Friday, February 10, 2012

Duka Tuan Bertakhta



Dari blog Sejuta Warna Pelangi
Apa lagi yang boleh dikatakan, melainkan sekalung ucapan tahniah dan ribuan penghargaan buat pengarang novel ini, Duka Tuan Bertakhta. Ilustrasi juga memang menarik. Tahniah Al-Amin Serve. Sebagai orang Melayu dan beragama Islam, saya merasakan ini karya sastera sejarah yang menyentuh jiwa. Ada rasa pedih, ada rasa sayu menyelinap di seluruh jiwa.


Tanyakan pada diri kita sendiri, sebagai orang Melayu, sebagai umat Islam, apakah kita mengulang semula sejarah yang telah tercatat? Siapa di antara kita dengan rela menjadi Munsyi Abdullah seterusnya? Siapa di antara kita beraja di mata, bersultan di hati? Siapa di antara kita di gula-gulakan dan hanyut oleh manis yang seketika? Pecah dan perintah. Siapa di antara kita yang masih membuka ruang? Siapa?


Saudara Isa Kamari adalah penerima S.E.A Write Award daripada Kerajaan Thailand. (Anugerah sama yang ditawarkan kepada Saudari Fatimah Busu tetapi beliau menolaknya. Itu cerita lain, mungkin lain kali boleh saya coretkan di blog ini.) Beliau juga adalah penerima Pingat Budaya Singapura. Sangat bertepatan anugerah itu, kerana karya-karyanya memang banyak menyentuh bukan hanya tentang orang Melayu khusus Melayu Singapura tetapi juga sejarah Singapura.

Sejarah adalah fakta. Saudara Isa bijak mengadun fakta dengan gaya penceritaan naratif menjadikannya sangat menarik. Bermula dengan bait puitis sajak Chairil Anwar berjudul Nisan (Oktober 1942) dan pembukaan novel juga prolog pengkebumian Habib Nuh. Bab demi bab seterusnya membongkar sejarah. Ada yang memang sebagaimana termaktub di dalam buku-buku teks sejarah. Ada yang di luar pengetahuan. Personaliti Habib Nuh dan Stamford Raffles dilukis begitu baik, menunjukkan watak hitam dan watak putih antara keduanya. Watak tiga sahabat karib Ramli, Sudin dan Ajis cepat menangkap ingatan terhadap watak tiga bujang lapuk dalam karya-karya Arwah Tan Sri P. Ramlee. Tiga watak ini sangat popular di Singapura. Persamaan ini jelas dalam dialog antara Marmah dan Wak Cantuk.

Dari blog Melihat Buku:


1. Kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kekuatan Datuk Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf 'ta'.

2. Sebelum membaca isi buku ini, gemarlah pula saya untuk melihat pada kulitnya.

3. Seseorang dengan perhiasan tengkolok emas di atas kepala, terukir huruf G dan alat compass serta set square di atasnya, sedang membuka kaitan pada jahitan bendera Singapura, di mana terdapat makhluk-makhluk aneh yang berusaha masuk dari situ sambil cuba merampas huruf 'T' atau 'ta' pada tulisan TUAN. Sambil di atas batang hidung seseorang yang bertengkolok itu, duduk seorang perempuan.

4. Saya ingin memberikan pujian kepada mereka-mereka yang terlibat dalam penghasilan ilustrasi untuk kulit buku ini. Tahniah. Reka kulit yang tepat menggambarkan keseluruhan novel Duka Tuan Bertakhta ini.

5. Novel terbaru daripada penulis Isa Kamari ini adalah mengenai sejarah kemasukan British ke Singapura pada abad ke-19.

6. Menceritakan sejarah berkenaan tipu muslihat yang dimainkan mereka (penjajah) ke atas penguasa Singapura ketika itu yakni Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman. Sehingga mereka (penjajah) berjaya memerintah Singapura dengan sepenuhnya tanpa upaya daripada Sultan untuk menghalang sebarang apa jua.

7. Saya dapat merasakan kegelisahan Pak Isa terhadap bangsa dan negaranya ketika ini sehingga beliau mengutip semula kisah-kisah sejarah buat dihadapkan kepada masyarakat kini, agar akal dan minda terus terbuka, jangan leka, agar sejarah itu tidak lagi akan berulang. *yang sebenarnya terus berulang dan berulang terus.

8. Bagaimana pemerintah kita yang lebih tamakkan harta dan takhta sehingga sanggup menggadaikan maruah tanah air sendiri serta memperjudikan kehidupan rakyat dibawahnya telah Pak Isa bawakan di dalam tulisannya kali ini. Akibat dari penguasa yang seperti itu, sejarah merakamkan kita telah kehilangan sesuatu yang berharga.

9. Novel ini tebal, saya mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskannya. Tetapi bacaan yang lama itu saya nikmati setiap satu dari babnya sehingga ke titik yang akhir.

10. Di dalam novel ini digariskan tiga punca utama mengapa bangsa Melayu itu menjadi lemah, iaitu:

i) Raja yang bertakhta telah dicengkam nafsu lalu menindas rakyat dengan sewenang-wenangnya.

ii) Agama Islam yang dianuti rakyat jelata hanya tertumpu pada soal-soal kerohanian dan ibadat khusus tanpa imbangan yang setimpal dalam soal-soal muamalat, pemerintahan dan pentadbiran negara.

iii) Fikiran orang Melayu adalah tertutup dalam banyak hal, terutama dalam penimbaan dan penerokaan ilmu duniawi dan ukhrawi. (ms 475-476)

11. Dinyatakan juga ciri-ciri pemimpin yang diperlukan orang Melayu agar bangsa Melayu itu dapat diangkat pada tempat yang sepatutnya ia berada.

"Calon tersebut harus bijak, berilmu, mempunyai kebolehan mengesan kelemahan mereka dan berupaya belajar daripada orang lain untuk menawarkan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi rakyat." (ms 477)

12. Walaupun novel ini berkaitan dengan sejarah Singapura, dan ditulis pula orang penulis Singapura, namun tidak bermaksud ia ditujukan kepada warga Singapura sahaja, bahkan kepada semua bangsa Melayu tidak kira di mana berada, agar jangan mudah lupa tentang sejarah kita yang duka.

13. Berbalik kepada kulit buku, ilustrasi orang bertengkolok itu bolehlah diibaratkan sebagai Sultan Hussein di dalam novel ini. Dan huruf G serta alat compass dan set square pada tengkoloknya melambangkan fikiran serta mindanya telah dipengaruhi oleh diayah Freemason yang dibawa oleh penjajah.

14. Sementara makhluk-makhluk aneh yang cuba masuk setelah ilustrasi Sultan Hussein yang membuka jahitan pada bendera Singapura pula bolehlah digambarkan sebagai pihak penjajah telah berjaya masuk ke dalam Singapura akibat dari perbuatan Sultan Hussein sendiri. Dan percubaan para makhluk aneh itu untuk merampas huruf 'T' atau 'ta' bolehlah dimengertikan sebagai cubaan mereka (penjajah) hendak merampas ketuanan bangsa kita.

15. Dan perempuan yang bertenggek di atas batang hidung Sultan Hussein pula adalah lambang bahawa penglihatan Baginda telah dikaburi oleh perempuan, yang menyebabkan Baginda leka akan tugasnya sebagai ketua negara. Atau sahaja bermaksud segala perintah yang keluar daripada Baginda adalah dipengaruhi oleh perempuan tersebut.

16. Sekali lagi tahniah kepada pereka kulit novel ini, juga kepada Al Ameen sebagai penerbit dan kepada Pak Isa di atas kelahiran karya yang begitu berani dan provokatif ini. Bacalah, untuk menelusuri tentang kedukaan kita yang bertakhta, yang masih bertakhta. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment