Tuesday, February 7, 2012

Sketsa Minda (Celupan)


Sketsa Minda, 1994 diterbitkan semula sebagai Celupan, 2010

 ROSLIE SIDIK
KARYA ISA UNIK

Isa Kamari merupakan anak kelahiran Singapura yang berjaya memiliki ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1985 dan Sarjana Muda Seni Bina (Kepujian) pada 1988. Bekas penuntut Institution Raffles ini dilahirkan pada 19 Mei 1960.

Latar belakang
Di Singapura, beliau dikenali sebagai seorang penulis prolifik yang giat menghasilkan karya daripada pelbagai genre seperti cerpen, puisi, skrip drama, novel dan esei sastera.

Kekuatan beliau sebagai penulis amat terserlah kerana setiap penulisan genre yang diceburinya menerima pelbagai pengiktirafan dan hadiah penghargaan dalam bidang sastera.
Di dalam esei ini, saya bincangkan antologi cerpennya yang dihasilkan pada 1994 yang bertajuk Sketsa Minda.

Sketsa Minda
Saya sengaja memilih antologi ini sebagai bahan kritikan dan bukannya karya-karyanya yang terkini kerana beberapa sebab.

Pertama, bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang sarjana, saya ingin meninjau sejauh mana kebolehannya memaparkan inteleknya dan pemikirannya yang kritis di dalam karya-karyanya.

Kedua, menerusi antologi ini, saya ingin meninjau bakat dan kreativiti Isa yang sebenar sewaktu usianya masih muda. Antologi ini dihasilkan ketika usianya baru mencecah 34 tahun.

Ketiga, Isa memang dikenali sebagai seorang penulis yang berani dan gemar dengan cabaran.
Keberanian dan kecenderungannya mencuba pelbagai genre penulisan menjadi bukti sifat Isa yang positif ini.

Didorong dengan sifat demikian, Isa sentiasa tercari-cari kekuatannya dan menghasilkan pembaharuan untuk menghidupkan elemen keunikan dalam karyanya.

Menerusi antologi ini, saya ingin menyelongkar keunikan karyanya khususnya dalam bidang penulisan cerpen.

Keunikan Isa Kamari adalah latar belakang pendidikannya. Kini seorang arkitek, beliau juga sebenarnya mempunyai ijazah Sarjana Muda Sastera.

Sebenarnya, dalam penciptaan seni, ijazah sahaja tidak cukup untuk menjamin seseorang penulis dapat menghasilkan mutu karya yang baik.

Gagak
Persoalannya, mampukah Isa memaparkan inteleknya menerusi karya-karyanya. Saya memilih cerpen Gagak untuk tujuan perbincangan ini.

Cerpen Gagak mengisahkan watak seorang ayah, Sahya, yang terpaksa mengikut apa sahaja kehendak Kampeitai Jepun supaya dapat menyara keluarganya.

Cerita mengisahkan penindasan Jepun sewaktu zaman penjajahan di tanah Melayu.
Sabri, anak Sahya, merupakan watak hero dalam cerita yang berani menentang tentera Jepun.

Badik pula menggambarkan watak yang sanggup menggadai maruah bangsa dan ibu pertiwi dengan menjadi tali barut tentera Jepun.

Pembacaan mendalam
Cerpen Isa memerlukan pembacaan yang mendalam untuk mengetahui makna sebenar. Walaupun, cerpen Gagak menyentuh tentang tema penjajahan dan kezaliman tentera Jepun, itu bukanlah isu utama yang ingin disampaikan.

Pada tanggapan saya, Isa sekadar menggunakan zaman penjajahan Jepun sebagai latar belakang cerita. Ada persoalan yang lebih hebat yang ingin disampaikan oleh Isa. Menerusi cerpen ini, saya melihat Isa berusaha membina konseptual penindasan mengikut interpretasinya.

Berdasarkan cerpen ini terdapat beberapa kata kunci untuk menyatakan konsep penindasan ini. Kata-kata kunci itu ialah:
(i) sengsaralah - 'Akan lebih sengsaralah hidup kita kelak.'
(ii) sempit - 'Hidup kita sempit Sabri.'
(iii) diinjak-injak - 'Ayah lebih suka kita diinjak-injak?'
(iv) diperkotak-katikkan - 'Sabri tidak suka hidup mereka diperkotak-katikkan oleh sesiapa pun.'
(v) membongkok - 'Ayah mahu Sabri membongkok setiap kali mereka lalu depan kita?'
(vi) sembah - 'Mereka bukan Tuhan yang kita sembah.'

Menerusi kata kunci ini, saya membahagikan konsep penindasan kepada beberapa aspek atau tahap.
Penindasan yang paling asas berlaku di tahap satu, dalam bentuk penindasan material. Rakyat yang ditindas lantas hidup miskin dan sengsara.

Penindasan tahap kedua berlaku dalam bentuk penindasan minda. Di sini, seperti watak Sahya yang sanggup melakukan apa sahaja, sebenarnya pemikiran dan minda mereka ditindas. Mereka akan menurut apa sahaja tanpa berfikir sehingga hilang harga diri.

Penindasan tahap ketiga berlaku dalam bentuk penindasan spiritual. Di sini, bukan sahaja seseorang dianggap hilang harga diri, bahkan dapat disifatkan sebagai sudah muflis keperibadiannya kerana sanggup 'sembah' sesuatu semata-mata kerana didorong perasaan takut.

Pada tanggapan saya, konsep mengenai penindasan inilah yang ingin diketengahkan Isa.

Konsep bersifat universal
Konsep yang ingin diketengahkan bersifat universal dan masih dapat dianggap relevan kerana ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Apa sebenarnya hubung kait persoalan ini dengan daya intelek Isa?
Pada pendapat saya, pertama, persoalan yang diketengahkan Isa dapat dianggap hebat, mendalam dan matang. Tentunya, dalam cerpen ini, daya inteleknya agak terserlah.

Kedua, kemampuannya mengetengahkan persoalan ini dengan menggunakan kaedah penulisan cerpen yang lebih pendek daripada biasa atau 'cerpendek' amat mengagumkan.

Penggunaan bahasa
Cerpen Gagak terdiri daripada hanya tidak kurang 659 patah perkataan. Begitu juga, dengan cerpen-cerpennya yang lain di dalam antologi ini yang hampir kesemuanya berada di dalam lingkungan 600 hingga 1,000 patah perkataan.

Bahasa yang digunakan bukan sahaja mudah tetapi padat dan ekonomis dan di dalam lingkungan yang terbatas ini, Isa berupaya menyampaikan mesejnya dengan cukup berkesan. Inilah menjadi keunikan cerpen tulisan Isa.

Satu lagi keunikan yang dapat dilihat dengan agak jelas dalam cerpen-cerpen Isa adalah penggunaan kesan bunyi. Biasanya kesan bunyi ini akan diulang-ulang sehingga terasa kehadirannya.

Sebagai contoh: Aaak! Aaak! Aaak! (Gagak), Aaah! Aaah! Aaah! (Gagak); Gleg, gleg. Blep, blep. Pup, pup (Celupan) dan Nangonangonang, Nangonangonang (Pengukir).

Kesan bunyi ini bukan bertujuan sekadar mewarnakan cerpennya. Sebenarnya, kesan bunyi itu disengajakan dan mempunyai sesuatu fungsi tertentu.

Misalnya, kesan bunyi dalam cerpen Pengukir yang teknik penyampaian ini sangat kreatif. Lihat petikan di bawah:
(1) 'Dia telah menjadi manusia yang kurang siuman. Nangonangonang. Nangonangonang.'
Kesan bunyi yang pertama ini sebenarnya berfungsi sebagai tujuan untuk memperkenalkan watak 'dia' yang sudah kurang siuman. Bunyi itu agak asing dan bersesuaian dengan pengucapan orang gila.
(2) 'Siapa sangka dia boleh jadi gila.'
'Nangonangonang. Nangonangonang.'

Kali ini kesan bunyi ini sengaja diulang untuk menimbulkan perasaan ingin tahu kepada pembaca mengenai watak 'dia'.

Pada pendapat saya, teknik kesan bunyi dan kaedah penulisan cerpendek adalah dua ciri penting yang agak ketara dalam cerpen-cerpen Isa.

Teknik penulisannya yang cukup berkesan memaparkan kreativiti dan bakatnya yang sebenar .
Suratman Markasan, seorang sasterawan Singapura, pernah memberi komen bahawa 'tulisannya pendek-pendek tetapi memberi kesan dan makna yang mendalam dan berlapis (Terminal Terakhir, 1992: xix)'.

Sekiranya, Isa benar-benar kreatif dan berbakat, di manakah letaknya nilai-nilai keindahan pada cerpen-cerpennya? Sekadar menggunakan bahasa yang mudah dan ayat singkat tentunya sukar untuk menyelitkan unsur keindahan dalam cerpennya.

Pelajaran dan teladan
Menurut Muhammad Haji Salleh, keindahan sesuatu karya sastera ialah apabila ia dapat 'membawa pelajaran atau teladan'.

Beliau menambah lagi bahawa 'yang tidak mencapai tujuan begitu dengan sendirinya tidak mencapai keindahan sastera'.

Jika berdasarkan takrifan ini, tentunya cerpen-cerpen Isa yang banyak mengemukakan persoalan yang hebat dan dapat membawa manfaat kepada khalayak dapat dikatakan mempunyai nilai-nilai keindahan yang tersendiri.

Contohnya, cerpen Klinik, mengemukakan pandangan Isa yang sangat kritis tentang persoalan agama khususnya dalam aktiviti berdakwah.

Melalui watak Pak Seru, seorang ahli agama, Isa mengkritik golongan pendakwah yang hanya mementingkan kandungan dakwah tetapi bukan cara penyampaiannya.

Dakwah yang dijalankan oleh Pak Seru kurang berkesan kerana dia tidak memikirkan dengan mendalam tentang cara penyampaian.

Isa seolah-olah dengan tegas menyarankan bahawa golongan pendakwah perlu memperluaskan ilmu bukan sahaja dalam bidang agama yang diceburi bahkan juga mempelajari ilmu yang sesuai dalam cara penyampaian untuk mendekatkan diri dengan khalayak.

Oleh itu, bagi pandangan saya, keindahan bahasa yang tidak terdapat dalam sebahagian besar dalam antologi ini tidak menyebabkan ketiadaan nilai-nilai keindahan dalam karyanya.
Bahkan, cerpen-cerpennya adalah refleksi keindahan warisan Islam yang sebenar yang dituntut dalam penghasilan karya.

Dua belas tahun selepas Sketsa Minda diterbitkan, persoalan-persoalan yang dikemukakan masih dapat dianggap relevan sehingga ke hari ini.

Saya berani meramalkan bahawa anak kelahiran Singapura ini suatu hari nanti bukan sahaja bakal meninggalkan legasi di dalam dunia kesusasteraan Melayu malah mungkin akan turut menggoncangkan dunia sastera di persada antarabangsa. Insya-Allah.


MAWAR SHAFEI
Sketsa Minda dan Yuda : Perbandingan Semiotika Cerpen Melayu

Kelahiran pengarang baru beberapa dekad kebelakangan di rantau ini sememangnya merupakan satu episod perkembangan yang sihat dalam mandala sastera Melayu. Beberapa nama yang kian merancakkan alun gerak perkembangan sastera Melayu nusantara dalam dekad mutakhir ini antara lain ialah Isa Kamari (Singapura)  dan Zaen Kasturi (Malaysia). Kedua-dua pengarang ini dapat digandingkan kerana lahir kurang lebih dalam dekad kepengarangan yang sama iaitu sekitar 1980-an dan masih menulis hingga  kini. Dengan  merujuk kepada Sketsa Minda (1994)  yang  turut pernah diperkatakan Suratman Markasan dan Hashim Awang sementara Yuda  (1992)  yang pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia, satu penilaian semiotika cuba dilakukan.
Melihat kepada tajuk-tajuk yang tersenarai dalam kandungan kedua-dua kumpulan cerpen ini, didapati persis menawarkan tarikan yang agak kuat. Terdapat beberapa tajuk dalam Sketsa Minda dan Yuda yang jika diikuti dengan lebih tirus wajar saja kemudiannya diberi tanggapan yang tersendiri. Lihat saja cerpen ‘Gagak’, ‘Kaca’ atau ‘Seladang’ oleh Isa Kamari dan ‘Yuda’ (bermakna peperangan), ‘Nurzina’ atau ‘Mafatih Nur’ oleh Zaen Kasturi. Hubungan yang cuba diperhatikan ialah apakah  makna yang dihimpun lambang-lambang dalam kedua-dua teks ini; khususnya yang memberi pengertian kepada kenyataan yang berlaku dalam  kehidupan sekitar pengarang.
Dalam kajian semiotika yang diperkenal Ferdinand de Saussure (Eropah) dan Charles Sandre Peirce (Amerika) seawal dekad ke-19, ia persis membebaskan karya-karya yang ditelaah daripada andaian absurdisme. Khususnya membaca dan meneliti sejumlah cerpen Sketsa Minda dan Yuda yang bobot dengan tanda-tanda, perlu saja untuk menikmati lebih jauh inti dua kumpulan cerpen ini menuntut penghuraian penanda (signifier) dan petanda (signified). Ia juga amat memerlukan  analisis terhadap ikon, indeksikal juga lambang-lambang lazim yang  wajar dilebardalam akan beberapa tanggapan  tertentu. Kumpulan cerpen Yuda pernah ditampal   sebagai cerpen  berjenama abnormal, absurd tekniknya, logika yang minima, anti plot dan bergaya surealistik (Mana Sikana, 1994:86).
Namun memetik kata-kata Umar Junus betapa semiotika itu sebagai disiplin tentang tanda yang menghubungkannya dengan sesuatu yang diwakili, (Umar Junus, 1990: 29), diyakini beberapa tanggapan makna akan diperolehi lewat  Sketsa Minda dan Yuda menerusi pendekatan pasca moden ini.
Cerpen ‘Gagak’  oleh Isa Kamari contohnya  cukup kaya dengan permaknaan semiotika ini. Diksi ‘gagak’ untuk judul cerpen  ini merupakan ikon yang dominan. Gagak sebagai haiwan berurna hitam kerap dikembarkan dengan potagonis Sabri. Sabri (sabri= sabar, dalam bahasa Arab) adalah seorang nasionalis, moralis dan kuat pegangan agamanya. Urna hitam/gelap gagak memberi tanggapan betapa keengganan Sabri menerima Kampetai. Ia  juga mewakili penafian Sabri terhadap sikap hamba watak Badik dan Sahya ketika  menghadapi tentera Jepun. Bagi Sabri adalah tidak wajar menghormati Kampetai berlebih-lebihan; lewat garis kemanusiaan dan peribadi Muslim.
Sahya atau Wak Sahya merupakan ayah Sabri. Sahya merupakan watak yang akur pada segala arahan/suruhan Kampetai; termasuk membongkok hormat kepada mereka. Pemilihan nama Sahya pula persis memberi konotasi abdi dan hamba (sahaya) terhadap perlakuan Sahya sanggup menurut arahan Kampetai agar bertindak terhadap anaknya, Sabri.
Di penghujung perenggan cerita, persis berlaku  cuplikan episod Nabi Allah Ibrahim-Ismail. Menerusi ‘Gagak’ Sabri dikembarkan  dengan burung gagak;  seperti petikan ayat berikut:

Sang gagak yang bertenggek di dahan menggelepar lalu gugur ke bumi. Seperti anaknya yang diberkas oleh Badik atas tuduhan mengadakan komplot terhadap tentera Jepun Sang Gagak dicerut haknya untuk hidup. Badik hanya tertawa terbahak-bahak. “Mampus kau. Mampus binatang!” (Sketsa Minda, hlm: 5)

            Cerpen ‘Gagak’  memberi langgam penyudah yang agak mengejut. Watak Sabri alias gagak akhirnya dihentikan. Penutup cerpen dengan episod penembakan gagak serta penangkapan Sabri memberi makna yang tersendiri untuk keseluruhan cerpen ini. Watak Badik (badik=sejenis senjata) memberi bayangan ‘senjata’  yang diguna Kampetai untuk mencantas maruah manusia  Melayu.
Ketiga-tiga tanda dominan  cerpen ‘Gagak’ iaitu gagak/Sabri, Sahya dan Badik cukup ampuh menyua makna-makna yang bersifat indeksikal dan untaian hukum kausalnya. Fenomena ‘Gagak’ menyua pemikiran betapa sebagai manusia Melayu-Islam yang mempunyai kedudukan hakiki mereka hanya hamba Allah; kebenaran itu sesungguhnya tidak perlu disanggah. Rentetan daripada pemberian makna ini, Suratman Markasan  pernah menanggap kreativiti Isa Kamari menerusi ‘Gagak’ sebagai : 'Tulisannya  pendek-pendek tetapi memberi kesan dan makna yang mendalam dan berlapis.' (Terminal Terakhir, 1992: xix )
Sementara itu cerpen ‘Kaca’ sejak awal lagi sudah  menghulur konotasi kerapuhan (fragility) melalui sifat  fizikal kaca itu sendiri. Plot cerita yang antara lain menghubungkan  sebab berlakunya kehancuran rumahtangga Kalsum ialah apabila hilang  rasa percaya antara suami dan  isteri. Watak Kalsum  diwarnakan sebagai ibu  tunggal Ana. Watak ini   dibaurwarna  feminisme Isa Kamari sebagai wanita berkerjaya yang berdisiplin serta  sibuk bekerja namun kemudiannya dituduh menduakan suami.
Seterusnya fenomena sumbang muhrim antara  watak Ana dengan bapa tirinya, merupakan  indeksikal terhadap kerapuhan institusi rumahtangga Kalsum.  Perwatakan Ana juga memberi beberapa indeks misalnya kebiadaban seorang anak terhadap ibu dan langsung dengan cubaan bunuh diri terjun dari bangunan lima belas tingkat. Jelas betapa keampuhan genggaman akidah agama watak Ana khususnya membikin kepada perasaan Ana,
Ana rimas terkurung di dalam bilik kaca. Orang-orang di luar bilik kaca itu mengejek-ejek dirinya yang telah cacat. Kakinya telah hancur. Rupanya telah menjadi hodoh kerana tulang dagunya remuk. (Sketsa Minda, 1994:43)

Akhirnya kerapuhan rumahtangga Kalsum kian hancur   apabila perasaan sesal timbul akibat mendirikan rumahtangga untuk kali yang kedua. Persis katanya, “Hidup ini terlalu rapuh seperti kaca!” (hlm. 44).

Heksagon ‘kaca’ rumahtangga Kalsum iaitu,

            hilang percaya                                                 sumbang muhrim
            antara suami/isteri                                                       anak-ayah



     kurang didikan agama                                                        cubaan bunuh diri

                       
                       
                        derhaka terhadap ibu              menyesal berkahwin



mungkin berlaku di Singapura; mengikut latar hidup pengarang. Namun sebenarnya ia merupakan satu episod sejagat yang berlaku di mana-mana dan ke atas siapa-siapa  saja. Fenomena rumahtangga kaca “kerretakk! Pianngg!” yang dilukis Isa Kamari secara keseluruhan membikin indeksikal  kebobrokan institusi masyarakat  Melayu semasa.
Sebuah lagi cerpen Isa Kamari yang difikir ada sisipan semiotika ialah ‘Celupan’.  Lambang ikonik haiwan ulat sutera diambil Isa Kamari sebagai protagonis. Cerpen yang bobot dengan unsur satira ini mengangkat episod kelangsungan hidup beberapa ekor ulat sutera dalam jaringan ternakan haiwan  spesies bombyxmori ini. Dipaparkan analogi hidup ulat dalam kepompong (pupae). Ulat yang ‘berani’ kemudiannya akan keluar menyelamatkan diri sebelum direndam dalam air panas untuk melembutkan sericin (gam)  bagi penternak  mendapatkan benang sutera. Namun terdapat seekor  ulat sutera yang berani; memperjuangkan hak kebebasan/kemerdekaannya, keluar dari jaringan. Ia ingin berhijrah. (hlm. 9).  
Deretan lambang ikonik melalui beberapa objek semacam memberi makna kepada maksud sebenar pengarang. Objek dominan alias watak protagonis ‘Celupan’ iaitu ‘ulat’  semacam mewakili satu komuniti manusia yang hidup dalam satu mandala yang tertutup. ‘Jaringan’ walaupun bersifat telus, namun masih  bersifat menutup serta menafikan sebarang jalan keluar kepada penghuninya.  ‘Lampu’ yang disediakan di mandala yang sebenarnya zulmat hanya bersifat pura-pura memberi kecerahan dan keselesaan kepada warga tertutup itu. Sementara objek ‘lubang’  ditanggap penghuni berani sebagai saluran bagi mendapatkan hak kebebasan mereka.
Betapa  kekuasaan  yang ada pada  ‘tangan’ (authoritarian) begitu menentukan hidup-mati ulat sutera; bunyi-bunyi ‘gleg gleg’, ‘blep blep’ dan  ‘pup pup’ oleh tangan begitu memberi  makna indeksikal. Perbuatan ‘mencelup’ kaut ganas di mandala jaringan sering saja membikin rasa cemas warga  yang ada. ‘Selaput’ (fibre) yang dapat dihasilkan ulat sebenarnya turut memberi lambang indeksikal betapa penghuni jaringan dapat meneruskan hidup mereka sendiri walaupun tanpa campurtangan si tangan. Apatah lagi sebenarnya selama ini mereka ‘diternak’ perintah ‘tangan’  berkuasa  bagi memperoleh ‘benang sutera’ - lambang  kemewahan mandala ternakan.  Persis dialog  seekor ulat,

Bukankah kita sendiri berupaya menghasilkan selaput? Selaput itu akan dijadikan sutera oleh tangan. Ini menunjukkan kita berupaya menenun hari muka dari usaha kita sendiri. Janji yang  harus kita tepati adalah janji kita kepada  tangan. (Sketsa Minda, 1992: 8)

            Secara tuntas cerpen satira “Celupan “ ini sebenarnya lahir dari  pemerhatian dan tanggapan pengarang yang begitu peka terhadap perlunya kesedaran manusia Melayu-Islam (Singapura?) untuk memperbaiki makna hidup mereka dalam alun hidup lahiriah yang dilihat sebagai selesa dan mewah. Cerpen ini juga persis ada jalinan intertekstualiti dengan cerpen sebelum ini iaitu ‘Gagak’ dari sisi  tanggapan pengarangnya.
Cerpen Zaen Kasturi “Musim Yuda” pula menyua mukadimah  yang agak sarat dengan phatetic fallacy; alam yang mewakili perasaan sebenar  begitu jinak dan mesra. Lihat saja baris-baris berikut,

Begitulah, sesudah perang selesai, daerah lembah itu kembali sepi, murung dan terasing. Hanya dua banjaran perbukitan yang mengapitnya itulah saja yang menjadi lambang bahawa ia harus kembali tegak dengan suatu nama lain, menggantikan nama asalnya yang telah diperkosa oleh peperangan. (Yuda, 1992:166)

Begitulah,  dengan warna siang yang terang benderang, menjadikan daerah itu lebih sepi daripada alam gurun, alam gunung atau alam gaung. Malamnya pula dengan purnama yang beberapa ketika bernafsu amat menumpahkan sinar, daerah misteri itu kembali bangkit menjadi sebuah taman dengan desir angin yang sesekali membedal-bedal lembut, menerbangkan butiran-butiran pasir ke kepak-kepak burung balam dan membawa sisa-sisa kisuran mengkarung di hamparan pasir. Malah bayang-bayang awan yang jatuh ke muka tanah membuatkan ada gerak-gerak yang timbul dengan amat perlahan dan rapi. (Yuda, 1992:167-168)

            Menurut Mana Sikana unsur alam begini sebenarnya merupakan “persediaan untuk menawan indera bacaan semulajadi khalayak.” Melalui calitan alam itu, Zaen Kasturi cuba menyeret sama beberapa pengertian awal dalam teksnya. Cerpen ini secara perlahan-lahan mengaut sama pengertian indeksikal betapa yuda (= peperangan) itu suatu yang sia-sia. Ia bersifat  membikin sepi, murung dan terasing. Walau bagaimanapun kemudiannya memerlukan upaya untuk membinabangun kembali ‘perbukitan’ lama; malah ia harus kembali tegak seperti asal.
Namun rasionalnya  yuda terletak pada ‘mayat-mayat’ yang dibikin Zaen Kasturi. ‘Mayat’  secara fizikalnya adalah tubuh manusia yang telah mati. Namun pengarang memberi nyawa kepada ‘mayat’  untuk membicarakan tentang  kemanusiaan. Isu iri dan kesumat di kalangan sahabat, menjadi agenda mereka. Wacana sahabat yang menikam sahabat sendiri dengan panah iri dan kesumat tadi, dikatakan hanya akan berhenti apabila manusia bergelar mayat. Zaen Kasturi merumuskan begitu kerana menganggap betapa segala mazmumah dalam kapilari diri manusia hanya akan sudah apabila nyawa mereka diberi noktah.

            Seperti kata mayat,

“... bersahabatlah dengan kami kerana kami             adalah  oknum  yang  tidak  pandai bermain
dendam!” (Yuda, 1992:179)

Melalui cerpen “Nurzina”  lambang indeksikal pada judul cerpen Zaen Kasturi ini menyua awal bauran akan sesuatu yang putih dan hitam. ‘Nur’ atau cahaya itu cukup memberi makna yang bersih berbanding  diksi ‘zina’ yang amat bertentangan. Bertitik tolak dari frasa itu, Zaen Kasturi menyeret kita lebih jauh  kepada satu paksi  persoalan hidup yang masih  belum beres.
‘Nurzina’ merupakan nama seorang gadis yang dipuja watak Aku alias Aliff.  Rentetan  cinta yang   menandingi segala,  nama gadis pujaan ditanggap sebagai,

.. kilauan embun di mata mindaku meskipun ada orang lain mengatakan  dia bukanlah gadis dalam istilah yang tulen. Bagiku istilah ‘tulen’ itu sendiri adalah sesuatu yang amat absurd sifatnya sebagaimana istilah ‘manis’ yang dipadankan untuk gula.

“Namamu terbentuk daripada huruf yang padu. Walau dipadankan dengan  huruf apa sekalipun, ia akan tetap menerbitkan dengung yang merdu.” (Yuda, 1992: 82)

            Namun  dari  nama ‘Nurzina’ itu juga  secara subtle Zaen Kasturi mengangkat isu keruntuhan sosial semasa. Perlakuan  hubungan di luar nikah dan seks bebas  dapat dikesani dari lambang indeksikal  nama gadis pujaan Aliff. Lambang itu dihuraipanjang cerita Nurzina tentang trauma dalam hidupnya,

            “...pohon yang menghijau itu apabila daunnya diperciki darah sang bayi yang kematian ibunya tatkala sang lelaki yang pernah menodai ibu sang bayi itu meninggalkan alam yang hijau ini, lalu memasuki alam hitam ke segenap lorong untuk mencari seorang perempuan yang dapat ditidurinya hingga matahari terbangun daripada lena. Sang lelaki itu pasti mencipta gemerlapan manik gapura di kamaar nafsunya, tapi....” (Yuda, 1992:  86-87)

            Akhirnya melalui nama ‘Nurzina’ itu khalayak disua rumusan betapa bauran nama putih dan hitam itu  tidak memberi konotasi apa-apa jika cinta dapat menguasai segala. Malah menurut  Mana Sikana dalam tulisannya tentang cerpen ini,

            .. Tetapi kerana cinta membuat pandangan dan sikap manusia bersedia mencari atau mendekatinya dan melupakan keburukan. Timbul lagi penanda, bahawa cinta itu sebenarnya mengatasi segala-galanya. Sebab cinta manusia selalu memperbaharui dirinya.

Cerpen “Mafatih Nur” seperti cerpen Yuda lain,  masih menuntut  kunci semiotika untuk menikmati maknanya.   Zaen Kasturi menghidangkan khalayak dengan beberapa penanda awal seperti  ‘gua’, ‘batu besar yang menutup pintu gua’ dan ‘padang’. Kehidupan watak aku dalam gua yang dikunci rapat dengan batu besar, pasti saja membikin satu hidup yang zulmat; tanpa cahaya.
Kehidupan dalam gua semacam memberi petanda kepada segala hambatan yang sebenarnya berlaku dalam  hidup realiti. Kesukaran memperoleh cahaya, kecerahan alias kebenaran itu yang diwakili warna zulmatnya gua.  Justeru tiadanya petunjuk dan jalan lurus (siratal mustaqim), pencarian kepada arah cahaya amat menuntut langkah yang cermat dan berhati-hati. Namun jauh di pojok keinginan,  selain mencari tangan yang menutup lawang gua serta kuncinya,  watak Aku  sesungguhnya memerlukan nur sinar Tuhan, seperti monolognya,

Aku ingin melihat percikan sinar dari langit Tuhan. Itu saja. Tidak lebih daripada itu. (Yuda, 1992: 121)

Diksi ‘gua’ yang dibikin Zaen Kasturi mempunyai  tafsiran tentang  hidup yang maha luas. Bukankah sebagai manusia biasa hidup di dalam gua persis satu kehidupan yang  dibelenggu? Seorang manusia yang terpenjara di dalam perut gua bukankah manusia yang tidak punya kudrat  untuk mengangkat hak suaranya? Sedangkan hidup di luar yang dicintai  Aku adalah  padang yang luas, hijau cerah dan bebas.
Justeru itu untuk menjadi manusia ‘padang’, manusia gua perlu keluar dari gua. Namun manusia  memerlukan mafatih ( mafatih = kunci-kunci, dalam bahasa Arab). Mafatih digunakan untuk membuka lawang hidup gua kepada hidup alam padang  yang bebas dan berlangitkan  cahaya    ( =  nur, dalam bahasa Arab) Tuhan Yang Esa. 
           
Kesimpulan

            Dari sejumlah 29 buah cerpen Isa Kamari dan Zaen Kasturi lewat Sketsa Minda dan Yuda masing-masing, begitu halus dan siratan makna yang diwakili kebanyakan lambang ikon dan indeksikal. Lebih menarik apabila lambang-lambang tersebut sebenarnya memberi konotasi yang tersendiri kepada kehidupan sekitar kedua-dua pengarang. Beberapa makna yang jelas diangkat mereka di sekitar hidup manusia Melayu-Islam ialah tuntutan diri merdeka, kebobrokan institusi sosial/rumahtangga serta keperluan fitrah manusia Melayu-Islam  terhadap Nur Rahmat Allah.
            Makna-makna yang diperolehi melalui wahana semiotika ini akhirnya memberi penemuan betapa setiap episod yang berlaku bersifat sejagat. Ia mungkin berlaku di Singapura atau di Malaysia atau di mana-mana saja. Ada kebenaran pula pada tanggapan Taine betapa sekitaran di samping zaman dan manusianya, berupa cermin kepada pengarang. Ia akhirnya memantul semula pada sisi kreatif para pengarang yang bijaksana.



Bibliografi

Bartosynski, Kazimierz. 1984. Source-history-literature: The interelation of the text dalam Pelc, Jerzy et. al (ed.) Sign, System and Function. Berlin: Mouton Publisher.

Hawkes, Terence. 1977. Structuralism and semiotics. California: University of California Press.

Hervey, Sandor G.J. 1982. Semiotics perspectives. London: George Allen and Unwin.

Maharam Mamat. 1997. “Baru dalam Generasi Baru”, Projek Sarjana Jabatan Persuratan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mana Sikana.1994. Penjelajahan metafizik dalam Yuda dalam Dewan Sastera Januari, hlm. 86-91.

Mardiana Abu Bakar. 1989. “The short story: voice of the masses” dalam The Straits Times  28 September.

Rohman Munasip. 1994. “Mencari kelainan dalam penciptaan cerpen: Sketsa Minda diolah dalam bentuk sketsa, ditambah unsur bunyi dan angka” dlm Berita Harian 30 Oktober. 

Supardy Muradi. 1990. Kesusasteraan daripada perspektif semiotik dalam Supardy Muradi (peny.) Kesusasteraan daripada perspektif  semiotik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Suratman Markasan. 1992. Terminal Terakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

MOHD RAMAN DAUD
Antologi Kedua Papar Potensi Pena Isa

Selepas antologi Sumur Usia yang dianggap oleh sesetengah pengkritik sebagai suatu pencapaian, penulis-jurubina Isa Kamari, 34 tahun kini tampil dengan antologi cerpen Sketsa Minda.
Penampilan Sketsa ketika Pesta Buku Kebangsaan itu memang tepat memandang publisiti dan pasaran yang agak luas.
Tetapi, sekalipun tanpa suasana pesta baca, antologi cerpen sulung Isa tetap menarik. Kekuatannya tersendiri.
Dengan menggunakan bahasa mudah, ayat singkat tetapi memerangkap jiwa, Isa menghidangkan 12 cerpen.
Salah satu daripadanya, Seladang yang baru memenangi Hadiah Penghargaan Saadon Ismail sempena peraduan penulisan anjuran Persatuan Wartawan Melayu dan Berita Harian dalam acara Bulan Bahasa, baru-baru ini.
Pengkaryaan Isa tampak dipengaruhi oleh disiplin keilmuannya sebagai jurubina. Beliau menampilkan perbandingan dalam kerangka cerita – selari membujur, melintang atau cerita dalam cerita.
Lantas pembaca yang teliti akan dapat melihat pelbagai struktur yang terangkum dalam satu struktur yang besar.
Contohnya ialah cerpen Gagak. Apa kaitan gagak dengan tekad kemerdekaan waktu zaman Jepun? Tampaknya Isa tidak cenderung bercerita, tetapi lebih suka mencari makna dalam rangka cerita.
Akibatnya, pembaca seperti rasa tidak puas kerena tiba-tiba cerpennya tamat begitu saja.
Mengenai sekelumit dirinya mungkin tergambar dalam cerpen Arkitek. Bangunan bukan terdiri kerana imaginasi seorang arkitek pada pelan, tetapi kejujuran para pekerja dari mandor, kerani sehingga pembancuh simen. Sebab, manalah tahu pembancuh simen tidak mengadun cukup pasir?
Arkitek juga berisi mesej pembangunan yang sering dikaitkan dengan pengorbanan. Bangunan pencakar langit bangkit apabila kampung dipugar.
Ia merupakan cerpen terbaik dalam antologi ini kerana mungkin ia suatu yang amat mesra dengan diri penulis.
Jika Isa dapat dianggap ‘Melayu Baru’, iaitu karyawan Melayu yang masih tebal budayanya, pun beliau masih juga tidak terlepas menceritakan unsur tahyul.
Cerpen Wayang lambang dilemma antara tahyul dengan perbuatan sumbang (seks) manusia hari ini.
Bagi pembaca yang mengharapkan cerpen mengenai hidup kosmopolitan-metropolitan dan apa jua yang mutakhir dialami oleh Singapura, khusus masyarakat Melayu, cerpen Seladang dapat dijadikan contoh.
Kisahnya mengenai gila kebendaan yang dipantulkan oleh semangat memiliki saham dan kesan merugikan apabila keserakahan mengatasi segala.
Tidak syak lagi Sketsa Minda menempatkan Isa Kamari sebagai penulis berbobot dan besar potensinya.

Berita Harian, S’pura, 1994

ROHMAN MUNASIP 
Mencari Kelainan Dalam Penciptaan Cerpen

            Sketsa Minda merupakan kumpulan cerpen sulung Isa Kamari yang memuatkan 12 buah cerpen pilihan. Kelainan kumpulan ini barangkali dapat dilihat dengan menamakannya sebagai sketsa.
            Mungkin ini membenarkan tanggapan Suratman Markasan yang menyifatkan dua buah cerpen beliau Gagak dan Klinik sebagai sketsa (Pengantar Terminal Terakhir, Dewan Bahasa & Pustaka, 1992)
            Menurut glosari Istilah Kesusasteraan (1989, DBP), sketsa ialah karangan pendek yang ditulis secara mudah dan biasanya lebih menunjukkan kesatuannya iaitu terdiri daripada satu adegan, satu watak dan satu peristiwa.
            Tentunya Sketsa Minda sesuai dengan pengertian ini kerana sememangnya cerpen-cerpen yang termuat adalah pendek-pendek belaka.
            Dari sisi temanya jelas Isa masih berlegar tentang kehidupan. Tentang suka dan dukanya. Tentang perjuangan dan keserakahannya. Tentang kasihsayang dan kebenciannya. Dan juga tentang kemanusiaan dan kemaksiatannya. Semua ini memang terserlah bukan saja dalam cerpen-cerpennya malah melalui puisi-puisinya (Sumur Usia, Pustaka Nasional 1993).
            Cerpen Gagak menyuarakan kekesalan seorang ayah kerana terpaksa menghukum anaknya yang enggan mendewa-dewakan askar Jepun. Sedangkan anaknya, Sabri berpegang pada keimanannya bahawa Allah saja yang berhak disembah.
            Penghijrahan minda juga amat perlu untuk membebaskan diri daripada pengaruh kebendaan dan perhambaan diri terhadapnya dan ini dapat dilihat dalam cerpen-cerpen Celupan, Pengukir dan Seladang.
            Celupan mengajak manusia berfikir untuk memilih kemerdekaan dan mencari kebahagiaan sebagai makhluk Allah atau selamanya berasa selesa dengan kesenangan lahiriah tanpa berusaha memperbaiki keadaan hidup. Sementara Pengukir dan Seladang mempamerkan keserakahan manusia memburu kekayaan material yang akhirnya mengakibatkan kerugian diri sendiri.
            Membangunkan impian juga merupakan ciri-ciri dalam kehidupan. Manusia yang hidup adalah manusia yang bergerak maju, mempunyai wawasan serta harapan.
            Kita melihat manusia yang demikian dalam cerpen-cerpennya Arkitek, Pekebun dan Kudrat. Akan tetapi tidak semua impian itu boleh tercapai meskipun telah diusahakan bersungguh-sungguh dan menghadapi berbagai rintangan dan cabaran. Ada kecenderungan pengarang untuk menganggap bahawa keinginan dan keupayaan intelek manusia itu tertakluk pada ketentuan dan kekuasaan Allah jua.
            Dalam Arkitek, seorang arkitek muda berusia 35 tahun mempunyai impian untuk membangunkan sebuah perkampungan. Dia yakin di situlah nanti penghuni-penghuninya dapat berhubung, beramah dan memanjangkan silaturrahim. Tapi ternyata impian itu dianggap tidak bersesuaian dengan tuntutan semasa. Masyarakat hari ini lebih mementingkan hidup sendiri-sendiri dan lebih memilih kediaman yang mencakar langit.
            Begitu juga dengan cerpen Kudrat. Watak abangnya yang berkeupayaan mencipta sesuatu daripada bahan terpakai untuk digunasemula merupakan manusia kreatif dan mempunyai wawasan. Tapi dia sendiri tidak berupaya melawan kudrat Yang maha Pencipta apabila dirinya berubah menjadi belukar dan barang ciptaannya menjadi peragut nyawa adiknya sendiri.
            Cerpen Pekebun pula menggambarkan bagaimana seorang ayah menaruh harapan kepada anaknya apabila dewasa kelak dapat memelihara tradisinya tetapi ternyata anak itu bukan saja tidak menghargainya malah dialah juga pemusnahnya.
            Melalui cerpen-cerpennya yang lain seperti Arca, Klinik, Kaca, Wayang, Angin, masing-masing membawa persoalan yang berlainan. Umpamanya meneropong ke dalam diri sendiri, pendedahan permasalahan hidup muda-mudi dan hidup berkeluarga yang melibatkan perkara-perkara maksiat.
            Suatu kelainan yang saya rasakan sewaktu atau sesudah membaca cerpen-cerpen atau sketsa-sketsa dalam kumpulan Sketsa Minda ini ialah saya dapat menarik beberapa kebiasaan yang dilakukan oleh Isa Kamari sewaktu mencipta.
            Kalau diperhatikan sungguh-sungguh, dalam cerpen-cerpen seperti Gagak, Celupan, Pengukir, Kaca, Kudrat dan Angin, kita akan menemukan penggunaan unsur bunyi sebagai teknik dalam penulisannya. Beberapa contohnya Isa gemar menggunakan bunyi-bunyian seperti:
        
Aaak! Aaah! Aaak! Aaah! (Gagak)
Gleg gleg Blep Blep Pup pup (Celupan)
Nangonangonang Ningoningoning (Pengukir)
Kerretakk! Pianngg! (Kaca)
Greggreg. Greggreg. Greggreg (Kudrat)
Bror. Brot. Brrrrrot. (Angin)

Akan tetapi bunyi-bunyian seperti itu tidak sekadar hiasan atau digunakan sembarangan tanpa mendokong sesuatu makna. Saya melihat hal itu mengajak kita melihat diri watak-watak dengan lebih intim bukan saja secara lahiriah. Malah cuba menggali ke dalam dirinya secara kejiwaan.
Selain daripada penggunaan unsur bunyi, terdapat juga kesengajaan pengarang menjadikan angka-angka yang tertera dalam cerpen-cerpennya sebagai penunjuk kepada tingkatan usia watak-wataknya. Contohnya seperti tingkat tigapuluhlima (Arkitek) atau nombor enampuluhlima (Klinik)
Kumpulan cerpen Sketsa Minda ini secara keseluruhannya adalah suatu percubaan awal Isa Kamari dalam mencari kelainan dalam penciptaan cerpen dengan bentuk sketsa dan penggunaan unsur bunyi dan angka. Dan kelainan itu ternyata berkesan seperti kata Suratman Markasan: “Tulisannya pendek-pendek tetapi memberi kesan dan makna yang mendalam dan berlapis.” (Terminal Terakhir. DBP, 1992)
Mudah-mudahan kumpulan kecil 75 halaman ini dapat mengasah minda dan mendorong anda memperkatakan lebih luas lagi setelah membacanya. Sekian.

Berita Minggu, S’pura, 1994

No comments:

Post a Comment