Friday, February 10, 2012

Memeluk Gerhana

Memeluk Gerhana Versi Indonesia
Memeluk Gerhana:
Poignant coming-of-age tale, set in Singapura in the 1960s and 1970s. A trip down memory lane especially for those born and who grew up in these decades
- familiar songs, games, TV programmes
(how could one ever forget Combat!) of yesteryear, interspersed with key events in the lion city and the world. Great book to discuss issues and values.

Akwal from blog: Read

Saya tak mampu mengulas. Setakat ini, novel Isa Kamari ini merupakan paling dekat dan paling sedih yang pernah saya baca. Kesan emosi sungguh membekas. Kenangan dan cinta sememangnya tak boleh dipisahkan dengan manusia.  Terima kasih Isa Kamari.

Laxamana Tun Teja, Adelaide

 Pengarang Isa Kamari bukanlah penulis asing dalam dunia sastera Nusantara. Kegigihan beliau telah mengurniakan Anugerah SEA Write Award tahun lalu bagi mewakili Singapura. Dan karya beliau yang terbaru ini Memeluk Gerhana adalah sebuah rakaman sosial Singapura sesudah bangkit dari Perang Dunia Kedua. Seakan-akan kita dihidangkan satu latar yang membekas hati, seakan-akan dunia Kampung Kambing dalam Salina karya SN A.Samad Said dipindahkan ke Kampung Tawakal. Sebuah novel politik yang amat menarik dengan sudut pandangan pertama menyebabkan kita rasa amat hampir. Mungkin ada bara yang kurang kita rasai dan kita fahami kerana kita tidak berada dalam lingkungan tetapi sebagai sebuah karya sastera seberang sempadan kita dapat menelan pedihnya. Apatah lagi saya berasa amat dekat dengan karya ini, kisah perjalanan menempuhi pelbagai gaya hidup yang disentakkan dengan satu Revolusi Islam tahun 1979 yang kita tahu amat menggegarkan seluruh dunia Islam. Di mana kita turut berkongsi percikan revolusi tersebut sehingga hari ini. Ikhlas dari hati, saudara Isa terima kasih kerana menulis karya seperti ini. Saudara, jelas sekali adalah sekutu saya dalam menjual Islam Insya Allah.

Faisal Tehrani, Malaysia 


REVIU TOK MUDIN
BLOG Kecek-kecek Tok Mudin
Memeluk Gerhana
oleh Isa Kamari adalah buku yang menemani aku sepanjang dua minggu percutian di Kelantan. Masa untuk membaca adalah terhad sepanjang dua minggu tersebut, yalah… raya sana raya sini, kenduri sana kenduri sini, jalan sana jalan sini. Alhamdulillah, dapat juga aku habiskan membaca buku ini.
Ia berkisar tentang kisah hidup seorang pemuda bernama Ilham, sejak dari kecil hingga menjadi tahanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di Singapura, atau mudahnya ISA.
Pada mulanya aku agak perlahan membaca buku ini. Aku tidak faham apa motifnya penulis bercerita panjang tentang zaman kanak-kanak Ilham. Dari menangkap spider, bermain perang, berlumba kereta kayu hingga mengendap jirannya yang seksi, semua diceritakan oleh penulis. Dengan ayat-ayatnya yang pendek-pendek, aku rasa cerita ini meleret-leret. Bab-babnya yang pendek dengan satu perkataan menjadi tajuk setiap bab, terasa seperti membaca entri blog pula.
Walau bagaimanapun, cerita ini tetap mampu mengembalikan memori kanak-kanak aku. Contohnya cerita bermain perang-perang dengan senapang kayu, sumpit dan ‘peletup-peletup’ yang dibuat dari batang buluh muda. Apa kita panggil di Kelantan? Bedil buluh ya? Aku lupa, tapi itu antara senjata favourite aku juga masa kecil dulu.
Perlahan-lahan, aku mula melihat diri aku dalam diri Ilham. Pelajar yang pintar dalam kelas di sekolah rendah dan menengah, tetapi agak inferior dengan pelajar perempuan. Mula berkenalan dengan kelas agama, usrah, perkhemahan kepimpinan dan baiah. Secara tidak sengaja dia menyertai kumpulan rahsia ‘Ikhwan’. Pergerakannya diintip mata-mata.
Ilham akhirnya menjadi tahanan ISA dalam keadaan buta akibat deraan yang diterima ketika disoal siasat oleh anjing pemerintah yang fobia dengan agama.
Oh ya, aku lupa untuk menyebut Riyana, Nazira dan Syakila. Siapa mereka dalam cerita ini dan apa kaitannya dengan Ilham?
Bacalah sendiri!

 
Reviu oleh OndeOnde
Blog Book Review
28 Mei 2007
Novel berikutnya pula merupakan novel yang baru saja dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa yang berlangsung April lepas. Penulis buku ini Isa Kamari merupakan warganegara Singapura. Cover buku yang menarik memang telah menjadi sebab utama aku membelek buku ni semasa berada di booth penerbitan Al-Ameen tempohari. Dah belek-belek, rasanya buku ni bukanlah buku cerita cinta kebiasaannya di tulis oleh ramai penulis2 Melayu masakini, aku lantas membelinya.
Seronok membaca kisah Ilham Sidek menjalani kehidupan kanak-kanaknya di sebuah kampung di Singapura. Bersama dua orang lagi sahabat karibnya mereka meniti zaman kanak-kanak - bermain "combat" di dalam semak, menjeling-jeling baju tidur Kak Leha yang jarang sambil menunggu giliran untuk mandi di tempat mandian dan tandas awam di kampung mereka pada masa itu. Tak cukup begitu, mengintai pasangan Kak Leha dan Abg Mad beromen di dalam semak. Sehinggalah kepada mimpi "basah dan melekit" yang di alami oleh Ilham setelah saban malam mendengar dengusan daripada "drama" Kak Leha dan Abg Mad di rumah sebelah. Rumah yang hanya di pisahkan oleh dinding "plywood" yang nipis dan ada pulak lubang udara untuk "ventilation" so everything in that long houses are share among each household.
Pengalaman Ilham meniti zaman remajanya diminati tiga gadis sekali gus dan bagaimana dia tercari-cari sesuatu untuk mengisi jiwanya yang di rasakan kosong. Akhirnya menemukan beliau dengan seseorang yang membimbing jiwa Ilham ke arah pengisian agama namun apakah Ilham nanti dapat menangkis godaan demi godaan yang datang sekaligus menjunjung amanah kedua orang tuanya yang mahu beliau berjaya melangkah ke menara gading. Sementelah, dia merupakan anak yang paling tua.
Perkenalannya dengan Nazira, Syakila dan Riyana telah merubah sedikit sebanyak kehidupan remaja yang berusia 19 tahun bernama Ilham, berasal daripada Kampung Tawakal. Ilham dan keluarganya kemudian berpindah ke rumah pangsa. Banyak peristiwa yang telah berlaku selepas itu.
Ending novel ini benar-benar memukul jiwa aku. Sedih, kesal dan kecewa. Ada satu sajak yang paling aku suka dalam novel ini - Nyanyian Angin. Walau pun novel ini pada mulanya kelihatan bernada "nakal" tetapi ia kemudiannya mengarah pembaca mengingati Tuhan, akur dan redha dengan ketentuan Tuhan walau kenyataan hidup amatlah pahit untuk diteruskan. Aku menutup mukasurat terakhir novel ini dengan airmata yang mengalir deras di pipi.
MUHAMMAD SALIHIN
“MENYELAMI ALAM REMAJA, MENGENALI ERTI KEDEWASAAN”
Oleh Muhammad Salihin

Hingga kini, sudah enam novel yang diilhamkam oleh seorang arkitek, sasterawan dan pemikir, bernama ISA KAMARI. Novel beliau yang terkini bertajuk Memeluk Gerhana diterbitan oleh Al-Ameen Serve Holdings (Malaysia) sudahpun berada di pasaran Malaysia dan Singapura.
Isa Kamari ialah seorang Penerima SEA Write Award pada tahun 2006 juga , hingga kini telah menerbitkan beberapa kumpulan puisi juga telah banyak menerima anugerah sastera setempat. Beliau pernah menulis skrip drama untuk TV Suria, serta menulis naskah teater yang bertajuk Pintu, selain dari penggerak kumpulan SirrFillSirr dengan lagu-lagu kesufian dan kerohanian.
Dalam beberapa novel yang telah dihasilkannya, MEMELUK GERHANA (MG) merupakan novel yang paling banyak dan tebal muka suratnya jika dibandingkan dengan novel-novelnya yang terdahulu. Dengan penampilan grafik yang luar dari kebiasaan sebuah novel, maka begitu mudah untuk seseorang ‘memeluk’, lalu membacanya untuk mengenali isinya.

Saya mula ikuti perkembangan MG sejak ia mula berputik dan dihebahkan melalui forum ISAKAMARI.COM (lelaman kepunyaannya). Bila mengikutinya melalui forum tersebut, saya sering tertanya-tanya, bilakah novel ini akan siap dan diterbitkan, kerana ia punya penampilan yang agak berlainan berbanding dari novel-novel Isa yang lalu. Melalui imbasan-imbasan yang diberi, ada sesuatu pengalaman yang indah dan bermakna yang pasti ditemui dalam novel ini
Spider kang, spider bu, spider kahwin, apek angkat tong najis, bermain kereta racing, bermain di longkang, kuburan Cina, dinding papan, tv hitam putih, kampung kecil, bersembunyi di pondok, mencipta senapang kayu, berperang dengan meriam buluh, mencuri ayam dan paling seronok sekali, ialah kerja mengintip. Itu adalah aktiviti-aktiviti anak-anak kampung kita itu. Mereka lebih mendapat pengalaman melalui kerja-tangan dan perasaan.

Nostalgia yang pernah di alami oleh Ilham Sidek, hero dan watak utama ini sebenar tidak jauh berbeza dari kehidupan saya dulu. Kuburan Cina yang pernah beliau bermain di daerah Onraet Road, juga pernah saya menyelusurinya kerana arwah nyayi dan yayi saya juga pernah tinggal di daerah tersebut. Ertinya, latar-latar yang beliau gambarkan dalam novel MG sebenarnya wujud.
Kisah nostalgia pos 60’han era kampung dirakam begitu terperinci olehnya. Waktu itu, ialah zaman peralihan dan perubahan mula melanda di mana-mana. Terutama sekali perubahan wajah Singapura dan juga global. Di Singapura, peralihan dari kampung ke rumah flat mempunyai kisah significant yang ramai dari penduduk kita alami. Ia juga merupakan era perubahan minda dan pemikiran rakyat untuk berusaha keras demi kemajuan.
Zaman kanak-kanak memang menyerononokkan. Zaman yang kita belajar dari pengalaman dan sukar untuk dipelajari di mana-mana universiti pun. Zaman kanak-kanak merupakan bermulanya kita bertekad untuk berjaya ataupun ingin hanyut seterusnya, Dan zaman kanak-kanak juga ialah zaman yang luka-lukanya dapat dilihat dan dirasakan sehingga peringkat dewasa. Zaman itu juga, anak-anak kampung amat kreatif dengan kerja tangan, hinggakan gelanggang badminton juga boleh dibuat oleh mereka dengan palang-palang yang diambil dari kawasan pembinaan. Anak-anak kampung Tawakkal juga berangan tinggi dengan cuba membina roket sendiri, setelah melihat pendaratan Apollo XI di TV.
Alam antara keremajaan dan kedewasaan adalah satu persimpangan dalam perjalanan sebuah kehidupan. Kampung Tawakkal telah mendewasakan Ilham. Lagi-lagi dengan kemunculan watak Kak Leha yang sering mendebarkan jantung orang-orang kampung. Taman persekolahan mengajarnya mengenal can mengawal cinta. Kisah-kisah kegigihan seorang ayah dan ibu yang begitu prihatin untuk membesarkan keluarga mereka amat disanjungi.

Anak muda yang bernama Ilham ini cuba tingkatkan kesedaran untuk mendalami agama sekaligus ingin berjaya dalam akedemik. Dalam kehidupan yang sederhana dan amat terhad, ia bukannya sesuatu yang mustahil. Dalam MG, Isa menyelongkar nasib beberapa masyarakat setempat yang ketika itu merasakan pelajaran dan keharmonian adalah laluan untuk mencapai kejayaan.
Kisah-kisah kronologikal ini juga memupuk persahabatan antara kaum serta nilai-nilai harmoni yang sebenarnya sudah lama menjadi resam kita. Persahabatan antara berlainan kaum juga diterapkan dengan jelas oleh pengarang.
Yang membuat saya begitu tertarik membaca MG ialah sisipan-sisipan kisah dunia yang penting tapi diceritakan sambil lalu dan tidak begitu ketara. Contohnya mengenai tertubuhnya ASEAN, kisah kejatuhan Indo China, peperangan Amerika dan Vietnam serta pendaratan Apollo X1 ke bulan. Sisipan beberapa kuntum puisi juga diserapkan bagi mempengaruhi sikap watak utama yang gemarkan kepada sastera. Sisipan-sisipan ini yang membuat novel ini begitu berwarna-warni.
Setelah berseronok ketika zaman remaja, kisah-kisah selanjutnya agak serius sedikit. Cinta monyet yang berbentuk empat segi antara Ilham, Nazirah Riyana dan Syakila. Kisah kumpulan agama yang mempunyai agenda tersendiri. Menurut Isa, sebanyak 80% kisah-kisah dalam MG ini berdasarkan dari cerita yang sebenar.
Gerhana yang dimaksudkan oleh pengarang ialah kedukaan dan kehampaan yang ditanggung oleh watak utama, Ilham Sidek. Pada akhiran novel ini, rentaknya berubah kepada lebih tragik. Nazirah meninggal kerana dilanggar lori. Ilham ditahan kerana terlibat dengan politik berhaluan kiri.
Sebagai seorang pengarang yang mahir dalam menyulam bahasa, Isa menampilkan MG dengan gerak bahasa yang biasa tapi masih punya erti mendalam. Ini bukan kerana Isa tidak lagi pandai menyusun frasa-frasa sastera yang indah, seperti dalam karya-karyanya yang lalu, tapi beliau ingin tumpukan kepada plot dan asas kandungan ceritanya supaya mudah terserlah.
Memang agak lama saya tidak membaca sebuah novel yang menyeronokkan. Ini kerana pergerakkan ceritanya punyai kesinambungan yang tidak perlu anda memerah otak untuk ‘mengunyah’ isinya. “Inilah warkahku dari perut bumi. Entah berapa lama lagi aku terpaksa memeluk gerhana ini.” Ungkapan ini benar-benar akan membuat para pembaca mencari isi kandungan yang diilhamkannya.

REVIU BLOG SERIBU SATU MALAM
Di antara sebab kenapa saya memilih untuk memiliki novel ini adalah kerana ; 1. Nama besar yang dibawanya 2. Saya terpesona dengan cover karikatur - lukisan yang bersifat kanak-kanan dengan gaya 'naive' dan 3. Sudah tentu blurbnya yang sungguh menerujakan!
" Zaman kanak-kanak kita merasa dengan kaki dan tangan.Sampai luka-luka bila tersandung dan jatuh. Kini sudah remaja, kita merasa dengan akal dan hati pula. Sering luka-luka juga kalau tersungkur dalam perjalanan. Kelak kalau dewasa bagaimana pula?
Inilah kisahku, anak muda muda berumur dua puluh satu tahun. Ilham Sidek. Anak kampung Tawakal.Pelajar Raffles Institution. Tahanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. Aku utuskan doa kepada ayah dan ibu. Aku rindukan Syakila, kulitnya yang cerah,matanya yang jernih tawanya yang riang serta hatinya yang teguh dan ikhlas. Kata-kata hikmah Syakila kepadaku menjelma lagi dalam ingatan. 'Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sangup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu,engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh yang sukar tertempuh oleh manusia biasa.'
'Inilah warkahku dari perut bumi. Entah berapa lama lagi aku terpaksa memeluk gerhana ini.'
Sebagaimana blurb. Sebegitulah jalan ceritanya.
Memeluk Gerhana bukan seperti cerita lain, pembaca akan dihidangkan dengan kisah cerekarama atau drama minggu ini. Membaca Memeluk Gerhana adalah seperti mencari harta karun..! Sungguh.
Novel ini di bahagikan kepada 3 bab besar dan kemudian dipecahkan mengikut tajuk-tajuk kecil yang 'simple'. Namun saya hanya dapat membuat ulasan dan ringkasan yang sedikit sahaja kerana  selebihnya saya ingin anda sendiri membaca  dan menilai karya yang sungguh hebat ini.
Di awal cerita penulis membawa pembaca menjejak ke Kampung Tawakal ke sekolah, ke hutan turut bersama-sama Ilham dan rakan-rakannya meneroka kenakalan zaman kanak-kanak.
Dan dari situlah ruang cerita ini mula mengalir...
Watak Ilham diadaptasikan oleh penulis dengan baik sekali. Wataknya sungguh dekat dengan pembaca. Seperti dia juga kawan kita, mengenalinya sedari kecil hingga menginjak usia remaja.
Ilham banyak mendengar,memerhati malah merasai apa yang digalas oleh ayahnya. Dalam usia yang masih hijau dia sudah dibiasa dengar dengan cerita-cerita dunia. Cerita Malaya yang dipisahkan dari Singapura. Kenaikan harga minyak sehinggalah kepada kegawatan yang meliputi warga Singapura.
Walaupun menghadapi tekanan hidup , ayahnya seorang yang berpandangan jauh. Ingin melihat kejayaan Ilham. Sedari kecil dia sudah diasah untuk menjadi anak yang cemerlang. Lansung dengan kecekalan keluarganya itu dia berjaya mengorak langkah menjadi penuntut RI ,menduduki Pra U dan akhirnya akan menjejak kaki ke universiti sehinggalah peristiwa hitam mengelapkan hidupnya.
Menuntut di RI memerlukan beliau lebih aktif dan bijak namun jiwa yang muda ada kalanya terdetik dengan kehadiran rasa cinta. Dia mula mengenali gadis-gadis ini. Menyimpan rindu dan ada pula mengundang rasa kecewa. Pada saat gundah melanda dia dihampiri Saifudin lalu diperkenalkan dengan ahli kumpulan Ikhwan. Pada awalnya penglibatan Ilham dalam kumpulan agama ini semata-mata untuk mendekatkan diri dan lebih mengenali Islam yang syumul namun tanpa disedarinya kumpulan itu mula mengalih arah untuk membentuk satu kumpulan rahsia yang memerlukan dia untuk dibaiah.
Kegiatan mereka mula mendapat perhatian pihak kerajaan. Hidupnya yang selama ini tenang mula berkocak dengan penahanan dan soal siasat oleh pihak berkuasa. Dipukul, disepak, dimaki dan diherdik menjadi santapannya kini..
Lalu katanya…
'Inilah warkahku dari perut bumi. Entah berapa lama lagi aku terpaksa memeluk gerhana ini.'
Cerita yang ikhlas, tulus dan berterus terang. Dari hati, lalu diicoretkan di atas kertas dan dibukukan. Memeluk Gerhana sungguh hebat! Tidak perlu bahasa yang dalam atau istilah yang sukar. Penerima Anugerah S.E.A Write Award ini menjadikannya mudah,santai dan menyenangkan.
Tahniah




No comments:

Post a Comment