Dengan adanya traktat ini, maka orang-orang Melayu yang pada hakikatnya memiliki jiwa yang sama sebagaimana tercermin dalam bahasanya, yaitu bahasa Melayu, agamanya, yaitu agama Islam, dan adat-istiadatnya, yaitu adat resam Melayu, dipisahkan oleh kolonialisme menjadi dua bangsa. Kemudian, setelah Singapura yang awalnya menjadi bagian Malaysia berpisah dengan Malaysia pada tanggal 9 Agustus 1965, orang-orang Melayu dipisah menjadi tiga bangsa dalam tiga negara.
Perpisahan inilah yang kemudian memicu seorang pengarang Singapura, Isa Kamari, untuk menulis novel Satu Bumi, yaitu, satu tanah Melayu, yang karena kolonialisme dan kebangkitan nasionalisme, berada pada bumi yang berbeda-beda. Untuk memperlancar penulisan novel ini, Isa Kamari menyempatkan diri bersambang ke Pulau Penyengat, pusat kebudayaan Melayu di masa lampau. Yang sangat mengesankan di Pulau Penyengat adalah makam para sultan dan bangsawan pada waktu itu, termasuk makam Raja Ali Haji, pencipta Gurindam Dua Belas. Makam adalah lambang masa lalu, dan novel Satu Bumi juga didahului dengan latar makam, dan berakhir dengan latar makam pula.
(Dermaga Sastra Indonesia dalam Horison 20 Julai 2011)
Satu Bumi: Novel Imbasan Kembali
Keghairahan melihat kehadiran ilmu luar sastera dalam karya sastera Melayu mutakhir khususnya segera mengenalkan pengarang alias jurubina dari Singapura, Isa Kamari. Jalur warna senibina berkembar kemas dalam penelitian ke atas karya-karya awalnya lewat kumpulan cerpen Sketsa Minda (1994). Selaku jurubina dan pengarang; dua kerja seni juga, Isa Kamari melihatkan khalayak kepada warna pendidikan, ilmu formalnya serta latar peribadinya lewat karya. Melalui cerpen “Arkitek” contohnya jelas mewakili jalur warna itu apabila watak “aku”, seorang jurubina yang berhasrat membina sebuah bangunan berciri moden; mengalami konflik diri antara ciri tradisional dan yang baru. Ternyata perpisahan “aku” daripada tradisi, isteri (Liza) malah kehilangan rafiknya (Arif), akhirnya menjadikan tingkat-tingkat bangunan yang dibinanya sebagai analogi pencarian diri.
Begitu meneliti karya mutakhir Isa Kamari, novel Satu Bumi, percikan pendidikan, kerjaya serta pengalaman dalam senibina tersua lagi. Menerusi watak Irman, seorang jurubina berusia 23 tahun, sejarah dan trauma keluarganya sejak sebelum perang, dibina dengan struktur cerita yang begitu teratur dan rinci. Latar sejarah serta politik Singapura-Malaysia (Tanah Melayu ketika itu), diselangseli pengarang lewat rentetan biografi Aminah. Walaupun kalendar sejarah politik Singapura-Malaysia itu dikreatifkan dengan mengubah nama-nama tokoh serta latar tempat, ia masih dapat dikesani. Misalnya Benua Utara = Tanah Melayu, Negara Mentari Pagi = Jepun, Nusa Selatan = Singapura atau Nusa Utara Union = Malayan Union.
Perkembangan terbaru Satu Bumi menurut pengarang (lewat temubual di mel elektronik), ia telah selesai diterjemahkan ke dalam bahasa mandarin oleh Chan Maw Woh untuk disiarkan secara bersiri dalam Harian Lianhe Zaobao. Sebuah penerbit tempatan juga dikatakan sedang menterjemahkan novel sulung Isa Kamari tersebut ke dalam bahasa Inggeris.
Satu Bumi yang mengandungi 22 bab dimulakan dengan bab “Pusara” yang persis sebuah bab pengenalan tentang watak-watak serta kandungan cerita. Protagonis yang menggerak awal novel ini, Irman, berkenalan dengan seorang penggali kubur yang digelarnya, Yassir, akronim untuk Yang Hatinya Seputih Pasir (hlm.13). Irman ke Pusara Bidadari untuk berdoa di pusara Nenek Aminah sebelum dilakukan pembongkaran kubur keesokan harinya. Menurut Yassir,
“...Setiap jasad yang dibongkar akan disatukan bersama tiga jasad yang lain di dalam satu petak di Pusara Abadi. Peraturan ini untuk jasad yang dikenali oleh ahli keluarganya. Bagi jasad yang tak dikenal, satu petak, sepuluh jasad. Begitulah peraturan yang ditentukan majlis ugama.”(hlm. 8)
Watak-watak Satu Bumi mula diperkenalkan pengarang melalui imbasan cerita ayah Irman, tentang asal usul Nenek Aminah dari keluarga Cina. Aminah diambil sebagai anak angkat keluarga Pak Durhakim, sebuah keluarga Melayu. Justeru untuk mengelakkan Aminah diganggu askar Jepun, dia diberi nama baru (Swee Mei kepada Aminah); sementara abang Aminah, Ah Sin melarikan diri ke Seberang Tambak. Aminah dikahwinkan dengan anak saudara Pak Durhakim, Malek walaupun dalam diam Aminah menyintai abang angkatnya sendiri, Jati (anak Pak Durhakim).
Sepanjang bab-bab yang berlangsung, biografi hidup Aminah direntetkan dengan pelbagai warna. Bermula dengan bab “Ubi”, hidup rumahtangga Aminah-Malek berlatarkan zaman Jepun. Kisah ‘kematian’ Jati juga disorot Malek; Jati ‘mati’ di Bukit Candu sewaktu menentang Jepun yang diketuai Yamashita (nama Tomoyuki Yamashita tercatat dalam Sejarah Singapura [1980] tulisan Buyong Adil, hlm. 125) . Namun Aminah percaya Jati masih hidup kerana
“...jika memang dia telah gugur, tidak mungkin dia tewas di Bukit Candu. Peristiwa itu berlaku ketika regimen tersebut sedang mempertahankan Nusa Selatan dari serangan Jepun di kawasan Pasir Panjang. Jati pula meninggalkan Kampung setelah Jepun berkuasa.” (hlm:17)
Isa Kamari mengembalikan pembaca ke latar kini, perbualan Irman-Yassir. Kali ini mereka menyorot kisah zaman Jepun Yassir menyertai INA, pasukan yang membela kemerdekaan India dari British. Keterangan ini pastinya memaklumkan khalayak bahawa Yassir juga antara manusia yang hidup serta terlibat sezaman dengan ayah, nenek dan datuk Irman.
Zaman pendudukan Jepun dilakar Isa Kamari dengan warna yang konvensional: kezaliman, kekejaman dan keperitan. Dalam bab “Surau”, Pak Durhakim dipaksa askar Jepun untuk menurunkan pembesar suara surau Kampung Tawakal. Pak Durhakim mengimbas kembali sewaktu dia dan Imam Yusof membina surau tersebut (dengan bantuan material Tauke Tan, bapa kandung Aminah) tanpa bantuan warga kampung. Imej surau ternyata begitu suci antaranya sebagai tempat perlindungan kepada Aminah sewaktu mempelajari ilmu tentang Islam dari Imam Yusof. Surau juga bermakna penyatuan beberapa kaum berbeza: Melayu (Pak Durhakim), Cina (keluarga Tauke Tan) dan India (keluarga Imam Yusof). Tindakan askar Jepun membakar surau persis bermulanya teknik imbas muka (foreshadow) terhadap suatu yang buruk akan berlaku.
Pada masa yang sama Pak Durhakim diherdik askar Jepun, Ilham lahir (anak Aminah dan bapa kepada Irman). Teknik Isa Kamari memaklumkan kelahiran Ilham agak tiba-tiba, namun ia lebih meyakinkan khalayak akan hubungan Irman-Aminah, akhirnya. Begitu juga dengan hubungan Aminah-Jati kian dirasakan mirip dengan hubungan Yassir-adik dalam bab “Keris”. Dialog serta imbasan kembali Yassir terhadap kekasihnya di Nusa Selatan (hlm. 41-43), begitu seiras dengan kisah Aminah ditinggalkan Jati kerana merajuk dengan perkahwinan Aminah-Malek. Apalagi dengan kehadiran watak Hashim yang tiba-tiba (hlm. 46) sebagai rakan baik Yassir mengingatkan pembaca terhadap hubungan baik semasa kecil Jati, Hashim (Ah Sin), Malek dan Roslan dalam bab “Ubi”, sebelum ini.
Teknik subtle Isa Kamari ‘mengulang ingat’ peristiwa Pak Durhakim terjatuh dari bumbung surau, episod surau dibakar dan Ilham dilahirkan bermula dalam bab “Suara”. Dalam bab ini Pak Durhakim yang sedang terlantar di hospital semacam mengimbas ulang peristiwa bagaimana dia terjatuh dari bumbung surau. Pergerakan fikiran dan ingatannya ketika itu terhadap Aminah dirincikan pengarang. Isa Kamari menguatkan teknik ‘mengulang ingat’ ini dengan sisipan dialog Pak Durhakim-Aminah, ingatannya terhadap apa yang sedang berlaku ke atas Aminah waktu kejadian serta pemerhatian watak Pak Durhakim sendiri terhadap sekitaran (askar Jepun). Namun pengulangan ini terasa lebih dirinci tajamkan unsur perasaan manusia yang terlibat.
Begitu juga dengan sisipan perenggan terakhir bab “Suara”. Isa Kamari menyua tanda soal apabila dikatakan, “Pak Durhakim merenung terus. Mata lelaki itu merenung ke arahnya. Dia cuba menggerak-gerakkan tangannya. Dia rasa dia kenal pemuda itu....” (hlm. 56). Siapakah lelaki itu? Beberapa andaian bahawa lelaki itu mungkin Jati, Malek, Imam Yusof atau Roslan. Namun jawapannya diketahui dengan ‘mengulang ingat’ peristiwa di hospital dengan imbasan kembali ingatan Pak Durhakim (hlm. 66) dalam bab ‘Parut’, juga dalam bab ‘Arak’ (hlm.150) dan latar perasaan Malek membenci Pak Durhakim dalam bab “Belantara”.
Melalui bab ini juga diwajarkan mengapa akhirnya Malek menyertai pengganas Bintang Tiga. Kumpulan ini yang menyelamatkan Malek daripada dibunuh askar Jepun sewaktu dia cuba mencuri beras dari muatan tongkang di tebing Sungai Nusa Selatan. Malek begitu dihenyak kekecewaan apabila soal harga dirinya sebagai suami dan kemiskinan menguasai diri dan fikir. Episod imbas kembali Malek terhadap peristiwa itu mengingatkan khalayak kepada ingatan Aminah/Swee Mei,
“...cerita itu perihal seorang pemuda Melayu yang dibelasah tentera Jepun lima tahun dulu.
Pemuda itu terangkap ketika cuba mencuri beras. Setelah teruk dipukul, dia dibiarkan terlantar di pergigian air sungai yang kotor dengan sampah sarap dan bangkai. Di dalam kemelut kehidupan di bawah pemerintahan Jepun, tubuh pemuda yang terlantar itu adalah seperti sampah sarap dan bangkai yang terbiar. Setelah tentera Jepun berundur, barulah sekumpulan pekerja Cina membawanya ke hospital Alexandra untuk dirawat.
Aminah teringatkan Malek suaminya bila kisah itu diceritakan kepadanya. Kerana beraslah Malek marah terhadapnya dan Pak Durhakim. Kerana beraslah Malek meninggalkan rumah dulu. Kini Malek telah lima tahun tidak pulang-pulang. Di manakah gerangannya? (hlm. 77)
Rentetan daripada penyertaan itu juga akhirnya dia bertemu dengan Ah Sin alias Hashim (abang iparnya) di Pontian. Warna pekat zaman perang dengan bancuhan kezaliman turut dilakukan Isa Kamari dalam bab “Kamar”. Bab ini berlatarkan tekanan dalam tahanan yang dihadapi Ah Sin. Gerakan subversif yang dianuti begitu kuat dipertahankannya.
Kisah lain berupa rangkaian sejarah Singapura-Tanah Melayu direntetkan Isa Kamari dengan agak rinci dalam bab “Bumi”. Ah Sin menyertai Bintang Tiga (diulang ingat dengan rinci dalam bab “Kamar”). Yassir pula ternyata menyertai SAWO (PKMM=Parti Kebangsaan Melayu Malaya?) untuk “melihat tanah tumpah darahnya kembali kepada yang berhak” (hlm. 58). SAWO di bawah pimpinan Pak S dan Dr B memperjuangkan penggabungan Nusa Barat (= Indonesia) dengan Nusa Utara (= Tanah Melayu) dalam gagasan Melayu Raya. Melalui,
“Di kalangan masyarakat, Pak S juga bergelar Putera Gunung Tahan kerana kewibawaannya yang tegap dan memuncak. Nama timangannya pula Timat, singkatan bagi Tikus Rahmat kerana kelicikannya kerap membawa rahmat kepada masyarakat. Dr B pula suka menghiris persoalan dengan tajam dan teliti sesuai dengan kerjayanya sebagai ahli bedah.(hlm. 59)
dapat dikenalpasti watak Pak S dan Dr B ternyata mewakili Ishak Haji Muhammad/Pak Sako dan Dr Burhanuddin Helmi, tokoh tersohor dalam lipatan sejarah.
Muatan berupa sisipan sejarah terasa dibaur secara kronologi apabila Isa Kamari mengadunsama kisah Nadrah dalam Satu Bumi persis lewat petikan berikut,
... seperti sosok-sosok perusuh pada Disember 1950 yang kehilangan pertimbangan akal dan kecerahan jiwa bila wajah seorang gadis Belanda di biara terpapar di Utusan Melayu.
Gadis yang telah diputuskan agar dihantar pulang ke Belanda oleh hakim setelah ia dibela keluarga Melayu dan memeluk agama Islam menimbulkan rasa marah dan mencetuskan amuk jiwa.(hlm. 69)
Malah latar dan warna suasana sewaktu tragedi rusuhan Nadrah ‘Gadis di Biara’ dilebar-rincikan pengarang melalui cerita Yassir kepada Irman dalam bab ‘Kubu’. Diceritakan bagaimana Masjid Sultan dijadikan kubu dan Dr B ditangkap semasa rusuhan. Begitu juga dengan cerita mogok pekerja-pekerja pos pada 1952. Begitu juga dengan rusuhan syarikat bas Hock Lee pada 12 Mei 1955 dalam bab ‘Hadiah’. Malah episod tragis dan klimaks novel ini turut dibina dari adegan rusuhan kaum sewaktu perarakan Maulidur Rasul. Aminah, Pak Durhakim dan Roslan telah terbunuh dalam keadaan yang mengerikan. Ia dinyatakan dalam bab ‘Arak’ dan ‘Kaca’. Sedikit unsur imbas muka tentang kejadian itu dinyatakan lebih awal dalam bab ‘Surat’.
Akibat kezaliman tentera Jepun juga, trauma surau dibakar begitu kuat berbekas di ingatan Pak Durhakim. Kebisuan yang dialami akibat episod malang itu berupa satu kemalangan yang akhirnya disengajakan. Pelbagai warna kusam dan tawar tumpah dalam jiwa Pak Durhakim: pemergian Malek, kehilangan Imam Yusof, terpaksa menjaga Ilham dan terasa membebankan Aminah yang terpaksa keluar bekerja. Himpitan politik British-Jepun yang mengakibatkan segala yang berlaku dan fitnah warga Kampung Tawakal - segala itu yang membikin jiwanya kosong.
Akibat politik-sejarah juga Aminah yang terpaksa keluar bekerja untuk menyaring kehidupan baru tanpa Malek. Bekerja sebagai samsui, “... mengangkat barang-barang dari tongkang ke perut pedati dan lori-lori pengangkut...” (hlm. 75), ternyata memaksa Aminah menyamar wajah sebagai Swee Mei kembali. Teknik mengulang ingat berlaku dalam bab “Sungai” apabila sewaktu sedang bekerja, Aminah sedar dia diperhatikan seorang lelaki. Malah kemudiannya dalam bab ‘Kubu’ Yassir alias Jati seakan mengakuinya di hadapan Irman tentang dia masih mengikuti perkembangan diri Aminah (hlm. 90) Pada episod pengakuan itu juga khalayak kian diyakini hubungan Yassir-Irman-Aminah. Begitu juga lewat bab “Selendang” apabila Aminah menceritakan kepada Rukiah bahawa lelaki itu adalah Jati (hlm. 118).
Kisah Aminah bertemu dengan Rukiah (sahabat semasa kecil; Rukiah merupakan anak kepada Imam Yusof - pendatang di Kampung Tawakal) ada diselit secara teknik ketegangan (suspense). Sebelum itu pengarang ada menyatakan pertemuan mereka di dalam bab ‘Fajar’.
Segala yang berlaku semacam diperjelaskan lagi dalam bab ‘Airmata’ dan bab ‘Gunting’. Yassir menoleh biografi sebelum ini sebagai tukang gunting. Warna politik ketika itu sering menjadi latar tapak pondok gunting rambutnya yang bersebelahan dengan pawagam Bukit Panjang seperti isu menyertai KERIS atau PAB (Parti Angkatan Baru). Kisah wartawan alias ahli politik yang sering keluar-masuk penjara, Asi (A Samad Ismail?) ada disentuh pengarang. Begitu juga dengan watak Paduka yang melaungkan “Bebas! Bebas! Bebas!” dalam rapat perisytiharan (hlm. 129) 31 Ogos 1957. Paduka pasti saja dikaitsegera dengan watak Tunku Abdul Rahman yang sinonim dengan laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Ternyata lewat bab ini perjuangan Yassir adalah untuk mengangkat bangsa Melayu.
Segala inci perasaan manusianya yang bergerak dalam sejarah dirakam Isa Kamari dengan penuh kreatif dan tanggungjawab. Bauran latar masa kini (di Perkuburan Bidadari) dengan masa lampau (zaman Jepun-kemerdekaan Singapura), diselangseli untuk menyeret khalayak lebih mengenali hubungan antara Irman-Yassir yang mewakili sebahagian hubungan rentetan sejarah Singapura. Teknik Isa Kamari ‘mengulang ingat’ pergerakan watak antara bab-bab Satu Bumi, dilakukan dengan subtle dan penuh jalinan kreativiti. Akhirnya paduan teknik “mengulangingat” dan muatan cerita sejarah (konotasi masa lalu) membikin novel Satu Bumi sebagai sebuah novel imbasan kembali.
Mei 1999
MOHAMED PITCHAY GANI BIN MOHAMED ABDUL AZIZ
Satu Bumi Jaya Realisasikan Pendekatan "New Journalisme"
Novel Satu Bumi karya Isa Kamari setebal 164 muka surat merupakan sorotan kehidupan masyarakat Melaya sebelum, sewaktu dan setelah pendudukan Jepun di Malaya sehingga perpisahan Singapura dari Malaysia pada tahun 1965. Novel ini penuh dengan tragedi memandangkan lingkarannya sekitar zaman kemelut di Malaya. Berbagai jenis penganiayaan ditonjolkan di sebalik tabir sejarah Malaya khususnya Singapura. Novel ini merupakan penulisan novel sejarah moden atau metafiksyen historiografik pasca moden.
Novel ini merupakan gaya penulisan kewartawaanan moden (faction) atau dikenali sebagai new journalisme kerana bahan dalam novel ini telah diolah bersesuaian dengan tiga kriteria utama gaya kewartawan moden iaitu gaya berita, gaya peristiwa dan gaya fiksyen. Bagi merealisasikan gaya fiksyen agar kesan estetika jelas terpancar dalam karya sastera, ia diselitkan dengan ciri-ciri seperti deskripsi terperinci, sudut pandangan orang ketiga, monolog dalaman, dialog dan perwatakan pelbagai atau komposit.
Penerapan gaya berita memusat kepada perkara-perkara benar seperti apa yang terjadi, di mana terjadi, bila terjadi, siapa terlibat, mengapa terjadi dan bagaimana peristiwa atau insiden itu terjadi digambarkan secara kreatif dan menarik. Misalnya dalam petikan berikut -
"Menurut polis, mereka telah menemukan mayat datuknya beserta Roslan, berdekatan sebuah lori yang telah hangus terbakar. Mayat datuknya tidak tercela sedikit pun. Polis mula-mula berasa hairan dengan keadaan mayat itu. Nampaknya Pak Durhakim meninggal dunia kerana terperanjat dan ada manusia yang menariknya keluar dari lori yang terbakar." (hlm. xx)
Penekanan gaya peristiwa pula menekankan penggunaan unsur-unsur dan peristiwa sejarah yang benar-benar berlaku termasuk fakta.. Ia biasanya bertitik tolak daripada apa jua peristiwa besar atau kecil yang dialami manusia. Misalnya peristiwa pembalasan dendam setelah Jepun kalah -
"Kebelakangan ini Yassir asyik memikirkan tentang Bintang Tiga yang telah memulakan kempen huru-hara di kampung-kampung. Dua minggu sebelum kuasa penuh diserahkan kepada British, Bintang Tiga yang bergerak melalui Tentera Anti-Jepun Nusa Utara, telah membunuh ramai orang Melayu yang disyaki telah menjadi tali barut Jepun. Kerana ramai ahli Bintang Tiga itu berbangsa Cina, sejarah telah menyaksikan pertempuran kaum berdarah selama tiga belas hari. Pertempuran itu berlaku di merata negara dari utara ke selatan." (hlm. xx.)
Satu lagi peristiwa bersejarah terpenting bagi masyarakat Islam juga telah disulami penulis seara kreatif seperti berikut -
"Namun begitu, terjadi juga pergaduhan di luar pusat itu, yang terus merebak dengan pantas hingga menjadi rusuhan kaum. Semangat perarakan bertukar menjadi semangat permusuhan yang nyata telah lama terperap dan kini meledak kerana dibakar dendam dan curiga. Suasana tidak terkawal selama beberapa hari. Rusuhan berlaku di merata kampung dan jalanraya…Puncanya ialah sebiji botol kaca yang dilemparkan oleh seorang pengacau yang pendek akal, semasa perarakan seramai 25,000 orang Islam." (hlm. xx.)
Gaya fiksyen merupakan unsur pemisah karya bersifat rencana daripada yang bersifat kesusasteraan. Hasil sesebuah karya itu biasanya berteraskan kemanusiaan, keindahan dan keinsanan. Semua unsur ini kemudiannya diolahkan dan disulami dengan ciri-ciri sastera iaitu unsur-unsur dramatik, imaginasi, dialog, sudut pandangan, monolog dalaman dan suspens. Misalnya dalam senario pergolakan politik apabila ada usulan untuk mengenepikan Singapura daripada mencapai kemerdekaan kerana mendahulukan kemerdekaan Malaysia, terdapat penggunaan dialog dan unsur suspens yang berkesan -
"Bagaimana dengan nasib kita bila Nusa Utara merdeka kelak ?"… "Kita tawarkan biasiswa kepada pelajar Melayu di Nusa Selatan. Kalau mereka mahu, mereka boleh berhijrah ke Nusa Utara." Yassir menjadi marah mendengar penerangan paduka. "Paduka! Bagi orang Melayu belum pernah mereka berhijrah. Malah tidak tergerak kami hendak berhijrah. Walaupun pernah dijajah British dan Jepun, belum pernah orang Melayu hendak berhijrah! Hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri! Bukan namanya bangsa Melayu meninggalkan negeri sendiri." Torpedo KERIS meluncur ke arah sasarannya. (hlm. xx)
Ciri kedua penting dalam unsur fiksyen bagi pendekatan kewartawan baru ini merupakan penggunaan sudut pandangan orang ketiga dalam penceritaan. Misalnya penulis telah menjadi watak serba tahu dalam novel ini -
Ah Sin adalah ketua operasi Bintang Tiga cawangan seberang tambak dan Nusa Selatan. Malek juga terperanjat bila mengetahui ada juga orang Melayu yang bergiat di dalam sarang Bintang Tiga. Dia menyangka hanya orang Cina yang mahu menjadi komunis. Lebih-lebih lagi setelah komunis berkuasa di Tiongkok sejak 1949. Kini dia mendengar nama Terdiri, Rasyid M, Abdullah C.D. dan Arshad A yang sering disebutkan-sebutkan Ah Sin. Justeru itu, dia tidak berasa kekok bergiat bersama. (hlm.xx)
Selanjutnya penulis telah memberikan deskripsi terperinci sesuatu senario sehinggakan dapat dirasai dan dihayati pembaca dengan mendalam sekali. Ciri ini merupakan keistimewaan dan kekuatan novel Satu Bumi. Cuba bayangkan beberapa senario berikut :
“Kepala mangsa-mangsa itu digantungkan dihujung galah bakau yang dipacakkan di tepi jalan penghubung di atara dua kampung. Lelehan darah kering berjuntai dari pangkal-pangkal keher yang ditebas. Kepala-kepala itu dikerumuni puluhan lalat hijau yang gemuk-gemuk. Desingan lalat-lalat itu lebih mengerikan daripada dengungan kapalterbang perang yang melepaskan penderitaan dari langit. Lama-kelamaan kepala itu mengecut dan akhirnya memutih. Gugurlah rambut dan nama. Tinggallah tengkorak, entah kepunyaan siapa.” (hlm.xx)
“Pemuda-pemuda kampung yang suka menghendap gadis dan isteri orang begitu tertegun dengan apa yang mereka lihat…Bau lembab dan hancing yang menempel di celah pelepah rumbia adalah semerbak atar dari syurga. Bahaya sengatan lipan atau jengking yang mungkin bersarang di selaan pelepah, tidak dihiraukan.” (hlm.xx)
“Melimpah keluarlah najis manusia yang seperti bubur. Ada yang berketul-ketul dan masih berwap. Ulat-ulat tahi menggelitik di dalam cairan tadi seolah-olah terganggu bersama. Lalat-lalat datang menghinggap tanpa dijemput. … tiada seorang pun yang sanggup mengangkat dan membersihkan tong najis yang telah membuak dan berulat. Lalat-lalat hijau dan gemuk berebut-rebut menelurkan zuriat di dalam lubuk najis yang telah mula mengering dan menghitam di tepian tong. Terhidu kemesuman yang hangit dan pahit.” (hlm xx)
“Kemudiannya, dia telah ditelanjangkan, kecuali seluar dalam yang tergantung di pinggang. Badannya kuyup disirami air dan kedua-dua tangannya diikat di belakang. Sebuah kipas dinding ditujukan ke arahnya untuk beberapa jam. Badannya menggigil kesejukan sehingga terasa sebal dan kaku. Dia rebah kerana tidak dapat mengawal lagi pergerakan dan ketahanan otot-ototnya. Tetapi dia tidak mahu bersuara…Rakan sekerja yang nyata seorang tukang bantai berdiri di belakang Ah Sin. Badannya agak gempal. Ah Sin terhidu bau keringat ketiaknya yang agak masam. Pegawai tadi sengaja menyapu ketiaknya yang masam lalu menekap hidung Ah Sin dengan tangan berbekas itu. Ah Sin meronta-ronta dan memalingkan mukanya untuk menghindarkan bau busuk itu. Si tukang bantai berbaju batik tertawa terbahak-bahak sambil menyambut jempolan rakannya….Si penyoal siasat kemudiannya menukar taktik. Ah Sin diperintahkan berdiri dan badannya dirirami air lagi. Sedang dia menggigil, puting teteknya digentel si tukang bantai sehingga alat kelaminnya berdiri tegak. Kemudian seluar dalamnya ditanggalkan. Alat kelamin yang menegang itu diketuk dengan pembaris pada bahagian kepalanya yang menyerupai buntut sotong Bisanya menyebabkan dia terduduk. Dia mengerang kesakitan. Kerana tangannya masih terikat, dia mengapitkan pehanya untuk mengusap dan menahan kesakitan yang menyerang alat kelaminnya.” (hlm.xx)
Contoh-contoh di atas juga memaparkan penggunaan pelbagai watak seperti watak tukang pukul, seorang tahanan, pegawai, budak-budak kampung, anak dara dan ketua pertubuhan.
Novel ini telah berjaya merealisasikan pendekatan New Journalism. Penulis telah berjaya menyatukan sejarah dengan sastera supaya penghayatan kesusasteraan menjadi lebih menarik dan realistik. Kekuatan novel ini terletak pada keupayaan penulis memberikan gambaran realistik sesuatu senario. Kejelasan gambaran yang dibayangkan begitu berkesan sekali sehingga pembaca mampu menikmati kelunakan tubuh yang tidak berbaju, merasa loya apabila disuakan dengan bau hancing dan najis yang berwap, mengerikan tatkala dibayangkan kepala-kepala bergantungan sehingga darah kering berjuntai serta kesedihan dan kepiluan tatkala dibayangkan penderitaan dan kezaliman yang menimpa orang perseorangan kesan peperangan dan rusuhan.
Berita Harian, S’pura, 2001
ROZNINAH ABD AZIB
Satu Bumi Antara New Historicism dengan Feminisme
Satu Bumi merupakan novel yang dicerna dengan teori New Historicism, melalui pengkaedahan fotokopi. Pengarang cuba membawa ketepatan fakta dan menghasilkan teks sedekat mungkin dengan sejarah sebenar, yang berlaku semasa penjajahan Jepun di Singapura, dan mengenai hubungan Malaysia dengan Singapura sebelum merdeka. Namun begitu novel ini tidak boleh dianggap teks sejarah kerana penulis menggarapkan unsur cereka dan fakta untuk menjadikan novel ini sebuah pengkisahan masyarakat yang berhadapan dengan sebuah kehidupan yang penuh cabaran, yang menuntut pengertian dan pengorbanan demi meneruskan hidup dan perjuangan mendapatkan hak, kuasa dan kasihsayang.
Melalui watak Aku dan Yassir yang bertemu di perkuburan Bidadari, secara imbaskembali pengarang menelusuri penceritaannya. Aku menceritakan kehebatan neneknya, Aminah binti Abdullah dan Yassir menceritakan penglibatannya dalam tentera dan politik semasa zaman penjajah.
Aminah yang nama asalnya Swee Mei, diambil sebagai anak angkat oleh Pak Durhakim, setelah ayah dan ibunya mati dibunuh oleh Jepun. Kehadirannya tidak disenangi oleh orang kampung, sebaliknya keluarga Pak Durhakim menatangnya bagai minyak yang penuh, sehingga terjalin percintaan antara Aminah dengan Jati, anak teruna Pak Durhakim. Namun demi keselamatan Aminah, Pak Durhakim mengahwinkan Aminah dengan Malek, anak saudara Pak Durhakim yang sememangnya mencintai Aminah. Jati kecewa dan meninggalkan kampung dan khabarnya telah mati di Bukit Candu dan maklumat yang lain mengatakan dia tidak mati tetapi menjadi buruh paksa di Siam.
Biarpun perkahwinannya bukan berdasarkan cinta, Aminah akhirnya meredakan ikatan suci itu.
…dengan tiba-tiba dia merasa rindu terhadap Malek suaminya….dia meyakini dirinya supaya terus berhasrat kerana Malek adalah keinginannya yang sah. (hlm. 140)
Malek pula walaupun panas baran tetapi dia seorang suami yang bertanggungjawab. Dia sanggup mencuri beras di gudang Jepun untuk mendapatkan beras bagi isterinya yang mengidam dan akibatnya dia dibelasah hingga hampir mati. Namun begitu ada orang yang menyelamatkannya lalu membawanya ke hospital. Kerana terhutang budi dengan orang yang menyelamatkannya dan malu kepada isterinya, dia tidak pulang ke rumah, sebaliknya menyertai Bintang Tiga menentang penjajah.
Kehilangan suaminya menyebabkan Aminah bekerja sebagai samsui dengan tauke tongkang pemunggah di perairan Hababot, untuk menyara anaknya Ilham dan Pak Durhakim yang cedera kakinya dan membisukan diri selepas peristiwa digertak dengan tembakan oleh tentera Jepun. Di tempat kerjanya Aminah berasa dirinya sering diperhatikan dan diekori oleh seseorang dan dia mengenali orang yang memberi sampul yang mengandungi wang kepadanya. Dengan duit itu dia mampu membeli sebuah basikal untuk kegunaannya ke tempat kerja dan menghantar anaknya ke sekolah.
Swee Mei tidak tahu siapa yang menghantar wang itu kepadanya. Adakah pemuda yang di balik tiang itu orangnya? Mungkin dia mahu memastikan agar Swee Mei telah menerima wang kirimannya. Mungkin dia adalah seorang daripada samseng…..(hlm. 78)
Biarpun hingga ke akhir cerita pengarang tidak menjelaskan hal ini, tetapi pembaca dapat mengagak bahawa lelaki di sebalik tiang itu adalah Malek. Hal ini terkesan apabila pada saat akhir kematiannya, Malek kembali mendapatkan Aminah isterinya.
Keistimewaan novel ini ialah teknik pengarang yang meninggalkan persoalan kepada pembaca dan membiarkan pembaca mencari jawapannya sendiri.
Dalam pencernaan teknik begini, pembaca mungkin boleh membuat andaian lain, bahawa orang yang sentiasa mengekorinya itu mungkin juga kekasihnya, Jati, yang kematiannya masih dipersoalkan Aminah.
….Dalam hati kecilnya dia masih mengharapkan Jati masih hidup. Malah ada sesuatu dalam jiwanya yang membisikkan keyakinan bahawa Jati masih hidup. (hlm.18)
Melalui teknik ini juga, pengarang menuntut supaya pembaca memikirkan dan membuat andaian sendiri tentang siapakah Yassir yang sebenar. Apakah pertalian antara Yassir dengan Aku?
Bila kuteliti ceritanya setakat ini dan mengimbas ceritaku, seolah-olah ada titik pertemuan….(hlm. 134)
…..aku yakin orang tua itu ingin dan mungkin telah menceritakan sesuatu kepada pembaca dan merahsiakannya pula daripadaku. Dan aku meminta izin daripada pembaca untuk merahsiakan sesuatu yang kuceritakan daripada pengetahuan orang tua itu. (hlm 134)
Novel ini boleh juga dilihat dari sudut pendekatan feminisme melalui watak Aminah. Aminah, seorang mualaf yang tegal pegangannya terhadap Islam, Biarpun dia samsui, dia masih mempertahankan keislamannya. Dia merahsiakan keislamannya; bergaul dengan mereka seperti yang dituntut oleh adat sebangsanya tetapi menolak memakan ‘daging itu’ atas alasan kesihatan. Sebaliknya jika dibandingkan ketegalan imannya dengan Pak Durhakim yang mengislamkannya, amat jauh bezanya. Pak Durhakim selepas ditimpa bencana, menghukum dirinya sendiri, menghukum Aminah, menghukum Ilham cucunya, penduduk kampung, malah mungkin dia memarahi Tuhan yang menimpa bala ke atasnya.
Pak Durhakim tersedar kembali daripada kesesatannya apabila dia mendapat tahu daripada Roslan bahawa Aminah murtad. Dia kembali kepada asalnya dengan tujuan untuk menyelamatkan Aminah. Akhirnya dia malu pada dirinya sendiri apabila mendapat tahu kisah Aminah yang sebenarnya. Imej Aminah melonjak selepas peristiwa itu. Dia diterima oleh orang kampung dan dijadikan contoh sebagai Muslim sejati dan isteri yang bermoral biarpun ditinggalkan oleh suami.
Tetapi sayangnya novel ini berakhir dengan kematian Aminah yang cukup tragik. Dia mati diperkosa dan dibunuh oleh perusuh Cina yang cukup marah kepadanya kerana masuk Melayu atau Islam. Aminah mungkin tidak diperlakukan seburuk itu, andainya pada saat genting itu dia mengaku kepada perusuh itu bahawa dia sebenarnya Swee Mei, berbangsa Cina dan menyokong rusuhan itu.
Fakta sejarah dalam novel ini banyak diterapkan menerusi watak Yassir, antaranya tentang penyertaannya dalam INA.
….Pasukan yang membela kemerdekaan India daripada British. Pakcik mengaku bapak pakcik orang India.. Terus pakcik diterima. (hlm. 29)
Beberapa fakta sejarah yang melibatkan watak Yassir, seperti peristiwa rusuhan gadis di biara, mogok pekerja pos 1952, rusuhan penuntut sekolah menengah Cina 1954, rusuhan di syarikat bas Hock Lee 12 Mei 1955, pencerobohan dan pemerintahan Jepun 1942, penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, 31 Ogos 1957 hari kemerdekaan dan peristiwa penyatuan Malaysia dengan Singapura ditemukan dalam novel setebal 170 halaman ini.
Zaman penjajahan Jepun merupakan latar masa yang amat digemari sejarah oleh kebanyakan penulis. Imej negatif Jepun terdapat dalam bab dua hingga lima. Antara yang dirakamkan penulis ialah pembunuhan orang Jepun terhadap orang Cina, ketakutan ibubapa terhadap keselamatan anak gadis mereka, susah mendapat makanan, hidup dalam kemiskinan, seperti yang diluahkan oleh Malek kepada Aminah.
Apa lagi. Ubi kayulah! Abang tak mampu beli beras. Yalah! Abang ni orang miskin. Tak macam keluarga kau. (hlm. 25)
Dalam zaman Jepun penulis menggambarkan kehidupan masyarakat yang tertekan dan ketakutan. Inilah realiti zaman pemerintah Jepun yang dilukiskan oleh penulis, umpamanya dalam peristiwa tentera Jepun menembak Pak Durhakim, ketika dia dipaksa menurunkan penyebar suara dari bumbung surau. Kekejaman mereka digambarkan oleh penulis seperti berikut:
Askar-askar Jepun langsung tertawa melihat merpati putih yang ditembak mereka menggelepar….Ketawa itu bercemperai lantang dan ditelan debukan tubuh Pak Durhakim yang terhempap ke tanah setelah terlorot dari bumbung kerena terkejut dengan bunyi tembakan. Seorang askar Jepun sampai terduduk menahan geli hati. Yang lain menuding-nuding ke arah tubuh Pak Durhakim yang bergelimpangan di atas tanah sambil ketawa berdekah-dekah.
Sebagai khatimahnya saya petik tulisan saudara Isa Kamari di pengakhiran novel ini:
….Terpulanglah kepada manusia seperti penggali kubur yang bersamaku untuk membongkar segala rahsia dan makna yang tersembunyi…(hlm 164)
Mungkin melalui pembacaan dan penelitian pembaca lain, mereka akan menemukan sesuatu yang lebih berharga dari sudut pandangan yang lain pula. Kita mengharapkan dalam waktu yang terdekat ini kemunculan sambungan cerita Satu Bumi, seperti yang dijanjikan Isa Kamari.
Dewan Sastera, Malaysia, Jun 1999
PROF MADYA SHAHARUDDIN MAARUF
Satu Bumi Melentur Prasangka
Satu Bumi karya Isa Kamari merupakan sebuah buku serius yang memajukan lagi sastera Melayu Singapura dengan unsur unsur yang segar dan membina. Dalam beberapa segi karya ini membebaskan diri dari acuan yang pada umumnya mengongkong sastera Melayu Singapura, baik dari segi bahasa, gaya, mahu pun perwatakan dan persoalan yang disasterakan. Satu Bumi boleh dianggap sebagai satu cubaan buat meluaskan bicara atau discourse sastera Melayu Singapura yang agak berjaya.
Dari segi bahasa dan gaya, penulis tidak sekadar bercerita dan memaparkan keadaan sekitar, tetapi menyelang-nyelikan pemaparan keadaan dengan unsure unsur renungan dan pemikiran akan kehidupan. Unsur unsur ini dimasukkan dengan tidak bersengaja tanpa menyampuk dan mencacatkan perjalanan cerita. Bahasa dan pendekatan yang merenung sambil bercerita ini membuat pembacaan tidak membosan dan sentiasa menduga pemikiran pembaca sendiri.
Unsur unsur dan peristiwa sejarah dianyam dengan menarik dan berkesan untuk melatarbelakangkan cerita. Motif penjajahan, penaklukan Jepun, kacau-bilau selepas Perang Dunia ke-2, kemerdekaan, pemisahan serta kemunculan negara baru diolah buat menghidupkan perjalanan cerita. Dengan itu watak watak menjadi watak sejarah atau historical type, baik pejuang kebangsaan, idealis politik, pendukung faham kiri, penggerak pembaruan yang bebas dari kebangsaan sempit, pejuang agama, pembelot, penyeludup, pelampau perkauman mahupun mangsa perkauman. Menerusi watak watak sejarah ini pembaca terasa keterlibatan mereka dalam persoalan buku, serta turut juga berdialog dengan kehidupan dan gejala manusia yang dipaparkan.
Buku tidak menentukan siapa yang benar dan yang bersalah, yang lebih penting mempelawa kita merenung serta mengamati kemanusiaan kita. Buku Satu Bumi mengutarakan berbagai pula persoalan penting yang mewakili pengalaman sejagat manusia baik di mana mana sekalipun. Halaman halamannya memaparkan pertembungan dan pertelagahan kebudayaan, kesamaan dan keharmonian dalam kesejagatan, antara kemuliaan dan kelemahan insan, antara ihsan dan prasangka serta antara perubahan dan kesinambungan.
Motif tradisi, warisan dan jatidiri juga diberi perhatian serius. Dalam penggalian semula Kubur Bidadari, ditengah-tengah kematian, terserlah pula kesinambungan dalam suasana perubahan yang pesat. Suasana kubur yang biasanya melambangkan berakhirnya kehidupan, sebaliknya menjadi satu permulaan. Dalam kehilangan terdapat penemuan. Segala pahit maung kehidupan yang dipaparkan dalam buku diolah bukan untuk merintih tetapi buat mencari kekuatan diri dan mengutuhkan kehidupan dan kemanusiaan.
Satu unsur segar yang ketara dalam Satu Bumi ialah usaha untuk melenturkan prasangka atau stereotaip yang agak meluas dalam sastera. Sejajar dengan tajuk Satu Bumi, watak watak serta lambang lambing dalam buku tidak bersifat hitam putih mengikut kaum. Masjid didirikan di tanah watak Cina. Untuk memungkinkan ini, watak Cina membuka jalan dengan sogokan ginseng mahal. Bahan pembinaan masjid diberi watak Cina, sementara imam masjid yang pertama berketurunan India. Keluarga Cina menyerahkan soal hidup mati kepada keluarga Melayu dan keluarga Melayu menyabungkan nyawa untuk melindungi watak Cina dan sebagainya. Buruk baik tidak mengikut pembahagian kaum, seperti terjalin dalam paradok buku. Tokoh utama buku yang lari dari kekejaman Jepun, dilindungi keluarga yang bukan sebangsa, akhirnya menjadi mangsa prasangka bangsa sendiri.
Buku Satu Bumi harus dibaca dan dibicarakan, walaupun jika cuma kerana ia membuat beberapa cubaan dan pembaruan yang kita alu-alukan. Pada umumnya ia merupakan sebuah buku yang cuba mengamati pengertian kehidupan dan kemanusiaan kita, baik kelebihan dan kelemahannya. Ini pasti merupakan salah satu peranan sastera yang bermakna bagi kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment