Monday, February 6, 2012

Proses Kreatif Sumur Usia

MENIMBA KEJELASAN SUMUR

            Tulisan berikut ini sekadar didorong keinginan berkongsi pengalaman seni. Ia bukanlah suatu pengakuan atau penjelasan terhadap konsep atau falsafah seni yang saya anuti, tetapi setakat penerokaan ke alam estetik yang serba subjektif.
            Tujuannya hanyalah menimba kejelasan daripada andaian yang tercerna dalam puisi-puisi yang termuat dalam antologi Sumur Usia (S'pura, Pustaka Nasional, 1993). Ia juga satu penemuan bagi saya setelah saya menghayati kembali sajak-sajak tersebut dalam usaha menghasilkan kritik diri.
Razif Haji Bahari dalam eseinya yang berjudul Sajak Pathos dalam Puisi Isa Kamari pernah menjelaskan:

Saya ingin mengetengahkan beberapa ciri tertentu dalam karya Isa yang pokok, iaitu…penekanannya terhadap makna sajak yang tidak berselindung di sebalik perkataan-perkataan muluk dan yang bersandarkan pada pengalaman yang pernah dialami oleh pembacanya. Ini adalah penting, memandangkan kebanyakan penyair moden mula cenderung pada yang abstrak…di balik makna-makna atau implikasi-implikasi yang kabur.”

            Di samping itu, Masuri S.N dalam kata pengantarnya terhadap Sumur Usia merakamkan:

“Pelukisan dan gambaran dalam kebanyakan puisinya memang jelas, tetapi sebenarnya memerlukan perenungan yang mendalam.”

            Berdasarkan dua tanggapan ini, timbul keinginan saya mengajukan suatu pendekatan seni yang bertolak dari kejelasan makna yang terlepas daripada kurungan atau mainan bahasa.
            Jika Sutardji Calzoum Bachri melalui sajak-sajak manteranya dalam O Amuk Kapak pernah berusaha melepaskan bahasa daripada makna, saya pula ingin mengajukan kemungkinan menghidupkan bahasa sebagai makna. Yang saya maksudkan di sini bukanlah mempergunakan bahasa sebagai alat makna, tetapi menggauli bahasa sebagai intisari makna.
            Dalam ruangan ini penulis akan menafsirkan ungkapan ‘kebenaran’ sebagai kejelasan makna  yang terpancar dalam puisi. Dalam konteks ini tentunya setiap penyair akan menemukan kebenaran seni yang tersendiri dalam karya.
            Jika kita bertolak dari kaedah ini, kita akan dapati bahawa puisi yang jelas seharusnya terbit dari akal budi yang unggul dan jelas juga dan bukan hasil rangka minda yang diada-adakan atau disadur.
Jika prinsip ini tidak didukung dan dihidupkan, maka puisi yang tercipta adalah kebohongan atau kepalsuan semata:

kebohongan
adalah kelumrahan bagi penyair
jika segala yang dibicarakan
hanya terkurung
dalam persajakan
dan tidak lahir
dari kehidupan

(roh angin; hlm. 21)

            Resapan terhadap kebenaran menjadi cetusan atau gerak ketika berkarya dan bukannya karya itu berfungsi menopang atau memadankan kebenaran. Dan kerana kebenaran itu pernah sebati dalan diri penulis, yang tercerna sebagai karya bukanlah bentuk karya itu sendiri, tetapi adalah pancaran akal budi yang jelas.
            Segala usaha pengkaryaan yang menimba dari alam, sejarah atau kemanusiaan bertujuan menemukan kejelasan makna kerana di situlah terpancarnya sumber dan kesatuan kehidupan:

alam adalah
tinta
yang menitis
di celah renungan

sejarah adalah
kalam
yang mencecah
permukaan roh

kemanusiaan adalah
sajak
yang mengimbas
bahasa al-Quran

kebenaran
hanya diraih
daripada makna
bukan dari kata

kehidupan
tidak bernafas
dari kertas

(kertas; hlm. 37)

            Di samping itu, kata yang asalnya menjadi pengantar makna kini terangkat menjadi makna itu sendiri. Keampuhan makna yang terjelas daripada kata-kata yang bertenaga serta hidup dengan sendirinya dan tidak memerlukan rangka-rangka bahasa.
            Keajaiban pengalaman terhadap suatu ‘kebenaran’ bukan terhasil daripada mainan bahasa, tetapi terpancar dari ketaksaan makna yang berlapis dan menyelinap dari satu dataran pemahaman ke satu dataran pemahaman yang lain, sehinggalah memuncak ke arah gugatan minda atau perasaan yang halus kerana kejelasan yang tidak terhingga.
            Di sinilah yang kita maksudkan sebagai kesan puitis dalam sajak. Di sinilah pula terpancar satu lagi sumber keindahan:

kupilih
keindahan
jelas dan terang
ketika manusia yang mengaku
terbuka
menolak kepastian
dan dosa
meniti remang usia
tergantung dalam kata

kupilih
terang
kerana taksa
hanya cahaya
di atas cahaya
dan dasar pasir
yang memutih
hanya terlihat
pada air yang jernih

kupilih
kemanisan
meneguk kejelasan
agar jiwa yang resan
melirih
dibasahi makna

(cahaya; hlm. 38)

            Justeru itu, kebenaran seni adalah istimewa jika dibandingkan dengan kebenaran yang terungkap dalam pernyataan-pernyataan lain.
            Ini adalah kerana kebenaran sedemikian bukannya sesuatu yang diperakui atau dipunyai. Sebaliknya ia diamati dan tumbuh bersama jiwa dan minda:

berilah ruang kepada kehidupan
kerana kebenaran yang menumbuh
adalah lebih teguh
daripada yang disuguh

(batas; hlm. 33)

            Selain itu, ia menawarkan keluasan dan kedalaman penghayatan kerana inti bicaranya mengakar dalam penemuan terhadap kebenaran yang bercambah sebagai pengalaman kemanusiaan:

walaupun tidak diragu
kebenaran adalah satu
tetapi tidak sekering
atau secetek
telaga makna yang kita timba
kerana kemanusiaan
adalah danau
yang tidak terjangkau

(danau; hlm. 17)

            Dan kerana itu, kita tidak harus berasa rendah diri atau berasa terlalu biasa jika karya-karya yang kita cipta itu terlalu jelas atau lutsinar.
Di sebalik kejelasan itu, sebenarnya terpancar keindahan yang jitu. Kita harus merasakan suatu keistimewaan kerana telah menawarkan kejelasan sebagai sumber keindahan kerana ia menyerlahan ketulusan terhadap kehidupan:

kita yang bergantung
pada ranting takdir
harus mampu memadu cinta
memancarkan keluhuran dunia
dengan segala warna
dan getarannya
pada permukaan keperibadian
yang menjadi luas
kerana ketulusan

(embun; hlm. 31)

            Jelasnya kita sebagai pencinta seni yang halus dan terang harus berasa beruntung kerana kita adalah pencinta kebenaran yang berkhidmat untuk kemanusiaan dan kehidupan.

No comments:

Post a Comment