Membina Tradisi Keunggulan
Dan Strategi Ke Peta Sastera Global
Petikan:
Penulis-penulis Singapura sebenarnya telah mencapai banyak kejayaan, yang dapat dikesan, Isa Kamari, misalnya menghasilkan novel-novel intertekstual dan semiotik yang baik, Anuar Othman memanfaatkan gaya pastis, Ishak Latif dibuktikan menghasilkan cerpen-cerpen berunsur realisme magis, Noor Hasnah Adam begitu memikat dengan teks-teks metahistoriografiknya. Seandainya mereka ini memperolehi kritikan yang sesuai akan melahirkan situasi berkarya yang sempurna di Singapura ini.
Melalui kajian resepsi itu, daripada segi kedudukan (ranking) penulis Singapura menurut bakal-bakal pengkritik itu, ialah Masuri S.N., Suratman Markasan, Mohamed Latiff Mohamed, Djamal Tukimin, Isa Kamari, A.Ghani Hamid, Nadiputra, Anuar Othman, Ismail Wardy, Johar Buang, Hadijah Rahmat dan Rasiah Halil…...
Isa Kamari adalah sebuah nama yang penting dalam senarai penulis Singapura mutakhir. Menulis dalam pelbagai genre, tetapi nampaknya yang paling ketara ialah dalam penulisan novel. Antara karya yang telah dihasilkan ialah Satu Bumi, Menara, Kiswah dan Tawassul. Kerajinan dan kesungguhannya ini patut diberi pujian, justeru di tengah ketandusan novel di Singapura ini, kemunculkan Isa Kamari yang begitu dinamik ibarat sebuah hadiah yang besar bagi tradisi kepengarangan di Singapura.
Kiswah sebuah realiti Islamik yang global, meneroka subjek alam seksualiti yang dihubungkan dan dilihat daripada kaca mata Islam. Bacaan resepsi kita akan segera banyak digoda sepanjang pembacaan dan banyak yang memenuhi keinginan ekspektasi dan horisonnya. Novel ini menuntut penilaian semula terhadap erti seks dan cinta, hubungan suami isteri, tatasusila masyarakat dan kebenaran agama. Tidak syak lagi persoalan sesuatu yang baru dalam tradisi sastera Singapura.
Dilihat dari sudut psikoanalisis Lacan watak-wataknya bergerak dalam imajan tahap cermin yang belum mengenal dunia dan menjadi pinar dalam menguasai lambang-lambangnya, tidak heran apabila memasuki dunia real mereka menjadi manusia asing, yang sanggup melakukan maksiat dan skizofranik. Kesedaran timbul setelah dirinya lemas dalam arus lautan nafsu kemaksiatan. Selain tema keinsafan, tema kecil yang menguatkan lagi tema besarnya adalah mengenai pengertian individu terhadap seks dan cinta serta hubungan suami isteri dalam kehidupan hari ini. Oleh kerana harta, manusia menjadi alpa dengan kesenangan dan kemewahan yang dikecapi. Ego dan kesombongan seseorang hingga lupa akan kekerdilan seseorang hamba kepada Penciptanya. Novel ini sebuah indeksikal terhadap manusia Melayu yang kehilangan jati dirinya, ia sebuah refleksi yang menyakitkan, tetapi itulah ubat yang ingin Isa Kamari hadiahkan untuk merawat bangsanya.
Dalam Seminar Kritik Sastera Singapura (2003), yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Pengajian Melayu, Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasional, antara kertas kerja yang mengkaji kepengarangan Isa Kamari, yang lakukan bersama Fahreezan Powsan, Haniza Abdul Manan, Mardiana Abdul Manap, Nur Asyikin Sapri dan Siziyanti Jepto dengan menggunakan teori teksdealisme, mendapati Isa Kamari berupakan novelis Singapura yang telah mencapai separa keunggulannya, dan optimistik bahawa pengarang ini suatu masa nanti akan menjadi kebanggaan Singapura. Kejayaannya ialah kerana Isa Kamari menguasai desire masyarakatnya dan telah menemui realitinya.
Pertemuan Sasterawan Nusantara, S’pura, September 2003
No comments:
Post a Comment