Friday, February 10, 2012

Munajat Sukma (Kaabah, Lorong Wahyu, Cinta Arafah)


Munajat Sukma, menarik dan jauh beza dengan kumpulan awal Sumur Usia - satu perkembangan yang nampak berbanding kepenyairan lalu, kini lebih kreatif dengan apa yang lahir dari hati sukma, sudah sewajarnya kita harus keluar dari puisi tradisi Masuri SN / Usman Awang atau apa yang disebut gagasan asas '50'.Kini saya nampak Isa bebas untuk menegakkan pendirian sebagai penyair, tidak ada pengaruh penyair veteran, anda seorang individual penyair sejati yang tidak tunduk di bawah arahan kehendak masyarakat melalui buktinya Munajat Sukma, dalam kumpulan puisi ini anda bermuhasabah lebih dekat dengan diri anda sendiri.
- Penyair Sufi Johar Buang
Munajat Sukma (Soul Devotion) is interesting and different from the earlier collection, Sumur Usia - depicting a shift from past poetics, now it is more creative and direct from the soul, it is indeed apt that we depart from traditional poetry of Masuri S N / Usman Awang or what is known as the Asas '50 approach. Now I see Isa standing free as a poet, no influence from veteran poets, you are truly a poet who does not succumb to the dictates of society as proven by Munajat Sukma, in this collection you are introspective and closer
to your inner self.
- Sufi Poet, Johar Buang.



ROHMAN MUNASIP
MUNAJAT SUKNMA: SEBUAH KARYA SASTERA ISLAM

Analisis Munajat Sukma
Sebagai sebuah teori sastera Islam yang berindukkan kata dasar Kamal atau Sempurna, sehingga terbitnya Takmilah (Menyempurnakan), saya yakin beberapa prinsip Teori Takmilah yang dibina oleh Shafiee Abu Bakar didapati sesuai diaplikasikan untuk menilai unsur-unsur keislaman dalam puisi-puisi haj Munajat Sukma (Pustaka Nasional, 2003) karya Isa Kamari.
Puisi-puisi haj Isa Kamari memang tidak dapat dinafikan sebagai suatu penjelmaan hayat dalam mendekati Tuhan dengan segala keesaannya. Menunaikan umrah dan haji ke Makkah adalah perlakuan yang menyempurnakan (takmilah) rukun Islam sebagai seorang mukmin. Isa Kamari, sebagai insan yang berjiwa seni, melihat pengembaraan ragawi dan penumpuan jiwawi ke Tanah Suci sebagai satu manifestasi diri untuk mentauhidkan Kebesaran Allah SWT.
Masjidilharam dan Kaabah menjadi ikon sebagai syariat rukun Islam yang kelima itu, turut dipuisikan beliau:

masjidilharam

kristal gula
dari syurga
dikerumuni jiwajiwa
        semut
damba iman manis
basah pelipis
(Isa Kamari:6)

kaabah          

apa yang hendak
kukatakan lagi
tenang ini
menuntut diam
menatap rumah Mu
ya Allah

apa yang hendak
kutahan lagi
kesayuan ini
melepaskan raung
mengharap belas Mu
ya Allah

raung dalam diam
diam dalam raung
terimakasih terimakasih
ya Allah
aku malu
jadi tamu Mu
(Isa Kamari:8)

Masjidilharam dan Kaabah menjadi tumpuan umat Islam sedunia. Bumi yang barakah tempat melepaskan ‘raung’ dan tangis taubat, ruang untuk mengadu damba dan mengharap kemanisan syurga dan melunturkan rona-rona dosa seabad. Di situlah persada umat Islam berdoa, bermunajat dengan lebih afdhal dan menagih belas ihsan Tuhan Maha Pencipta ketika menghadapi dugaan dan ujian batiniah. Semua ini mengarah kepada Kesempurnaan Allah SWT yang sedia mengabulkan doa-doa hambanya.
Penyajian teks yang semata-mata terhasil dari penghayatan peribadatan haji ke Baitullah yang dilakukan oleh Isa Kamari begitu jelas membicarakan nilai-nilai yang berasaskan keislaman. Puisi-puisi haj beliau dalam Munajat Sukma disusun menurut urutan peribadatan haji dalam beberapa takah seperti persiapan di tanah air, keberangkatan, ketibaan di Tanah Suci, pekerjaan ibadat haji, melakukan ziarah, kepulangan, ketibaan di tanah air dan pascahaji
Sebagai persiapan di tanah air, antaranya penyair menulis:

mandi

kikis debu
sebelum jadi
                                             (Isa Kamari:1)

Walaupun puisinya ringkas, berbentuk minikata yang kental, tetapi ia mempunyai pengertian yang dalam untuk direnungkan. Penafsiran kikis debu/sebelum jadi membawa maksud menghilangkan dosa-dosa yang bertaut dengan bertaubat bersungguh-sungguh. Ini sering disarankan sebaiknya dilakukan di tanah air sendiri sebelum berangkat ke Tanah Suci supaya langkah dapat dimulakan dengan sekujur tubuh dan kalbu yang bersih.
Keberangkatan merupakan satu detik perpisahan pilu penyair dengan keluarga tersayang. Sekaligus, memalingkan wajahnya kepada Tuhan dengan penuh kerelaan. Ketika itulah Isa Kamari sempat bermuhasabah, mengenang dosa dan melengkapi dengan taubat dan penuh mengharap dalam menjalani kewajipannya sebagai insan kepada Allah.

penerbangan
jiwa sarat
debu karat
damba taubat
mohon berkat
cucur airmata
harap dan takut
takut dan harap
                      (Isa Kamari:4)                          

Ketibaannya di Tanah Suci Makkah, memasuki Masjidilharam dan mengerjakan tawaf  umrah lebih menggetarkan lagi hati penyair. Apakah manusia tidak terlepas dari segala perbuatan dosa dan akan diperlihatkan dari lensa kamera kehidupannya sendiri? Inilah yang timbul dalam diri penyair apabila beliau melewati pintu masjidilharam:

kamera
melangkah ke dalam
aku terlihat
fotofoto aib
dosadosaku
tertera meratarata
di tiangtiang masjid
                        (Isa Kamari:7)

            Di dalam mengerjakan haji Isa Kamari melukiskan beberapa keadaan yang dilaluinya dan apa yang dilihat di sekelilingnya. Antaranya, ketika berwuquf di Padang Arafah (dalam padang, kota kemah dan masjid namirah), melontar jamrah (dalam kutip batu, temujanji dan jalan lengang), bertahalul (dalam tahalul), ketika melakukan tawaf tujuh kali mengelilingi Kaabah (dalam kembali, hajar aswad, almultazam, hijr ismail, maqam ibrahim, tongkat dan keretapi kayu). Begitu juga dengan mengerjakan solat dua rakaat di dalam lingkungan hijr Ismail merupakan amalan yang dituntut kerana ia merupakan tempat yang mustajab doa. Penyair mencatatkan pengalamannya melalui puisi berikut:

hijr ismail
solat
dalam dakapanmu
yang lengkung
terhidu semerbak atar
dari dinding kaabah
rahang jiwa berdosa
merekah dan menghiba
menadah jirus keampunan
dari pancuran emas
di bumbung arasy
                            (Isa Kamari:31)

Ziarah yang dilakukan setelah mengerjakan haji mendorong Isa menali-temalikan peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam dengan tempat-tempat yang dilawati. Selain masjid dan makam Nabi Muhammad (SAW), Isa sempat menziarahi beberapa buah masjid bersejarah seperti Masjid Nabawi, Masjid Bendera, Masjid Abi Hurairah (masjid bapa kucing), Masjid Ali, Masjid Jin, Masjid Sepuluh Sahabat, Masjid Rahman, Masjid Quba dan Masjid al-Qiblatain.
Dalam salah satu kunjungannya iaitu ke Masjid Nabawi, penyair berasa tidak layaknya beliau dalam keadaan seperti itu menikmati keindahan taman-taman syurga yang cukup mengasyikkan. Ucap Isa Kamari dalam dua buah puisi berikut:

masjid nabawi
sujud di masjidmu
terasa benar
selama ini
aku hanya pelawat
sunnahmu

dari jauh kupandang
raudhah
terasa benar
ketika ini aku tidak layak
menikmati keindahan
tamanmu

bisakah
airmata
kujadikan hadiah
kunjungan hinaku
ke maqam sucimu
                              (Isa Kamari:73

raudhah

solat di bawah kerusi
majlis para sufi
aku terdengar liuk sungai
dalam damba kalbuku

biarpun dahi
hanya mencecah
sejengkal tanah
harum raudhah
kudakap dalam jiwa
penawar duka derita

sujud di atas taman ini
tidak mahu kulepaskan
ayik dan bisik
                             (Isa Kamari:74)

            Selain daripada masjid-masjid tersebut, beberapa lagi tempat bersejarah seperti perkuburan baqi, perkuburan para sahabat dan keluarga nabi (SAW), tempat-tempat berlakunya peperangan seperti perang Badar, perang Uhud, perang Khandak, dan khazanah-khazanah Islam yang tersimpan di muzium menjadi daya tarikan kepada Isa Kamari ini. Buktinya banyak puisi-puisinya dalam kumpulan ini yang merakamkan tempat-tempat tersebut. Dan ini dapat mengajak pembaca/penikmat puisi-puisinya untuk bernostalgia bagi yang pernah ke sana dan menjadi impian kepada mereka yang belum sampai ke tempat-tempat itu.
Hal tersebut di atas tadi tidak dapat disangsikan lagi turut memberi gambaran bahawa Isa Kamari sendiri begitu komited dengan apa yang dihasilkan. Iltizam Isa Kamari turut mengalami; melihat dan menafsir setiap keadaan yang dilewati dan dilawati dalam mengerjakan haji dapatlah dianggap sebagai satu keistimewaan beliau. Dalam menciptakan karyanya ia dapat menghubungkan setiap tempat yang diziarahi dengan peristiwa sejarahnya dengan penafsirannya yang segar sebagai anak zaman kini. Isa Kamari semakin rindu untuk kembali ke baitullah.
Kesimpulan
Dengan mengaplikasikan Teori Takmilah ke atas puisi-puisi haj Isa Kamari dalam Munajat Sukma tidak dapat disangkal lagi kumpulan puisi perseorangannya yang kedua ini menepati dan layak diterima sebagai sastera Islam.

No comments:

Post a Comment