Saturday, February 18, 2012

Mawar


hidup sebagai mawar
di tengah padang belukar
adalah suatu pertapaan yang sunyi
sewaktu-waktu keasingan ini
akan menjelmakan pergelutan
antara harga diri
dan kemurahan hati
bila angin dan hujan
memaksa kau memilih
antara kerinduan yang memanjang
dan kerelaan yang pedih
bila kau biarkan kelopakmu gugur
satu demi satu
kerana asas kebahagiaan
adalah kedamaian dalam hidup
biarpun sesingkat musim
yang berlalu
biarpun wangi baktimu
akan luntur ke bumi syahdu
kedewasaan yang merah
harus mengajar kau menerima
di tengah masyarakat belantara
kekadang kau dianggap
sebagai belukar
di tengah padang mawar
kerana embun
mudah lenyap
sebelum mentari menerangi segala

sememangnya benar
sering dalam hidup ini
mawar hanya tumbuh
di pinggir syurga.

2 comments:

  1. Sdr Isa
    antara puisi yang saya senangi, dicatat dalam Satu Bumi oleh penyairnya.

    ReplyDelete
  2. Salam Dr Mawar,

    ya, sajak yang diterbitkan pada 1984, 28 tahun yang lalu.

    ReplyDelete