Thursday, February 9, 2012

Tawassul


MARSLI N.O
Menjejaki "Tawassul" Isa Kamari

“Merpati itu membawa khayalanku jauh ke awang-awangan di celah awan kapas. Impianku menjengah pelangi yang melengkung di dada, ketika pancaran mentari memintas renyai gerimis di jiwaku. Dengung enjin dan putaran kipas pesawat menambahkan gemuruh yang mengiringi pencarianku kali ini. Aku merasakan akulah masa hadapan yang akan mengunjungi masa lalu. Dan pesawat ini adalah mesin jelajah waktu yang akan mengenderakan dan menyatukan harapan dan sejarah. Harapan setinggi awan. Sejarah seluas mega. Dan aku adalah sebutir pasir yang terapung-apung di antara kedua-duanya.”

Ini adalah petikan dari para pertama pembuka halaman novel Tawassul karya pengarang Singapura, Isa Kamari, yang semakin memperlihatkan kekuatan daya kreatif serta wawasan dalam pengkaryaannya. Novel setebal 157 halaman ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura pada tahun 2002 dan tidak dapat dinafikan betapa  bahasanya terasa indah dan memukau.
Namun tidak cuma itu. Novel Tawassul yang  merupakan novel keempat Isa selepas “Satu Bumi” terbit tahun 1998 dan ulang cetak pada tahun 2002, Kiswah (2002) dan  Menara juga diterbitkan pada tahun 2002 yang dibahagikan kepada 10 bab ini mempunyai komposisi penceritaan yang agak menarik bila mana pada setiap bab yang berlainan pengarang memberikan fokus terhadap topik atau sudut pandangan watak yang berbeza dan mempunyai sub kisahnya yang tersendiri: Bab 1, 4, 7 dan 9 mewakili  watak Syan. Bab 2 dan 6 mewakili Hasyr. Bab 3 watak Anisa, bab 5 watak Nutaib, Bab 8 watak Hijaz dan bab 10 watak Hira.
Walau bagaimana pun meski kelihatan bagaikan terpisah-pisah, namun jika dibaca dan dihayati secara keseluruhan novel ini dikesani diikati oleh benang merah persoalan  utama yang disimpulkan melalui judulnya Tawassul, iaitu mengenai persoalan manusia mencari kejatidian serta asal muasal kejadian dirinya sendiri.
Novel ini bermula dengan watak Syan, seorang botanis yang menjejaki kembali perjalanan Datuknya, seorang antropologis yang telah melakukan kajian mengenai kehidupan Orang Imorot di lembah Tuwau. Datuk Syan digambarkan sebagai seorang yang cenderung mencari “punca dan kebenaran empiris di sebalik alam manusia”. Kerana kecenderungan ini jugalah Datuk akhirnya terputus dari tali kekeluargaan dan dianggap telah murtad.
Berpandukan buku hasil dari penyelidikan Datuk berjudul “Peribumi Alam” mengenai Orang Imorot dan walaupun dibangkang keras oleh ibu dan ayahnya, namun  Syan nekad ke lembah Tuwau.  Di Tanun, perhentian terakhir sebelum ke Tuwau, Syan telah berkenalan dengan Hijaz, juruterbang pesawat Cessna yang dinaikinya dan walaupun pada mulanya agak keberatan menerima keramahan Hijaz, namun hujan yang tiba-tiba melanda dan didesak oleh suasana sekitar yang tidak begitu ramah terhadap seorang wanita sepertinya Syan menerimanya juga. Hijaz telah membantu Syan menyewa sebuah kamar hotel dan mengisi waktu di kamarnya menelaah buku hasil penyelidikan Datuk mengenai orang Imorot. Dari pembacaannnya, Syan semakin banyak mendapat gambaran mengenai orang Imorot yang kuat berpegang kepada kepercayaan karut yang tidak berlandaskan agama serta sains. Berdasarkan kandungan kajian itu juga, barulah Syan memahami kenapa Datuk telah dituduh murtad oleh bapa mertuanya (moyang
Syan).
Novel ini memang sebuah kisah yang dipenuhi dengan misteri serta berbaur dengan unsur-unsur anakronisme serta magis. Jika di bab pertama kita berhadapan dengan kisah pencarian Syan, begitu menjengahi bab dua, sedikit demi sedikit tabir misteri itu diselak  dengan kehadiran pengkisahan dari sudut pandatangan watak Hasyr yang kembali ke Tuwau selepas 12 tahun meninggalkannya dan mengesani sesuatu perubahan yang dirasakannya aneh dan sama sekali berlainan.
Semakin lanjut menelusuri novel ini, semakin banyak jawapan akan ditemui oleh kita selaku pembaca. Watak demi watak dan peristiwa demi peristiwa yang diperkenalkan serta didedahkan akan membawa kita ke hujung persoalan yang menjadi tunjang utama novel ini.
Anakronismenya terasa bila beberapa peristiwa penting dari sejarah penyebaran ajaran Islam, kalau pun tidak dijadikan model seratus peratus,  kembali dipaparkan Isa Kamari dalam konteks ruang waktu yang lebih baru. Sehingga dengan begitu, sesekali terpacul juga tanya di benak kita, apa tidakkah ini merupakan satu parodi terhadap sesuatu peristiwa yang benar-benar dan pernah berlaku?
Walaupun Syan akhirnya hanya dapat menatap kubur dan tidak berkesampaianlah hasratnya untuk bertemu  Datuk namun setidaknya terurai juga persoalan betapa yang sedang dalam pencarian itu tidaklah hanya beliau tetapi juga Hijaz.
Bagi pembaca yang inginkan sedikit kelainan atau berubah selera dalam pembacaannya, novel ini memang pilihan yang tepat. Dengan komposisi penceritaannya yang sedemikian rupa, sebagai pembaca kita tidak menjadi pembaca pasif yang menerima begitu saja apa yang disuguhkan pengarang. Malah secara tanpa sedar kita didesak agar menjadi pembaca yang aktif untuk kembali merujuk serta mencari konteks di antara bab demi bab yang sudah dilewati dengan bab-bab berikutnya.
Kepada Isa Kamari, tahniah diucapkan kerana berupaya memberikan sesuatu yang kalau pun tidak terlalu baru di segi teknik, tetapi setidaknya “mendidik” kita sebagai pembaca supaya kembali belajar bagaimana membaca sebuah karya sastera!

Berita Harian, Malaysia, 2003

Impak luarbiasa! Tawassul membicarakan kerisauan kita tentang terlalu bersandar pada sejarah Islam dengan tidak memikirkan dan menelitinya secara mendalam. Ketika membacanya, semakin jelas, semakin mendalam, semakin mengghairahkan, semakin mendebarkan.
- Sasterawan Negara Malaysia, A. Samad Said, Pelancaran Kedua Tawassul, 12 April 08, PWTC, Kuala Lumpur
Novel ini menarik, sekurang-kurangnya daripada dua aspek. Daripada aspek leitmotif, novel ini berbicara sesuatu yang sukar, iaitu tentang konsep hubungan vertikal antara hamba dengan Khalik, suatu usaha insan mendekatkan diri kepada Pencipta melalui ibadah khusus mahupun umum; juga tentang mentafsir sejarah Islam dalam konteks situasi kini.

Subjek yang sukar ini – walaupun sejumlah sunahnya telah ditunjukkan sepanjang hayat Baginda Rasulullah SAW,  tidak mudah untuk diolah dalam bentuk cereka  malah oleh pengarang yang cukup mapan dan mendalami tasawuf. Barangkali sebab itu Isa Kamari mengambil langkah mengemukakan aspek kedua yang menarik dalam novel ini, iaitu memilih sudut pandangan orang pertama pelbagai watak. Dengan membiarkan watak-wataknya berbicara dan menterjemahkan tawassul, kebanyakan melalui monolog serta arus bawah sedar, konsep itu mengembara ke dunia imaginasi dengan seperangkat nilai serta makna yang harus dihayati dan difahami oleh pembacanya, dengan kejutan serta cabaran tersendiri. Novel ini membuktikan bahawa Isa Kamari ialah pengarang Melayu Singapura yang harus diperhatikan kerana kekuatan kreatif serta imaginasinya. - Sasterawan Negara Malaysia, Dato" Dr Anwar Ridhwan, 27 Mac 2010, PWTC, Kuala Lumpur.
Sebagai contoh lagi, saya melihat Tawassul karya Isa Kamari sebagai definis karya sastera Islami yang sangat hebat. Gagasan pemikiran yang diketengahkan bergarda depan (avant garde) dan sangat membanggakan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa serta diperkenalkan sebagai karya yang mencerminkan intelektualiti penulis beragama Islam yang bukan sahaja beramal dengan anutannya, tetapi peka terhadap permasalahan ummah - Hazwani Rebecca Ilham Rameli.

No comments:

Post a Comment