Friday, February 10, 2012

Atas Nama Cinta

Versi Indonesia

Sungguhpun tampak mudah, tetapi menghidupkan suatu era dan peristiwa lampau yang penuh intrik agama, politik dan sosial adalah sesuatu yang sangat mencabar bagi seorang pengarang. Novel ini bukan sahaja menarik sebagai sebuah karya sastera, kerana kepelbagaian latar dan pendalaman emosi serta pemikiran watak, malah memberikan gambaran secara dekat, dramatik, dan jurnalistik tentang isu Natrah yang wajar diketahui oleh generasi muda. Di dalam novel ini cinta yang abstrak dan kudus boleh diletakkan di neraca undang-undang, dan nasib cinta boleh ditentukan di kamar hakim. Akan tetapi Nadra lebih daripada itu,  kerana cinta adalah sesuatu yang harus dilayari, dan nasib Nadra memberi impak terhadap nilai agama, hukum serta gejolak masyarakat yang mempertahankan nilai tauhid.  Seperti novelnya Tawassul, sekali lagi Isa Kamari melalui novel Atas Nama Cinta/Nadra ini membuktikan
kekuatannya sebagai seorang penulis novel.
SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan,

Versi Malaysia

SASTERA
Berita Harian Malaysia 30 November 2006 

Dunia Buku: Kemelut Nadra Ma’arof


ATAS Nama Cinta, novel sejarah karya Penerima Anugerah Penulisan Sea 2006 dari Singapura, Isa Kamari, merakam peristiwa tragik yang terpaksa dilalui Maria Hertogh atau nama Islamnya, Nadra Ma’arof.

Nadra Ma’arof pernah menggemparkan Tanah Melayu kerana wanita mualaf itu menjadi rebutan antara keluarga angkatnya yang mewakili dunia Melayu-Islam dengan keluarga sebenarnya, mewakili dunia Barat.

Novel setebal 34 bab termasuk bab Prolog dan bab Epilog ini, dimulakan dengan babak Maria dibicarakan Mahkamah Daerah Bergen op Zoom atas tuduhan cuba membunuh suaminya, Johan Geradus Wolkenfelt.

Perbicaraan itu sekali gus membuka lipatan sejarah mengenai tekanan perasaan yang dialami wanita itu pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu selepas beliau dijadikan anak angkat oleh keluarga Melayu.

Desakan zaman perang apabila Jepun menjajah rantau Asia Tenggara termasuk Indonesia menyebabkan ibu Maria, Adelaine terpaksa menyerahkannya kepada wanita berasal dari Terengganu, Aminah, di Desa Tjimahi, pinggir kota Bandung.

Maria ketika itu berusia lima tahun menjalani kehidupan sebagai orang Islam dan memakai nama Nadra manakala nama timangan, Puteh, berhijrah ke Kemaman, Terengganu kerana Aminah berasa sukar untuk hidup di perantauan.

Bagaimanapun, kehadiran Nadra di tengah-tengah masyarakat Melayu berjaya dikesan penjajah Inggeris melalui Pegawai Pentadbiran Bahagian Timur Terengganu, Arthur Locke, yang licik lalu memasang perangkap ‘merampas’ kembali Nadra.

Aminah terpedaya dengan strategi licik penjajah, membawa Nadra ke Singapura, sekali gus memberi kuasa kepada Inggeris untuk membawa kes perebutan Nadra ke mahkamah kerana penjajah tidak mempunyai kuasa yang luas di Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Kes perebutan Nadra menjadi isu bangsa, agama dan negara apabila sampai kepada pengetahuan pertubuhan berkaitan orang Melayu seperti Persatuan Kebajikan Wanita Islam, Persatuan Kebajikan Muslim di Singapura, Liga Muslim Singapura, Persatuan Dakwah Islam SeMalaysia dan Kesatuan Melayu Muda.

Novel ini turut memaparkan episod rusuhan orang Melayu yang terbakar dengan tindakan Mahkamah Tinggi Koloni Singapura mengeluarkan keputusan merampas Nadra daripada Aminah untuk diserahkan kepada keluarga asalnya di Belanda.

Episod sejarah yang tragik ini boleh dibaca lewat novel ‘Atas Nama Cinta’ setebal 284 halaman terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd berharga RM29 senaskhah selain berpeluang mendengar lagu puisi melalui CD Sirrfilsirr yang dikepilkan percuma.

Atas Nama Cinta novel epik sejarah kisah Nadra

Oleh ANI AWANG

PENULIS Isa Kamari, 46, telah menghasilkan novel Atas Nama Cinta setelah membuat kajian yang teliti mengenai kisah sebenar perebutan anak angkat yang berlaku pada tahun 1940-1945 yang disimpan di Arkib Singapura.

Penerima Anugerah Penulisan Sea 2006 dari Singapura itu berkata: “Saya membuat kajian mengenai kisah Nadra sejak tahun lalu dan saya mendapati ia sebuah cerita yang menarik dan meruntun jiwa. Atas Nama Cinta adalah kisah Nadra.

“Tahun lalu, saya menulis kisahnya dan ia sudah pun siap sepenuhnya sebagai sebuah karya novel yang diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur,’’ kata Isa ketika ditemui baru-baru ini.

Atas Nama Cinta itu membongkar peristiwa tragik yang dilalui Maria Hertogh atau nama Islamnya, Nadra Ma’arof.

Wanita mualaf itu pernah menggemparkan Tanah Melayu kerana menjadi rebutan antara keluarga angkatnya yang mewakili kaum Melayu-Islam dengan keluarga kandungnya yang mewakili masyarakat Barat.
Novel setebal 34 bab termasuk bab prolog dan bab epilog ini, dimulakan dengan babak Maria dibicarakan di Mahkamah Daerah Bergen op Zoom.

Perbicaraan itu sekali gus membuka lipatan sejarah Maria saat Jepun menjajah rantau Asia Tenggara termasuk Indonesia. Ketika itu, ibu Maria, Adelaine Hunter berada di Desa Tjimahi, pinggir kota Bandung, Indonesia.

Tekanan peperangan telah memaksa Hunter menyerahkan anaknya Maria kepada Aminah, seorang wanita Terengganu yang ketika itu tinggal di Bandung.

Maria ketika itu berusia lima tahun. Di bawah jagaan Aminah, Maria menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak Islam yang diberi nama Nadra dengan nama timangannya Puteh.

Nadra kemudian di bawa Aminah berhijrah ke Kemaman, Terengganu.

Kehadiran Nadra di tengah-tengah masyarakat Melayu telah dikesan penjajah Inggeris melalui Pegawai Pentadbiran Bahagian Timur Terengganu, Arthur Locke, yang licik memasang perangkap untuk merampas kembali Nadra daripada Aminah.

Aminah terpedaya dengan strategi licik penjajah lalu membawa Nadra ke Singapura, sekali gus memberi kuasa kepada Inggeris untuk membawa kes perebutan Nadra ke mahkamah kerana penjajah tidak mempunyai kuasa yang luas di Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Kes perebutan Nadra menjadi isu bangsa, agama dan negara apabila sampai kepada pengetahuan Persatuan Kebajikan Wanita Islam, Persatuan Kebajikan Muslim Singapura, Liga Muslim Singapura dan Kesatuan Melayu Muda.

Novel ini turut memaparkan episod rusuhan orang Melayu yang marah dengan tindakan Mahkamah Tinggi Koloni Singapura yang mengeluarkan keputusan supaya Aminah menyerahkan semula Nadra kepada keluarga asalnya, Adelaine dan Adrianus Petrus Hertogh di Belanda.

Menurut Isa, dia begitu tertarik untuk menulis novel Atas Nama Cinta kerana mahukan kisah yang benar itu dibaca kerana ia mempunyai sejarah yang unik dan menarik.

“Kalau saya tidak menulis novel ini khalayak tidak akan tahu cerita sebenar yang pernah menggegarkan negara,’’ tambahnya yang bertugas sebagai arkitek di Penguasa Pengangkutan Darat, Singapura.

Isa aktif menulis sejak di sekolah rendah dalam pelbagai genre seperti cerpen, puisi, esei sastera, skrip drama tv dan teater.

Selain Atas Nama Cinta karya beliau yang lain ialah novel Kiswah, Menara dan Tawassul (2002), Satu Bumi (1998), Kumpulan Cerpen Sketsa Minda (1994), Kumpulan Puisi Munajat Sukma (2003) dan Sumur Usia (1993).

Khalayak yang membeli novel berharga RM29 itu berpeluang mendapat satu cakera padat (CD) lagu puisi Kumpulan Sirrfilsirr secara percuma.


JOHAR BUANG
Cinta Sejati Yang Belum Pudar Di Ambang Zaman

Singapura banyak menyimpan warisan sejarah yang begitu penting dan menarik sekali untuk dihayati dan dikaji oleh pelapis generasi intelek masa kini. Salah sebuah palitan sejarah yang tentunya belum pudar di hati masyarakat Melayu Singapura, terutamanya bagi golongan generasi tua, ialah kisah Nadra yang pernah menggemparkan Tanah Melayu kerana tercabarnya maruah umat Islam sehingga mencetuskan rusuhan terbesar dan perbalahan kaum dan agama di antara Islam dan Kristien dalam tahun 1950, pada zaman pemerintahan Kolonial Inggeris. Rasa bertuah sekali, kisah ini kembali dipaparkan dalam bentuk sebuah novel epik sejarah berjudul Atas Nama Cinta, karya seorang sasterawan yang tidak asing lagi namanya Isa Kamari, yang baru-baru ini juga telah menerima anugerah rantauan tertinggi S.E.A. Write Award 2006.

Melihat pada sosok percetakkan novel terbarunya ini, diterbitkan oleh penerbit Al-Ameen Serve Holdings, dengan teknologi percetakan yang canggih, kemas dan cantik ilustrasi kulit bukunya, saya sudah dapat menjangkakan inilah karya terbesar Isa Kamari yang ditunggu-tunggu oleh para peminatnya, setelah menghasilkan beberapa buah novel yang terbit di Singapura seperti Satu Bumi, Tawassul, Kiswah, Menara, di sampingnya kumpulan cerpen Sketsa Minda dan kumpulan-kumpulan puisi Sumur Usia, Munajat Sukma, serta terkini iala Ka'abah, Lorong Wahyu dan Cinta Arafah. Novel Atas Nama Cinta ini adalah novel Isa Kamari yang pertama kali terbit di Kuala Lumpur, Malaysia.

Mungkin ramai di antara generasi Melayu kini yang tidak tahu-menahu langsung akan detik-detik sejarah Nadra. Barangkali kerana kisah Nadra sebelum ini tidak pernah terdapat dari mana-mana sumber buku bacaan Melayu. Puluhan buku kisah Nadra ini pernah diterbitkan  di Barat, antaranya ialah Tangled World – The Story of Maria Hertogh oleh Dr. Tom Eames Huges. Sehinggalah pada tahun 1989, setelah 39 tahun peristiwa Nadra ini berlalu, majalah Dewan Masyarakat yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, menyiarkan kembali kisah Nadra ini dengan penampilan beberapa pembaharuan daripada penemuan bukti-bukti sejarah, terbagi 4 episod keluaran – Februari hingga Mei. Kini  kisah Nadra boleh juga dibaca di beberapa lelaman internet dalam versi Inggeris.

Pada halaman depan - vii, Insan-Insan Dalam Sejarah, terdapat senarai daftar nama untuk mempermudahkan pembaca mengenali dahulu sinopsis watak-watak secara ringkas dalam novel ini, sebelum melangkah ke episod penceritaannya. Pada senarai teratas sekali ialah nama Maria / Bertha Hertogh / Nadra Ma'arof.  Berdasarkan artifak keratan akhbar edisi cetakan Jawi, nama Nadra juga dieja sebagai Natrah.

Menurut catatan sejarah, Nadra atau Natrah dilahirkan di Tjimahi, Tanah Jawa pada 24 Mac 1937. Tjimahi merupakan sebuah desa permai terletak di pinggir kota Bandung. Nama yang diberikan sewaktu kelahirannya ialah Huberdina Maria Hertogh. Pada usianya masih bayi, Nadra telah disucikan di gereja Roman Katholik oleh Paderi De Koster pada 10 April 1937. Nadra adalah anak ketiga selepas kelahiran kakak sulungnya bernama Wiesge pada tahun 1935, tahun berikutnya pula lahir Corrie. Selepas Nadra (Maria), lahir adik lelakinya Kees sebagai anak keempat dan kelima adik lelakinya Benny.   

Bapanya Adrianus Petrus Hertogh adalah anak jati Belanda. Dilahirkan di Willerustad, Noord Brabant pada 19 September 1905, berkhidmat sebagai askar diraja Belanda Wilayah Timur dan berpangkat sarjan sewaktu beliau berumur 15 tahun. Beliau ditugaskan ke Indonesia pada 11 September 1924. Ketika itulah beliau bertemu dengan calon isterinya bernama Adelaine Hunter dan bernikah pada 22 November 1933 di Gereja Roman Katholik di Bandung. Pasangan keluarga ini menetap di Baroshweg II, Tjimahi, Jawa.

Adelaine sebenarnya mewarisi darah campuran. Ibunya berbangsa Serani (kacukan Eropah). Nama asalnya Louise Hunter Winterberg. Beliau memeluk Islam dan menggantikan namanya Nor Louise setelah berkahwin dengan anak tempatan Jawa bernama Raden Ismail sebagai suami kedua, selepas bercerai dengan suami pertamanya berbangsa Scot bernama Joseph Hunter.  Dari hasil perkahwinan dengan suami pertamanya, lahir dua orang anaknya bernama Soewaldi dan Adelaine.  Nor Louise terkenal sebagai pelakon bangsawan, begitu juga suami keduanya Raden Ismail.

Setelah Nor Louise memeluk Islam, Soewaldi dan Adelaine dibesarkan dalam didikan agama Islam dan budaya timur, berkat asuhan bapa tiri mereka Raden Ismail. Namun semenjak Adelaine berkahwin dengan suaminya Adrianus, beliau telah murtad kerana mengikut agama suaminya. Justeru itu, kesemua anak Adelaine dibesarkan dalam lingkungan ajaran agama Katholik. Manakala abangnya Soewaldi masih tetap berpegang teguh kepada agama Islam kerana pertalian perkahwinannya dengan seorang wanita muslim tempatan.

Memintasi selanjutnya novel epik sejarah Atas Nama Cinta, membuka tirai kemaraan tentera Jepun menawan Asia Tenggara kira-kira pada tahun 1942. Tanah Jawa pada ketika itu di bawah jajahan Belanda semenjak tahun 1619. Penjajahan Belanda di Jawa demi usaha untuk mengukuhkan kepentingan perdagangan rempah ratus di Hindia Timur. Pergolakan hebat di Asia Tenggara telah menyebabkan Tentera Bersekutu Barat tidak dapat bertahan lama daripada akibat serangan kuat tentera Jepun. Selepas seluruh Tanah Melayu jatuh di bawah takluk pihak tentera Jepun pada 17 Februari 1942, Jepun melanjutkan pula serangannya ke seluruh bumi Indonesia dan bertempur dengan askar-askar Angkatan Belanda di Laut Jawa pada hujung Februari 1942.

Pada 8 Mac 1942, angkatan askar Belanda menandatangani surat penyerahan kuasa sepenuhnya kepada tentera Jepun tanpa syarat. Lantaran itu, ramai askar-askar Belanda telah menjadi tawanan perang Jepun berdasarkan perjanjian Geneva. Salah seorang tawanan askar Belanda itu ialah Adrianus Petrus Hertogh, suaminya Adelaine. Ketika Adrianus menjadi tawanan perang, Adelaine sedang menghamilkan anak keenamnya.

Adrianus dihantar ke Koloni Singapura, kemudian ke Thailand untuk dijadikan buruh paksaan bagi pembinaan landasan maut keretapi di Burma. Berbulan-bulan lamanya Adrianus tidak pulang ke pangkuan keluarganya, sehingga menyebabkan isterinya Adelaine sentiasa dalam kecurigaan, keresahan dan kebimbangan, kerana diawasi oleh mata-mata tentera Jepun yang berkeliaran di mana-mana. Tentera Jepun amat membenci bangsa kulit putih dan ramai yang telah menjadi mangsa korban rogol dan pembunuhan. Memandangkan kecantikan paras rupanya seiras dengan orang kulit putih, Adelaine mula berfikir untuk mencari tempat perlindungan yang lebih selamat untuk keluarganya. Tambahan lagi, pergolakan dan kekecohan di tempat tinggalnya bukan sahaja disebabkan tindakan kekejaman  tentera Jepun, malah kebangkitan golongan nasionalis yang membakar semangat perjuangan tanahair dan anti bangsa kulit putih, memburukkan lagi keadaan dan menghempit penderitaannya.

Adelaine telah memohon bantuan ibunya Nor Louise yang pada ketika itu sedang berada di Singapura, agar segera pulang ke Bandung. Dengan perlindungan yang diberikan oleh Nor Louise,  Adelaine dapat menyelamatkan diri dan anak-anaknya buat sementara di rumah ibunya itu, walaupun dalam keadaan hidup yang serba susah dan miskin. Bekalan makanan amat sukar sekali didapatkan di zaman pendudukan tentera Jepun. Ramai penduduk yang sengsara dideritai kelaparan, dilanda penyakit dan akhirnya menempa maut.

Namun tidak semua golongan mangsa perang dunia kedua itu ditimpa nasib malang dan penderitaan. Ada golongan yang bernasib baik kerana hubungannya dengan pihak Jepun dapat mengecap hidup mewah. Di antaranya ialah seorang wanita Melayu yang berasal dari keluarga kenamaan di Kemaman, Terengganu, kerana diterima bekerja sebagai penterjemah di sebuah pejabat tentera Jepun di Bandung.  Nama wanita ini ialah Aminah Bte Mohd. Pada mulanya beliau datang ke Bandung kerana menjalankan usaha niaga barang kemas bersama-sama suaminya Ma'arof yang berasal dari Medan. Sebelum menikahi Ma'aruf dan bermastautin di Bandung, Aminah telah berumahtangga dengan Abdul Ghani yang berasal dari Perak dan kebetulan pula sewaktu itu menjawat Setiausaha Peribadi kepada Sultan Terengganu. Aminah pernah menuruti suami pertamanya Abdul Ghani ke Jepun kerana suaminya bertugas sebagai pensyarah bahasa Melayu di sebuah universiti di Tokyo. Selama 12 tahun menetap di Jepun, telah membuat Aminah fasih berbahasa Jepun. Semasa di Jepun juga, Aminah mendapat seorang anak angkat berbangsa Jepun yang diberikan nama Kamariah, dan dibawa balik menetap di Terengganu. Selang beberapa tahun Abdul Ghani meninggal dunia, barulah Aminah bernikah pula dengan Ma'aruf.

Nor Louise mengenali Aminah sebagai kenalan rapatnya di Bandung. Kehidupan Aminah sebagai janda yang serba mewah, tetapi tinggal kesepian setelah bercerai dengan suami dan tidak mempunyai anak kandung, telah menarik perhatian Nor Louise untuk menagih simpati dan kasih-sayang daripada Aminah buat melindungi anak-anak Adelaine yang penjagaannya tidak terurus. Aminah, wanita yang bersifat keibuan dan baik hati, telah banyak memberikan bantuan kemiskinan kepada keluarga besar Nor Louise ini. Malah Adalaine dan Nor Louise bukan sahaja terhutang budi, bahkan terhutang nyawa kepada Aminah kerana diizinkan menumpang teduh di rumah Aminah daripada ditangkap menjadi korban mangsa tentera Jepun yang senantiasa memburu orang-orang kulit putih.

Di antara anak-anak Adelaine, Maria (Nadra) adalah yang tercantik paras wajahnya. Putih kulitnya dan berambut perang ikal mayang. Ini sangat membimbangkan Adalaine, jika Maria tidak diberikan perlindungan, takut suatu hari nanti diculik tentera Jepun. Demi itu, Adalaine pernah menawarkan hasratnya kepada Aminah, agar Aminah sudi memelihara Maria sebagai anak angkat.

Selepas Adalaine melahirkan anak keenamnya, barulah Aminah bersedia menerima Maria sebagai anak angkat yang kemudian diberikan nama Islamnya Nadra. Ketika Nadra diserahkan kepada Aminah, ia baru berusia lima tahun. Adelaine tidak keberatan Nadra dibesarkan dengan pendidikan Islam dan budaya Melayu. Kerana Adelaine amat memahami bahwa dia juga dahulunya pernah dibesarkan dalam susasana hidup sedemikian dan mengamalkan ajaran Islam. Adelaine dan Nor Louise dikatakan hadir di hari majlis Nadra dikhatankan. Penyerahan Maria kepada Aminah disaksikan oleh Soewaldi. Menurut catatan sejarah, penyerahan anak angkat itu berlangsung di mahkamah dan masing-masing pihak menandatangi satu surat perjanjian. Akan tetapi, dalam kandungan surat perjanjian tersebut, tiada keterangan kuat bahwa Adalaine telah menyerahkan seluruh haknya kepada Aminah untuk penjagaan Nadra. Pada suatu ketika lainnya, dalam pembicaraan mahkamah Kolonial Inggeris di Singapura, sebagaimana jua dipaparkan dalam bahagian novel Atas Nama Cinta ini, Adalaine akhirnya mendakwa Aminah hanyalah semata-mata seorang babu yang pernah diberikan kepercayaan untuk memelihara Nadra ketika dia dalam kesempitan, tetapi bukan sebagai ibu angkat yang sah.

Aminah menumpahkan seluruh kasih sayangnya terhadap Nadra ibarat darah dagingnya sendiri. Nadra pun sudah menganggap Aminah seperti ibu kandungnya.  Pada suatu hari Aminah memutuskan untuk membawa Nadra tinggal di Terengganu. Ini kerana di Tanah Jawa tentera Jepun sudah semakin kejam bertindak memburu orang kulit putih. Aminah mula berfikir, Nadra tidak akan selamat selamanya tinggal di Bandung. Pemergian Aminah membawa Nadra ke Terengganu, tidak dihalang pula oleh Adelaine. Justeru itu, Aminah merasakan Adelaine tidak lagi mengambil berat tentang Nadra.

Semasa perang tamat dan setelah tentera Jepun menyerah kalah di Tanah Melayu pada Disember 1945, Adrianus kembali mencari keluarganya di Bandung. Ketika itu dia baru saja dibebaskan dari kerahan tenaga lombang arang batu di Jepun, setelah dipindahkan dari kem tahanan landasan keretapi maut di Burma.

Sampai di Bandung, Adrianus menemui kembali semua anggota keluarganya kecuali anaknya Maria. Sebaik saja Adrianus mengetahui anaknya Maria sudah diserahkan kepada seorang wanita Melayu dan telah memeluk Islam, beliau menjadi begitu kesal dan marah kepada isterinya. Mereka sekeluarga termasuk Nor Louise, akhirnya berangkat ke Belanda tanpa Maria kira-kira dalam bulan Julai 1946. Bagaimana pun, Adrianus tetap meneruskan usaha mencari jejak Maria dengan menghubungi Konsulat Belanda di Singapura.

Semasa menetap di Kamaman, Nadra dimasukan ke Sekolah Perempuan Melayu Chukai. Belajar mengaji Al-Qur'an dengan Ustazah Mak Hawa sampai khattam tiga kali. Nadra mempunyai ramai teman-teman di Kemaman. Beliau juga aktif dalam sukan kampung bola keranjang.

Di dalam penceritaan episod 8, novel Atas Nama Cinta ini, bermulalah satu peristiwa sejarah yang mahu memisahkan hubungan Nadra dari Aminah. Kemunculan Tuan Arthur Locke, Pegawai Pentadbiran Bahagian Timur Terengganu, sebagai tetamu kehormat di majlis pertandingan tarian Sekolah Perempuan Melayu Chukai, menjadi punca sebabnya. Sebaik saja Tuan Locke terpandangkan Nadra, perlahan-lahan dia pun merancang niat jahat dan tipu muslihatnya.

Akhirnya, Aminah termakan jua pujukan Tuan Locke untuk membawa Nadra ke Singapura. Pada ketika itu usia Nadra sudah peringkat remaja, 13 tahun. Tuan Locke memberikan janji-janji palsu, kononnya Konsulat Belanda akan menyerahkan surat rasmi kepada Aminah untuk penjagaan Nadra sebagai anak angkat. Dan juga akan membiayai ongkos pemergian Nadra ke Belanda, kerana pihak keluarganya di sana tersangat ingin bertemu dengannya. Selang beberapa hari di Singapura, barulah Aminah menyedari kesemua tembelang Tuan Locke, apabila muncul seorang yang bernama Van Lunteran, diiringi dua orang petugasnya di rumah sahabat Aminah bernama Saodah. Dari situ jelaslah sudah apa sebenarnya yang dimahukan Konsulat Belanda dari Aminah. Mereka membuat tuntutan di luar peri kemanusiaan, mahu merampas Nadra!

Aminah terasa kesal sekali membawa Nadra ke Singapura. Akibat daripada kes tengkarah yang dibawa berpanjangan di mahkamah,  di Singapura telah berlaku berbagai tragedi rusuhan yang begitu menyayatkan, kisah cinta yang penuh dramatik, tindak-tanduk yang keterlaluan tanpa menghormati keharmonian agama dan kemanusiaan, telah mendapat perhatian besar daripada seluruh masyarakat sedunia, iaitu perebutan hak di antara dunia timur dan dunia barat.

Di antara detik-detik penting dalam peristiwa sejarah Nadra di Singapura, sebagaimana jua yang dipaparkan dalam beberapa lanjutan episod novel ini ialah:

  • 12 Mei 1950 - Nadra diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Singapura, atas surat saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kolonial Singapura berdaftar 124/1950 yang ditandatangani oleh Tan Thoon Lip.
  • 24 April 1950 - Nadra ditempatkan di Rumah Kebajikan Masyarakat York Hill.
  • 28 April 1950 - Aminah membuat rayuan kesnya di mahkamah untuk mendapatkan haknya kembali menjaga Nadra menerusi peguam Encik Ahmad Ibrahim.
  • 19 Mei 1950 - Peguam Ahmad Ibrahim menuntut pembelaan di mahkamah bahwa Aminah berhak sebagai penjaga Nadra dengan menampilkan bukti surat perjanjian yang pernah ditandatangani Aminah dan Soewaldi.
  • 28 Julai 1950 - Aminah menang kes tuntutan rayuannya dan Nadra dibebaskan dari tahanan Rumah Kebajikan Masyarakat York Hill.
  • 1 Ogos 1950 - Nadra bernikah dengan Mansoor Adabi. Upacara pernikahan berlangsung di rumah Encik M.A. Majid yang beralamat di nombor 139, Serangoon Road.
  • 2 Disember 1950 - Surat perintah dikeluarkan oleh Ketua Hakim untuk didengar kes pengesahan perkahwinan Nadra dan Mansoor dan hak penjagaan Nadra.
  • 12 Disember – Ketua Hakim menjatuhkan keputusan pembicaraan. Nadra mesti dikembalikan ke pihak keluarganya di Belanda.
  • 12 Disember 1950 – Keputusan berat sebelah yang dijatuhkan oleh Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Kolonial Singapura, dianggap tidak adil oleh masyarakat Islam dan dengan ini telah mencetuskan rusuhan terbesar, mengakibatkan 18 orang awam terbunuh dan 173 orang awam tercedara.
  • 12/13 Disember 1950 – Nadra dan Adelaine meninggalkan Singapura dengan menaiki pesawat di lapangan terbang Kallang.
Memintasi babak-babak akhir – sepanjang episod 32, diberitakan berbagai insiden cemas yang memarakkan api rusuhan dengan penuh perincian. Masjid Sultan menjadi kubu pertahanan para perusuh dan tempat persembunyian senjata. Beberapa tempat seperti Arab Street, Beach Road, North Bridge Road, Kandahar Street, kawasan berdekatan Istana Kampong Glam menjadi tempat sasaran berlakunya rusuhan menentang pasukan-pasukan polis dan Ghurka. Seorang pemimpin yang amat berpengaruh, Karim Ghani, memainkan peranan utama dalam mencetuskan rusuhan terbesar ini. Membaca keseluruhan cerita dalam babak-babak akhir ini, tentu saja akan meninggalkan kesan yang amat mendalam serta mendebarkan hati pembaca. Banyak maklumat sebenar dapat diketahui daripada kesan peninggalan sejarah Nadra ini.

Namun begitu, sebagai pembaca yang sedang menikmati hidangan kreatif sebuah novel, saya terfikir sejenak; apakah sepanjang peristiwa rusuhan menjelang episod terakhir merupakan klimaks dalam novel Atas Nama Cinta ini?

Sekadar memberikan pendapat, dari awal saya membaca novel ini, saya rasa yakin bahwa novel ini ditulis atas konsep tema cinta yang berteraskan perjuangan dan falsafah hidup, ini selaras dengan judulnya Atas Nama Cinta. Bukan bermotifkan semata-mata fakta peristiwa dan sejarah. Justeru itu, kisah cinta Nadra ini sebenarnya belum berakhir dan tidak akan berakhir begitu sahaja walau ditabiri sepenuhnya babak-babak insiden rusuhan.

Bagaimanakah kesudahan sebenarnya cinta antara Nadra dan Mansoor yang berpijak di bumi sejarah - timur dan barat?

Pada bahagian Epilog, teknik penceritaannya terlalu dikuasai pengarang dengan pemberitaan biasa, pantas dan agak mendatar. Tiada lagi kebebasan dialog dan menolog diberikan kepada watak-watak penting yang dari awal dan pertengahan mendukung penceritaan novel ini. Kisah percintaan di antara Nadra dan Mansoor tidak lagi mendebarkan dan berakhir begitu saja setelah masing-masing membawa haluan hidup sendiri-sendiri.

Di Belanda, Maria (Nadra) meneruskan hidupnya menetap di Bandar Bergen op Zoom sehingga bernikah secara sulit dengan seorang pegawai tentera Belanda bernama Johan Geradus Wolkenfelt dan dikurniakan 13 cahaya mata. Manakala  bekas suami Maria yang pertama, Mansoor Adabi, juga telah mendirikan rumahtangga dengan seorang wanita Melayu di Singapura.

Saya terkesan beberapa perkara dalam bahagian Epilog ini. Pertama, ketika Maria sampai di Belanda, Maria sentiasa dikawal ketat oleh pegawai polis. Dia tidak bebas bergerak ke mana-mana walau duduk di rumah. Jika ke sekolah pun akan diiringi pegawai polis preman. Bangunan sekolahnya juga dikawal rapi. Maria tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa yang tidak dikenalinya. Hidupnya terseksa bagaikan seorang tawanan penjara.

Justeru itu, saya tersentuh sedikit bahwa, bagaimanakah pula mudahnya Maria dapat berhubungan dengan Mansoor melalui surat-surat dan saling bertanya khabar sebagai kawan, sedangkan dalam keadaan getir pada ketika itu sangat dikawal ketat oleh pihak berkuasa Belanda?

Apakah Maria yang lebih dahulu mengutus surat kepada Mansoor? Jika demikian, siapakah yang bertanggungjawab meluluskan surat-surat Maria terlepas dari pengawasan pihak berkuasa Belanda? Atau mungkinkah Mansoor Adabi yang mengutus suratnya dahulu? Jika benar, bagaimanakah Mansoor mendapatkan alamat keluarga Maria di Belanda?

Selepas Nadra (Maria) berjaya dirampas kembali oleh keluarganya di Belanda, benarkah Maria telah menggadaikan seluruh imannya dan menjadi murtad, tanpa lagi sebutir pun sisa-sisa  akidah keislaman yang tinggal pada dirinya? Padahal Nadra sebelumnya adalah perempuan yang cukup lengkap menerima asuhan agama daripada ibu angkatnya Aminah, sampai boleh baca Qur'an dengan fasih, taat menunaikan salat dan mengenal hukum syari'at. Keimanan Nadra telah cukup teruja dengan tabahnya semasa dia ditahan di Rumah Kebajikan Masyarakat York Hill.  Semudah itukah Nadra melepaskan pegangan Islamnya, jika tidak kerana adanya ombak dan arus kencang yang melanda sebegitu kuat, menggugah dan menolak seluruh keimannya?

Saya berpendapat, mengapa tidak klimaks dalam novel Atas Nama Cinta ini akhiri dengan babak kejutan berita perkahwinan Mansoor? Saya kira perkahwinan Mansoorlah yang menjadi punca penyebab mengapa Maria melepaskan keislamannya serta rela mengorbankan cintanya terhadap Mansoor. Perkahwinan Mansoorlah yang sebenarnya menghancurkan segala harapan dan cinta Maria. Kekasih yang selama ini ditunggu-tunggu, diharap-harapkan, disanjung dan dipuja gagal bertindak sebagai penyelamat untuk melepaskannya dari cengkaman pihak keluarganya di Belanda. Sudah pasti, Nadra yang bertahan di atas nama cintanya setiasa menunggu kehadiran Mansoor. Nadra hanya mahu hidup di samping lelaki yang dicintainya. Cintanya terhadap Mansoor bukan sekadar menjadi ilusi yang terkandung dalam puisi-puisi yang pernah disumbangkan Mansoor kepadanya. Cinta sejati mendambakan pengorbanan agung dan pembelaan maruah. Mengapakah Mansoor tidak seberani 'perahu' dalam puisi sufi Hamzah Fansuri, biar pun kerdil dan serba kekurangan, tetapi sanggup meredah lautan besar dan bertarung nyawa dengan musuh, demi membawa kepulangan Nadra ke dunia timur?

Atau mungkin saja, cinta Nadra dan Mansoor ini terputus hubungannya kerana telah dikhianati oleh fitnah orang tertentu. Siapa tahu, boleh jadi benar, sewaktu Nadra cuba menyeludupkan surat-surat sulitnya kepada Mansoor ke luar negara, malangnya surat-suratnya itu tidak sampai ke tangan Mansoor yang pada ketika itu berada di Singapura. Sebaliknya surat-surat sulit itu telah terjatuh ke tangan ibunya Adelaine. Dan tak mustahil, ibunya Adelaine yang pandai berbahasa Melayu telah membaca surat-surat sulit tersebut. Dengan pintas Adelaine cuba mencari jalan untuk menghalang surat-surat Nadra itu supaya jangan sampai ke tangan Mansoor. Justeru itu, Adalaine telah menulis sendiri dan mereka-rekakan surat-surat palsu Nadra dengan menaburkan fitnah, kononnya surat-surat itu ditulis sendiri oleh Maria dengan tujuan mahu benar-benar melupakan hubungannya dengan Mansoor. Sebaik mungkin menerima surat-surat palsu Nadra itu, Mansoor berpatah hati dan terlalu kecewa lalu sanggup melepaskan Nadra dengan serela hatinya atas nama cinta. Demi untuk mengubat segala luka di hatinya, Mansoor juga mahu melupakan Nadra dan menempuh hidup baru lalu berkahwin dengan seorang gadis Melayu.

Pada hemat saya, andai dapat diterima sebagai suatu pandangan yang subjektif, keberhasilan sebuah karya kreatif sastera seperti novel, bergantung kuat sejauh mana  kemampuan dan perkembangan watak-wataknya. Sekiranya aspek ini sudi diambilkira, saya yakin novel Atas Nama Cinta ini mampu menyaingi novel-novel besar lainnya seperti Salina dan Sungai Mengalir Lesu karya Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said atau pun Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Bagaimana pun, sumbangan novel Atas Nama Cinta karya Isa Kamari ini, menampilkan suatu pembaharuan yang bertapak di arena penulisan novel epik sejarah serta memperkayakan khazanah karya sastera Melayu yang  bermutu, yang dihasilkan sendiri oleh anak watan bumi Temasik, menyusul novel-novel Batas Langit karya Mohd Latif Mohd dan Penghulu Yang Hilang karya Suratman Markasan.

Sekian dan tahniah.

Johar Buang
25 - 28 Jun 2007
Singapura.


ROSLIE SIDIK
Ulasan novel “Atas Nama Cinta” karya Isa Kamari  
Selepas novel Kiswah yang menimbulkan kontroversi mengenai penerokaan alam seksualiti, dengan agak '''angkuh" Isa Kamari memaparkan keberaniannya sekali lagi dengan melahirkan novel "Atas Nama Cinta (Al-Ameen, 2006 )."  Kali ini, beliau bukan sahaja berjalan terjengket-jengket di tepi parit, bahkan telahpun seolah-olah berlari-lari sambil melompat-lompat  dengan rasa penuh keyakinan tanpa menunjukkan sedikitpun rasa gentar.
Novel "Atas nama Cinta" menggegarkan suasana sastera Singapura yang sejak dahulunya begitu tenang dan tidak sedikitpun berkocak dan bergelora.  Penulis mengungkit kembali kisah silam , mengenai kisah Nadra, suatu sejarah yang tidak dapat dilupakan, namun begitu ragu-ragu mahu dibicarakan oleh sesiapapun.   Peristiwa yang penuh tragedi ini berakhir dengan pertumpahan darah yang telahpun menggoncangkan keselamatan negara.  
Maria Hertogh atau nama Islamnya Nadra Binte Ma├írof telah menjadi rebutan dua dunia- dunia Islam dan dunia Barat.  Nadra yang telah mengecapi iman dengan keluarga angkatnya, telah dituntut untuk kembali menjadi Maria oleh ibu kandungnya sendiri.  Cinta Nadra yang mula berputik dengan pemuda yang baru dikahwininya dirampas oleh mahkamah penjajah.  Nadra dipaksa kembali ke Belanda.
Pembaca yang berjiwa halus dan lembut pasti pasti dibelai dengan kisah romantis dan tragis yang dipaparkan oleh penulis.   Penulis menggarap kisah ini dengan kreativiti yang unggul.   Teknik penceritaan yang dilakukan secara kronologi memudahkan lagi cerita ini untuk difahami dan dihayati sepenuhnya.  Bahkan, pembaca pasti tertarik dengan permulaan cerita yang diambil pada tahun 1942 di desa Tjimahi, Hindia Timur Belanda dan seterusnya sehinggalah beralih ke desa Kemaman, Terengganu dan sewajarnya kemuncak cerita berlaku di Singapura pada tahun 1950.  Pastinya, penulisan ini yang dihasilkan berasaskan penyelidikan yang agak rinci dan digarap dengan kreativiti yang tinggi memberikan suatu perspektif yang begitu menyegarkan mengenai kisah sejarah ini.   
            Novel ini yang ditulis dengan bahasa yang mudah, seakan mengundang pembaca untuk menghayati dan merenung kembali bagaimana kisah ini dapat dijadikan satu iktibar untuk semua.  Mahupun begitu, terkesan di bahagian prolog, penulis seolah-olah ingin mengingatkan pembaca mengenai keupayaannya menulis dengan bahasa yang cukup indah.   Ini ditambah pula dengan penulisan lirik puisi yang cukup mempesonakan dan nyanyian puisi-puisi ini dapat didengar melalui CD Sirrfilsirr yang dikepilkan percuma di dalam novel tersebut.  Setiap bab juga dimulakan dengan kata-kata puitis yang menambat hati dan pasti tidak akan mengecewakan peminat sastera..
            Dengan kelahiran novel epik sejarah ini, penulis telah membuktikan kemantapannya sebagai novelis sejati.  Saya mengajak pembaca menyelami sendiri cara penulis menggarap bahan karyanya yang cukup sensitif dengan cara dan pendekatan yang benar-benar kreatif.


Berita Harian Malaysia, 27 September 2007
Sejarah baru di tangan pengarang Singapura
Perspektif terkini beri penulis berkisah dengan pembaca tanpa kongkongan minda penjajah

SEMINAR Isa Kamari di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini, mendekatkan karya Penerima Anugerah Penulisan Sea 2006, Isa Kamari dengan khalayak tempatan terutama membabitkan sejarah negara ini dan Singapura.

Kira-kira 100 khalayak seminar anjuran Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM) dibawa meninjau sejarah Nadra Maarof atau Maria Hertogh yang mencetuskan rusuhan besar di negara itu pada 1950.
Tinjauan terhadap wanita terbabit berdasarkan perspektif bangsa Melayu itu bebas daripada pandangan yang memihak kepada penjajah Inggeris dan Belanda, sekali gus menyedarkan generasi muda mengenai kisah sebenar iaitu bukan semata-mata isu perebutan anak.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik (PBL) UKM, Dr Noraini Mohd Yusof, melihat novel, Atas Nama Cinta, memberi perspektif baru kepada rusuhan di Singapura pada 11 hingga 13 Disember 1950 ekoran keputusan mahkamah menyerahkan Nadra kepada ibu kandungnya, warga negara Belanda.

"Ini dengan menggunakan strategi rujuk semula sejarah New Historisme kerana sejarah silam boleh dikaji dengan perspektif tempatan dan berbeza daripada catatan sejarah asal, sekali gus membenarkannya untuk diubah dengan tujuan memperbetulkan sejarah berkenaan," katanya ketika memperkatakan Sejarah ke Fiksyen: Rujukan Semula Kisah Silam dalam Novel Isa Kamari, Atas Nama Cinta.

Dengan mengambil kira semula kisah silam, detik penting yang berlaku dalam sejarah Singapura dapat diceritakan melalui pelbagai perspektif seperti sudut pandangan Nadra sendiri; ibu angkatnya, Aminah; ibu kandungnya, Adelaine dan suaminya, Mansur Adabi.

"Sekiranya suara mereka tidak diberi dan dilahirkan dalam catatan sejarah yang sedia ada, maka suara berkenaan akan tenggelam dalam pengkisahan sejarah. Ini kerana 'sejarah' hanya memberi suara kepada mereka yang berkuasa ketika itu (dalam kes ini, penjajah Inggeris dan Belanda). Ia juga didorong tindakan penulis sejarah yang mempunyai sebab tersirat untuk memberikan suara (kepada pihak yang berkepentingan)," katanya.

Selain itu, Dr Noraini menganggap penulisan Isa itu sebagai usaha penulis menentang tindakan pihak tertentu untuk memadamkan sejarah dan menutup kebenaran, sekali gus menghidupkan kembali memori dan episod sejarah yang mewakili golongan terpinggir dalam sejarah.

"Atas Nama Cinta dapat mengubah posisi Aminah dan Nadra, sekali gus mengetengahkan watak berkenaan dalam penceritaan baru yang sebelum ini tidak diperdengarkan kisah mereka. Cerita yang diketengahkan selama ini berdasarkan versi keputusan mahkamah di bawah kekuasaan kerajaan Inggeris," katanya.

Penulis dikatakan berjaya menimbulkan kembali isu yang dipendamkan oleh pihak penjajah, iaitu perbicaraan merebut hak jagaan Nadra, bukan semata-mata perebutan antara dua ibu, sebaliknya membabitkan agama dan perspektif baru itu dapat membincang dan mengambil kira soal agama serta bangsa Melayu seperti hukum perkahwinan Islam.

Malahan, perspektif baru itu juga memberikan kuasa dan peranan kepada watak yang selama ini dipinggirkan dalam catatan sejarah seperti bapa saudara Nadra, Soewaldi, yang bertanggungjawab menyerahkan hak jagaan gadis itu kepada Aminah. Dengan adanya suara ini, ia menegaskan kedudukan Aminah sebagai ibu angkat, sekali gus menafikan catatan rasmi yang meletakkan seolah-olah wanita Melayu itu menculik dan membawa lari Nadra.

Seminar yang dipengerusikan Pensyarah PPBKKM, Prof Madya Dr Rosnah Baharudin, turut menyorot urbanisasi dalam beberapa novel Isa iaitu Menara dan Memeluk Gerhana manakala unsur agama pula dilihat dalam novel, Tawassul dan Kiswah.

Pensyarah PPBKKM UKM, Prof Madya Dr Hanapi Dollah, meninjau novel, Memeluk Gerhana yang diterbitkan pada 2006 dan Menara (2002) meletakkannya sebagai karya sarat falsafah serta bayangan kehidupan di kota besar serta tidak semestinya buruk atau penuh penderitaan.

Baginya urbanisme baru menggambarkan sesebuah kota sewajarnya dicipta dengan mempunyai ciri kedesaan, sekali gus menjadikan pandangan pengarang dalam novel itu mempunyai persamaan dengan pendapat ahli antropologi dan sosiologi.

“Oleh itu, kita tidak sewajarnya memberikan penderitaan dan kekecewaan sepenuhnya kepada kehidupan di kota kerana sekiranya orang bandar penat bekerja di kilang, petani juga merasainya di desa,” katanya.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr Zamri Arifin, pula melihat Isa menampilkan kefahamannya mengenai sejarah Islam terutama sirah Rasulullah lewat novelnya, Kiswah mahupun Tawassul.





No comments:

Post a Comment