Thursday, February 9, 2012

Proses Kreatif Kiswah

DI BALIK KISWAH

“Telah menjadi fitrah manusia, kehangatan fizikal seks adalah pengalaman yang begitu peribadi dan berupaya menghancurkan seseorang, tetapi bila dikuasai cinta sejati ia akan membungakan keindahan yang sempurna dan menyerlahkan citra kebenaran spiritual di dalam diri manusia yang berkait dengan cintanya terhadap Zat Yang Abadi.”
(Rabindranath Tagore, Agama Penyair, dalam Kesatuan Kreatif, 1922) 

Akhbar The Sunday Times keluaran 7 April 2002 memberitakan bahawa kadar kes penderaan seks di Singapura telah meningkat. Dalam liputannya Dr. R Munidisa Winslow, seorang perundingcara ilmujiwa di Institut Kesihatan Mental Singapura menjelaskan, “Dari jumlah pesakit yang kami rawat, seolah-olah telah terjadi peningkatan kadar penagihan seks.”
Laporan itu juga menjelaskan, pada tahun 2001 Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Sukan melaporkan bahawa dari 72 kes di mana ada bukti penderaan, 17 kes melibatkan penderaan seks. Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kandang Kerbau pula menerima 130 kes penderaan seks yang melibatkan kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah. Empat dari lima kes tersebut melibatkan kanak-kanak perempuan.
Dalam keluaran 21 September 2001, akhbar The New Paper melaporkan dalam mukasurat hadapannya bahawa remaja Singapura lebih terjebak dalam kancah kelucahan atau pornography daripada dadah. Ketagihan terhadap bahan-bahan lucah telah menjadi persoalan rumit bagi para kaunselor yang bekerja di kalangan remaja. Remaja Singapura semakin terperangkap dalam penagihan bahan-bahan lucah. Ini disebabkan kemudahan mendapatkan bahan-bahan tersebut dari Internet, penjualan secara haram ribuan VCD X-rated dengan harga yang murah serta peningkatan keupayaan membeli dan kebebasan yang berleluasa di kalangan remaja.
Dalam laporan itu Pemangku Pengarah Youth Guidance Outreach Services menjelaskan bahawa 98% dari remaja yang dikendalikannya telah melihat bahan-bahan lucah. Seorang pakar ilmujiwa Dr Sharon Chan menjelaskan bahawa bahan-bahan lucah akan memberikan gambaran yang serong terhadaps seks di kalangan remaja. Misalnya segala kelencongan seks yang didapati dari bahan-bahan lucah itu mungkin dianggap sebagai perkara yang normal atau biasa dan dapat diterima. Budak-budak lelaki boleh terdorong untuk menganggap bahawa wanita adalah perkakas, objek atau manusia tanpa perasaan. Ketagihan terhadap bahan-bahan lucah jika tidak dikawal akan mengakibatkan masalah yang lebih besar dan rumit apabila dewasa kelak. Obsessi mereka boleh mengambilalih pertimbangan akal sehingga mengakibatkan perlakuan tidak bermoral seperti melanggani pelacur, perkosaan serta penderaan seks.
Penagihan terhadap bahan-bahan lucah ini tidak hanya terbatas pada remaja. Para karyawan melebihi remaja dalam kes-kes penagihan seperti ini. Setiap satu dari dua orang yang melungsur lelaman lucah adalah seorang karyawan, eksekutif, pengurus atau pengusaha. Demikian dilaporkan The New Paper dalam terbitan 10 May 2002.
Akhbar Berita Harian juga tidak terlepas melaporkan kelencongan perlakuan seks di kalangan masyarakat Melayu. Kisah-kisah drebar, pegawai keselamatan, pemandu teksi atau pesara yang pada mulanya melancong tetapi kemudian melencong ke Batam atau Tanjung Pinang pernah disiarkan secara besar-besaran bagi mencelikkan mata kita semua. Ada di antara cerita-cerita itu agak lucu tetapi banyak yang menyayat hati kerana melibatkan keruntuhan rumahtangga yang dibina sekian lama. Ramai dari mereka yang melencong itu sudah berumur limapuluhan ke atas tetapi masih berkeinginan, bertenaga dan berupaya. Mungkin ini disebabkan ramai di kalangan mereka baru mendapat durian runtuh melalui wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Jelas kemelut kelencongan perlakuan seks telah merebak dan menggugat kesejahteraan masyarakat kita. Persoalannya ialah sama ada perbincangan mengenainya sudah mencukupi atau kita setakat akur terhadap masalah yang kita hadapi tanpa memikirkan penyelesaiannya.
Bagaimana pula penerimaan serta tindakan kita sebagai sasterawan atau pencinta sastera? Sudahkah kita memainkan peranan dengan berkesan? Atau kita berpendapat isu ini tidak layak diketengahkan dan dikupas dalam sastera?
Laporan-laporan di atas sebenarnya tersiar beberapa bulan setelah saya selesai menghasilkan salinan pertama novel Kiswah. Penerbitan artikel-artikel tersebut telah seolah-olah membenarkan keresanan serta tanggapan awal saya terhadap masalah besar yang dihadapi masyarakat kita.
Saya terfikir bahawa gejala ini pasti mempengaruhi pertumbuhan jiwa dan perilaku mereka yang terdedah padanya. Persoalannya ialah sejauh mana ia merosakkan kesihatan mental serta kemurnian jiwa seseorang? Apakah akibatnya pada kehidupan bermasyarakat jika ia tidak dikawal?
Lantas saya memberanikan diri melungsur lelaman berkenaan bagi merasakan sendiri kesan dan akibatnya. Begitu juga saya telah membeli beberapa VCD X-rated dan menyaksikan adegan-adegan yang memberahikan. Pada mulanya saya hampir termuntah serta terasa pening menyaksikannya. Kemudian setelah biasa, saya dapat merasakan kekuatan cengkamannya terhadap perhatian serta naluri kemanusiaan. Mungkin tindakan saya itu melanggar hukum dan tatasusila, tetapi saya berniat menceduk kejernihan di balik kekeruhan. Seperti kata Multatuli, kita hanya dapat menghargai mutiara jika kita berani bermain dengan lumpur. (Nota: Ulama fiqh sebenarnya berselisih pendapat tentang hukum melihat bahan-bahan lucah ini. Ada yang berpendapat ianya tidak haram kerana yang dilihat itu bukan benda yang sebenar. Kesan dari melihatnya pula harus dinilai menurut kaedah hukum yang berbeza. Kesan itu mungkin buruk, mungkin juga baik, tergantung pada tujuan dan kematangan orang yang melihatnya.)
Selain itu, isteri saya yang bertugas sebagai sukarelawan di salah sebuah rumah kebajikan di sini banyak menceritakan perihal keretakan rumahtangga serta penglibatan jenayah di kalangan remaja serta ibu-bapa mereka yang melibatkan gejala penderaan dan kebejatan seks.
Tambahan pula ketika itu pihak Kementerian Pelajaran sedang melancarkan kempen Pendidikan Seks di sekolah-sekolah. Pendedahan terhadap perlakuan seks yang tidak terkawal dan tidak bertanggungjawab dirasakan perlu bagi mengingatkan para pelajar akan kesan buruk dan bahaya yang bakal menimpa. Namun begitu pendekatannya lebih bersifat klinikal seperti memaparkan gejala kehamilan, STD atau penyakit yang disalurkan melalui kegiatan seks seperti VD dan AIDS. Langkah-langkah pencegahan seperti penggunaan kondom juga diketengahkan.
Jelasnya, seks adalah isu yang dianggap penting oleh pemerintah untuk dibincangkan dengan terbuka. Adakah masyarakat kita pula telah bersedia berbicara dan sama-sama menanganinya?
Selain itu, ketika itu saya sedang meneroka persoalan cinta yang mewarnai kehidupan masakini. Persoalan itu timbul setelah saya menyaksikan drama Di Bawah Lindungan Kaabah yang dipentaskan di Panggung Victoria tidak berapa lama sebelumnya. Drama itu berdasarkan novela karangan Hamkah dengan judul yang sama. Setelah menyaksikan drama yang agak meleret itu saya bertanya pada diri sama ada kemurnian cinta yang agak cengeng itu masih boleh kita temui pada kehidupan masyarakat sekarang? Walaupun secara prinsip saya mengagumi ketinggian nilai dan kehebatan ekspressi Hamkah dalam novelanya itu, saya kurang yakin masyarakat kita dapat menerimanya sebagai sesuatu yang relevan dan berkesan kerana lingkungan hidup yang digambarkan dalam novela itu sudah ditelan zaman. Lagipun saya rasa susah hendak kita temui jiwa-jiwa yang murni seperti watak-watak Hamid dan Zainab, terutama dalam keadaan masyarakat seperti yang telah saya gambarkan sebelum ini.
Maka timbul pertanyaan di benak saya akan pertalian di antara cinta dan perlakuan seks. Ya, saya yakini seks yang indah tentunya timbul dari cinta yang indah melalui institusi pernikahan. Tetapi saya juga yakin kegiatan seks dalam rumahtangga tanpa cinta juga adalah suatu kelumrahan. Saya juga percaya penguasaan sang suami terhadap sang isteri juga adalah unsur yang diterima secara normal di kalangan masyarakat kita kerana struktur masyarakat kita ternyata masih bersifat patriachal.
Justeru itu, perlukah struktur masyarakat kita ini dinilai kembali tanpa melanggar prinsip-prinsip kekeluargaan di dalam Islam? Bukankah sudah tiba masaya persefahaman di antara suami isteri dipertimbangkan dan dicorak kembali dalam konteks sosial dan ekonomi yang ada sekarang?
Maka terjadilah perbauran dalam benak saya di antara isu-isu penderaan serta kebejatan seks, cinta murni, hubungan suami isteri, tatasusila rumahtangga dan masyarakat serta pertaliannya dengan kebenaran agama. Isu-isu ini membuak dalam jiwa dan merayu ditumpahkan dalam karya. Saya terpanggil memikirkan dan menulis berkenaannya.
Untuk menjana isu-isu besar ini dalam bentuk novel, saya perlukan jalan cerita yang mencengkam, pilu dan memeranjatkan agar pembaca akan tersentak dan berasa terancam terhadap bahaya, keruncingan serta kedahsyatannya. Kesan terakhir yang saya dambakan ialah kesedaran dan keinsafan yang berkekalan.
Bahan-bahan cerita itu saya dapati dari dua kisah benar yang saya dengar sendiri dari beberapa orang kawan. Kisah-kisah ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa saya, hingga hari ini.
Kisah pertama ialah mengenai pengalaman seorang calon haji yang diberitakan mengalami gangguan jiwa semasa menjalani ibadah suci di Tanah Suci Makkah. Menurut cerita, pada suatu ketika calon tersebut telah meracau-racau di dalam bilik hotelnya. Kekadang beliau mengamuk dan menendang-nendang barang serta sesiapa saja yang mendekatinya. Keadaan ini berlaku selama beberapa hari sehingga akhirnya uztaz yang memimpin rombongan haji itu datang mengubatinya. Setelah dipujuk dan ditanya akan perkara yang mungkin telah dilakukannya, calon haji tersebut telah mengaku bahawa beliau telah menonton blue film sebelum berangkat ke Tanah Suci. Begitulah dengan kehendak Allah, kemesuman beliau telah dipaparkan di Tanah Suci. Beliau kemudian insaf dan bertaubat di hadapan Kaabah. Maka hilanglah gangguan jiwanya sesudah itu.
Kisah kedua yang juga benar-benar terjadi ialah perihal beberapa kejadian penculikan wanita di Makkah juga. Corak penculikannya adalah serupa. Wanita-wanita itu dilarikan pemandu teksi setelah ditinggalkan dengan tidak sengaja buat sejenak di dalam teksi oleh suami, saudara lelaki atau bapa yang lalai. Kesemua wanita-wanita malang itu diberitakan adalah jelita-jelita belaka. Kesimpulan yang saya buat ialah mungkin terdapat sindiket haram di Tanah Suci yang merancangkan dan melakukan kegiatan itu. Wanita-wanita yang malang itu kemungkinan telah dijadikan hamba-hamba seks oleh syeikh-syeikh Arab yang kaya.
Pada mulanya saya juga tidak percaya bahawa kejadian-kejadian serupa itu boleh terjadi di Tanah Haram. Justeru saya bertanyakan kawan-kawan yang pernah bermastautin dan belajar di sana. Mereka secara diam-diam membenarkannya dan mengatakan segala gejala tersebut terjadi sebaik saja kita melangkah keluar dari perkarangan Masjidil Haram. Malah kegiatan-kegiatan pelacuran juga berlaku di dalam hotel-hotel yang berdekatan.  Perkara yang sama juga diberitakan sendiri pegawai haji yang memimpin rombongan yang saya ikuti tahun lalu.
Astaghfirullah! Kiranya syaitan berada di mana-mana. Mata saya justeru dibuka dan jiwa saya dikuak luas. Bagaimanakah kesucian Tanah Suci telah tercemar? Bagaimanakah kekudusan Kaabah telah ternoda? Kiswah yang menyelubungi Kaabah ternyata mengandungi rahsia yang dalam dan kelam bagi jiwa-jiwa yang mengunjungi dan tinggal di sana. Citra Kiswah yang hebat dan mencengkam itu justeru saya jadikan judul novel.
Bagi mengimbangi persoalan penderaan dan kebejatan seks yang agak berat, saya bercadang melayarkan sebuah kisah cinta yang romantis yang dapat mengapung-apungkan imaginasi dan perasaan pembaca. Saya mendapatkan bahan kisah cinta ini setelah saya merenungkan kembali perkembangan perasaan saya sendiri terhadap isteri selama 13 tahun berumahtangga. Isteri saya pernah mengatakan kekadang beliau merasakan bahawa saya lebih mencintai gagasan cinta itu sendiri lebih dari dirinya. Jelasnya ketenangan perhubungan di antara kami kekadang terkocak akibat kurangnya kepekaan saya terhadap perasaannya. Peranan suami atau isteri dalam konteks masyarakat masakini juga jadi bahan perselisihan dan menuntut penilaian dan penyelesaian. Saya kira perkara ini adalah suatu kelumrahan tetapi tidak harus dianggap enteng atau ringan. Kerap saya mengelus jiwa yang pincang dengan dendangan lagu Allahyarham P Ramlee: “Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri?”
Bagi latarbelakang cerita pula saya telah menggunakan pengalaman bulanmadu kami di banjaran Himalaya 13 tahun yang lalu. Selain menggambarkan keadaan fizikal di sana yang agak istimewa, saya menfaatkan pengalaman itu sebagai ziarah jiwa atau penerokaan ke alam perasaan dan rohani sepasang suami isteri dalam konteks pertalian yang baru dijalin. Khususnya, untuk menyelongkar persoalan cinta dan hubungannya dengan perlakuan seks dan tatasusila di antara suami dan isteri.
Bagi mengimbangi kebejatan yang tergambar, saya tebarkan jalan cerita yang melibatkan lawatan ke Tanah Suci Makkah sebagai lambang pencarian puncak pengalaman spiritual. Kiswah yang melindungi Kaabah adalah lambang bendungan jiwa yang penuh rahsia. Jiwa yang pada asal kejadiannya mendambakan kesucian dan kemuliaan, tetapi pada hakikatnya terdedah pada kemesuman dan pernodaan.       
Saya teringatkan jalan cerita Di Bawah Lindungan Kaabah karya Hamka juga menggunakan latarbelakang Makkah sebagai tempat di mana puncak cerita disampaikan penulis. Saya bercadang memadankan serta menandinginya dalam Kiswah dengan kisah cinta yang agak berbeza.
Novel Kiswah selesai sebelum saya berangkat menunaikan fardhu haji tahun lalu. Gambaran terhadap keadaan di Tanah Suci pada mulanya saya ceduk dari pembacaan buku-buku Manasik Haji. Selain memeriksa maklumat yang saya paparkan dalam draft novel itu, saya mendapatkan ketetapan menerbitkannya setelah saya selesai menunaikan haji dan pulang ke tanahair.
Reaksi yang saya terima dari pembentangan kertaskerja mengenai draft novel ini di Pertemuan Sasterawan Nusantara di Brunei sebelum ia diterbitkan adalah agak sensasi dan di luar dugaan. Novel itu dianggap porno oleh sebahagian peserta setelah mereka membaca keratan novel yang saya lampirkan dalam kertaskerja. Malah sebahagian dari delegasi Singapura juga kurang senang dengan pembentangan dan pendekatan saya ketika itu. Tetapi Tan Sri Professor Ismail Hussein yang turut mendengar pembentangan kertaskerja saya pada hari itu telah bertemu dengan saya dan memberi galakan agar saya meneruskan usaha dan jangan berputusasa. Menurut beliau lingkungan hidup masyarakat Melayu di Singapura adalah berlainan dari lingkungan mereka yang mengecam penghasilan novel tersebut. Ya, mungkin saya tersalah strategi. Mungkin juga tidak, kerana saya mendapat berita dari penerbit, novel Kiswah laris dijual di sana ketika ini.
Di persimpangan ini izinkanlah saya berkongsi pengalaman saya di balik penghasilan Kiswah.
Seorang teman yang membaca manuskrip novel ini mengatakan saya telah mengotorkan citra kiswah yang suci. Seorang lagi berpandangan bahawa saya telah lari jauh dari landasan yang selama ini saya lalui. Beliau lebih senang jika saya tetap bersih dalam pengucapan. Ada yang tertanya-tanya mengapa saya mengajukan semacam peralihan paradigma melalui penghasilan Kiswah jika dibandingkan dengan karya-karya sebelumnya? Ada juga yang memberi sokongan moral agar saya tetap jujur dan berani mengungkapkan kebenaran dan tidak usah bersikap hipokrit. Isteri saya sendiri senang dengan novel ini dan mengatakan saya telah menjelajahi daerah baru dalam kesusasteraan Melayu Singapura.
Pada masa yang sama saya sendiri berasa bertanggungjawab menyelongkar fenomena penderaan dan kebejatan seks yang melanda sebahagian ahli masyarakat kita. Saya juga didorong keinginan mendobrak benteng kejumudan serta meluaskan batas tanggapan masyarakat terhadap isu seks yang selama ini dianggap tabu dan tidak enak disentuh.
Mungkin timbul pertanyaan sejauh mana dan sedalam mana Kiswah merupakan pengalaman peribadi penulis. Jawapannya terletak pada sejauh mana dan sedalam mana terkesan kejituan ekspressi penulis di benak dan di hati pembaca ketika menikmatinya. Saya telah sedaya-upaya bercerita secara jujur dan benar.
Seperti biasanya bila kita meneliti sesebuah karya, rahsia pengalaman itu harus diceduk dari kesan yang tersirat dan bukan yang tersurat. Imaginasi penulis didorong libido yang terarah oleh prinsip hidup. Jika pembaca tersentuh, penulis rasa terbebas dari andaian bahawa seksualiti merupakan penghayatan yang menjijikkan. Seks yang indah terbit dari jiwa yang indah. Seks yang hina melahar dari jiwa yang terseksa.
Ketika menyiapkan Kiswah, saya mengalami pergelutan di antara prinsip hidup yang saya anuti dan imaginasi yang membakar daya kreatif. Saya berasa sukar mengungkapkan keindahan ketika menggambarkan kejelekan. Saya dibelenggu adab ketika mendedahkan realiti dan pengalaman peribadi.
Jelasnya imaginasi saya telah ditebar untuk menjangkau perbatasan susila. Proses kreatif saya telah dipengaruhi pengalaman watak-watak di dalam karya. Pada mulanya watak-watak itu dikawal tetapi akhirnya menemukan jalannya sendiri. Kadang-kadang watak-watak itu menuntut agar saya bersifat berani dan mendedahkan kemesuman secara terbuka, tetapi bendungan kesusilaan menghindari saya dari berlaku biadap. Bila ini terjadi saya berasa kehilangan peluang, walaupun akhirnya saya tidak kesal, malah insaf.
Sama ada akhirnya Kiswah dapat diterima sebagai karya sastera, rujukan atau bacaan murahan tergantung pada penerimaan dan penilaian masyarakat dan penyelidik. Seorang sahabat umpamanya telah mengatakan bahawa penerbitan Kiswah telah menyiram minyak ke dalam api. Saya tergerak menjawab beliau belum sedia menerima realiti.
Jika ada kewaspadaan dan dorongan pensucian, ia terbit dari naluri kemanusiaan yang disaluti dan dilembuti prinsip hidup yang saya pegang. Jika ada kekasaran dan kejelekan, ia terbit dari kepincangan saya sebagai manusia yang amat visual dan sensual. Imaginasi yang saya tatang bersumber dari penghayatan saya sendiri sebagai manusia alamiah yang lemah dan perlukan hidayah. Mudah-mudahan saya tetap jujur dan terus berani memaparkan kebenaran, biarpun ia pahit atau tidak enak dijelaskan atau dibincangkan. Pada setiap saat pengkaryaan saya merasakan diri saya berada di atas neraca pengadilan.
Saya sedar penerbitan Kiswah (S'pura, Pustaka Nasional, 2002) seolah-olah telah melanggar adat Melayu kerana ia ibarat membuka pekung di dada atau menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. Kiranya keberanian saya telah melenyapkan kesantunan yang selama ini dikaitkan dengan karya-karya saya sebelumnya. Itulah risiko yang telah saya pertimbangkan dan saya ambil.
Tetapi saya ingin menganjurkan agar kita semua berpegang teguh pada prinsip dalam Islam bahawa kita harus menilai apa yang dikatakan dan bukan terpengaruh oleh siapa yang mengatakan. Kekadang apa yang dikatakan itu agak memeranjatkan dan tidak enak, tetapi harus dipertimbangkan jika ia mengandungi nafas kebenaran. Berdasarkan prinsip itulah saya serahkan Kiswah untuk dinilai dan dinikmati pembaca.

September 2002

No comments:

Post a Comment