Southeast Asia” dalam Peter SJ Chen dan Hans-Dieter Evers, Studies in ASEAN Sociology. S’pura: Chopmen Enterprises, pp.117-129.

Chiew Seen Kong, 1978. “ National Integration:The Case of Singapore” dalam Peter SJ Chen dan Hans-Dieter Evers, Studies in ASEAN Sociology. S’pura: Chopmen Enterprises, pp.130-146.

Goh, R.B.H.,ed., 1998. Memories and Desires. – A Poetic History of Singapore. S’pura: UniPress, The Centre of the Arts, NUS.

Hadijah Rahmat, 1998. Sastera dan Manusia Melayu Baru. S’pura: Persatuan Wartawan Melayu Singapura.

Hadijah Rahmat, 2000. “ Patah Tumbuh Hilang Belum Berganti”, NAC, S’pura, akan terbit.

Hadijah Rahmat, 2000. “ Mengukir Air Di Pesisir (Sastera Melayu Dalam Arus Jagat)”, kertas kerja Pertemuan Dialog Selatan III, Anjuran ASAS 50, di Masjid Sultan Singapura.

Hadijah Rahmat, 2001. “Dunia Tanpa Sempadan – Membina Benteng Di Sepanjang Sungai Peradapan”, Kertas Kerja Seminar MABBIM dan MASTERA, Johor Bahru, Mac 2001.

Kishore Mahbubani, 2001. “ Why We Need Our Own Lat” dalam Straits Times, S’pura, ‘National Day Special 2001, Khamis, 9 Ogos, 2001, p.36.

Straits Times, S’pura, 2001. “Life On the Dot”, National Day Special 2001, Khamis, 9 Ogos, 2001, p.17.

Koh Tai Ann, 1981. “Singapore Writing In English: The Literary Tradition and Cultural Identity”, dalamTham Seong Chee, Essays on Literature and Society In Southeast Asia- Political and Sociological Perspectives. S’pore:S’pore Univ. Press., pp.160-186.

Quah, Jon S.T., 1990. In Search of Singapore’s National Values. S’pura: Times Academic Press for the Institute of Policy Studies.
          
Sulaiman Jeem dan Abdul Ghani Hamid, 1990. Ya’acob Mohamed (Dalam API, PKKM, UMNO, PAP). S’pura: Penerbitan WISMA.

Thumboo, Edwin, et.al., 1995. Journeys: Words, Home and Nation, Anthology of Singapore Poetry (1984-1996). S’pura: UniPress, The Centre of The Arts, NUS..



PERBANDINGAN TIGA ORANG PENULIS DAN KARYA MEREKA



LATAR
PENGARANG

PERASAAN
PENGARANG

PENILAIAN

PENGARANG

KEISTIMEWAAN
TEKS



MENGESAN JEJAK 1966

Pengarang lahir di S’pura pada 8 Ogos 1907 – Generasi sebelum perang dan sebelum kemerdekaan Malaya (1957) dan S’pura (1965)

Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim.

Terkenal dengan karya-karya yang cerminkan kebanggaan sejarah kegemilangan Melayu dan semangat nasionalismenya
- mewakili nasionalis Melayu

Menulis teks pada usia matang, 58 tahun-tidak emosi dan lebih bersandarkan pemikiran

Rasa terkejut, sedih mendengar berita.

Rasa bangga warga negara dan cinta tanahair

Perasaan berada dalam negeri Melayu yang berbeza dengan keadaan di S’pura (teringat kata Hang Tuah)

Penuh Harapan & yakin akan  kebolehan dan kemajuan  Orang Melayu

Sedar akan kemajuan kaum bukan Melayu dan sarankan yang orang Melayu boleh belajar dari mereka


Menilai peristiwa sejarah dengan rasional dan matang

Sedar akan peranan penulis sebagai pencatat sejarah & pembina harapan

Sorotan dari segi bangsa dan tidak pada agama

Menolak kritikan tajam Abdullah orang Melayu di  negeri-negeri di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia

Simbol – Gugurnya Mumbang Kelapa (lambang Dunia Melayu/Malaya) dan Tupai (Pimpinan) Yang Jatuh


Sebuah catatan atau laporan peristiwa bersejarah semasa -  yang penting walaupun kurang nilai estetikanya kerana bersifat jurnalistik &  agak deduktif

Suatu Pembelaan masyarakat – Catatan perjalanannya menolak secara tegas kelemahan orang Melayu dan membuktikan yang mereka sudah pun mencapai banyak kemajuan dalam berbagai bidang kehidupan sejak zaman penjajahan

Visi yg positif – Orang Melayu Singapura sebagai lambang baka atau simbol kemajuan








BATAS

LANGIT

1996

Pengarang lahir pada 20 Mac 1950 dan mendapat pendidikan Sekolah Melayu (Sekolah Menengah Tun Sri Lanang dan Maktab Perguruan S’pura).  Generasi sebelum perpisahan dengan Malaysia (1965).

Guru bahasa Melayu dan penulis khas di Institut Pengembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, S’pura. Kini bersara.

Gigih menulis puisi, cerpen, novel, drama dan esei. Memenangi banyak hadiah/anugerah sastera S’pura

Menulis teks pada usia dewasa, lebih kurang 46 tahun

Rasa  terkejut &  kecewa

Sedih dan simpati dengan golongan yang menderita akibat perpisahan politik

Cuba meraih simpati pembaca pada nasib mereka yang tertipu/mangsa janji politik

Sedar dan bangga/nostalgia terhadap sejarah kegemilangan kerajaan Melayu

Mahu paparkan sifat baik orang Melayu yang sanggup  menjaga anak Cina yang cacat

Setiap bangsa masih dapat hidup harmoni dalam sebuah kampung walaupun kekalkan budaya dan agama  masing-masing


Tajam mengkritik tapi  kelihatan Objektif kerana melihat dari sudut pandangan watak utamanya (Adi)

Ada kesedaran agama, tetapi hanya mempersoalkan & tidak membuat penilaian & serahkan pada pembaca menilai

Agak pesimistik dan suram

Simbol- Dunia dan kehidupannya dari atas Pokok Jejawi & dari sudut pandang seorang remaja

Hubungan kaum Melayu-Cina dalam sebuah kampung yang harmonis biarpun masing-masing dalam amalkan budayanya sendiri


Pemaparan yang  realistik dan meyakinkan-sehingga pembaca dapat hayati  dan turut tersentuh oleh perasaan, pemikiran dan  keadaan hidup masyarakat kelas bawahan ketika itu, tidak kira apa bangsa

Kesan perubahan politik pada masa depan masyarakat Melayu, terutama golongan berpendidikan sekolah Melayu

Pengarang berpendidikan Sekolah Melayu dan menulis berdasarkan pengalaman diri dan mereka yang senasib dengannya

Tulisan bersifat retrospektif – tetapi sesudah 36 tahun, kesannya masih dirasakan oleh  golongan pendidikan Melayu ini




                                 S A T U   B U M I



SATU BUMI

1998

Pengarang lahir pada tahun 1960. Mendapat pendidikan Inggeris di Institusi Raffles, Maktab Rendah Nanyang dan Universiti Nasional S’pura.

Seorang arkitek yang bertauliah dan kini bertugas di Penguasa Pengangkutan S’pura (LTA).

Pengarang dibesarkan dalam  dari sistem pendidikan baru (dwibahasa) dan suasana politik pasca Merdeka (sesudah 1965)

Aktif menulis puisi, cerpen, esei dan novel. Satu Bumi sudah diterjemahkan dalam bahasa Mandarin.

Menulis teks pada usia muda, lebih kurang 38 tahun


Rasa nostalgia terhadap Masjid Bidadari yang Bersejarah di S’pura, dibina tahun 1906.

Mahu gali rahsia sejarah dan cari kekuatan atau belajar dari pengalaman hidup tokoh-tokoh sejarah lalu, tidak kira latar bangsanya. Tiada rujukan pada kerajaan Melayu silam

Perbezaan kulit/bangsa tidak penting.

Sejarah dan situasi politik mempertemukan/satukan orang Melayu dan Cina. Orang Melayu memberi perlindungan yang diperlukan oleh orang Cina dari ancaman Jepun.

Rasa kagum & bangga terhadap  tokoh politik tempatan dan kisah seorang penganut agama Islam atau saudara baru  


Menilai dari sudut agama Islam dan cenderung berfalsafah

Yakin yang agama Islam & jiwa  murni lebih utama untuk  keluarga dan membina bumi/negara tercinta

Tugas insan gali rahsia & makna tersembunyi di bumi

Simbol 1 – Penggali kubur di Masjid Bidadari, yang dipugar untuk bina terowong MRT  (pertembungan sejarah dan masa kini)

Simbol 2 – Perpisahan S’pura dari M’sia sebagai perpisahan antara anak dengan ibu.


Renungan makna sejarah bangsa dan negara dengan perspektif generasi baru yang lebih terbuka dan bebas dari bebanan emosi sejarah lalu

Suara elita sastera Melayu baru yang sudah menerima dan lebih yakin dengan perjalanan sejarah bangsa dan negaranya

Mahu membina kota hidupnya di atas kekuatan sejarah dan kekuatan agamanya








[1] Perbincangan bahagian ini diambil dari kertas kerja penulis “ Mengukir Air Di Pesisir (Sastera Melayu Dalam Arus Jagat)” yang telah disampaikan dalam Dialog Selatan III, Anjuran Asas 50, 10-11 Nov 2000, di Masjid Sultan S’pura.
[2] Lihat Jon.S.T.Quah (1990); Chan Heng Chee dan Hans-Dietr Evers (1978) dan Koh Tai Ann (1981) .
[3] Pada tahun 1960an, menurut pakar zoo John Harrison,  yang berdasarkan deskripsi warna dan saiz haiwan dalam Sejarah Melayu, haiwan tersebut mungkin ‘Golden Cat’ atau kemungkinan besar  juga ‘the Mases Palm Civet’ yang dipercayai wujud tetapi sudah pupus dari Pulau Singapura. (Straits Times, S’pura, National Day Special 2001, p.17)
[4] Lihat lelaman internet, http:www.Singapore.
[5] Mengenai perkembangan sastera Melayu di Singapura sesudah 1965, rujuk Hadijah Rahmat (1998, 2000 dan 2001).
[6] Menurut A.Ghani Hamid, apabila beliau bertemu Harun Aminurrashid apabila Harun kembali dari Pantai Timur Semenanjung sesudah S’pura merdeka, Harun cukup girang dengan perubahan status politik Singapura yang kini sudah menjadi sebuah Republik. Menurut ingatan A.Ghani Hamid , “Dan kemudian katanya, seperti yang saya ingat, ‘Di negara republik, sesiapa saja boleh jadi Ketua Negara. Ia tidak melalui sebarang hak keturunan yang tertentu,.’ Wajah beliau cukup girang.” (Berita Harian, Khamis, 9 Ogos 2001).
[7] Ini disahkan oleh Isa kamari kepada saya dalam sebuah perbualan dengannya. Isa telah membaca biografi mengenai tokoh ini sebelum menulis novel ini. Beliau juga memberitahu yang watak Aminah atau Swee Mei ditulis berdasarkan kisah salah seorang anggota keluarganya sendiri.
[8] Lihat Straits Times, S’pura, 9 Ogos 2001, National day Special 2001, p.36.