Tuesday, February 7, 2012

Menara


ASAS MENARA

Dalam satu wawancara dengan Dewan Sastera Malaysia, saya ditanya tidakkah timbul keinginan pada diri saya menulis novel mengenai pekerjaan seorang arkitek, bersesuaian dengan kerjaya saya. Ketika itu saya menjawab insya Allah akan saya cuba. Saya juga menjanjikan ianya sebagai sequel bagi novel pertama saya, Satu Bumi (S'pura, Pustaka Melayu, 1998).
Jika Satu Bumi menceritakan kehidupan masyarakat Melayu Singapura setelah peperangan Jepun hingga Singapura merdeka, saya rasa tercabar menyelongkar kehidupan masyarakat yang sama setelah Singapura membangun dan menuju status sebuah negara maju.
Keinginan menyelami gejala sosial dan psikologi masyarakat pasca kemerdekaan itu timbul setelah sekian lama, tetapi saya setakat menggali dan menyajikannya dalam bentuk cerpen dan sajak.
Ramai kawan penulis yang memberi pandangan bahawa terdapat semacam pertalian dan pemikiran asas yang mewarnai karya-karya saya selama itu. Maka timbul suatu dorongan dalam diri saya untuk cuba mengaitkan dan merumuskannya dalam sebuah karya yang mantap agar pendirian atau pegangan itu lebih ketara dan ampuh.
Dalam penulisan cerpen (Sketsa Minda, S'pura, Pustaka Nasional, 1994), pencerakinan saya terhadap masyarakat ketika itu menyelongkar pelbagai jenis dan lapisan keasingan yang terjadi dalam kehidupan manusia moden. Ia menyusur problema kehilangan kemerdekaan diri (Gagak), kelunturan fitrah insan (Celupan) percanggahan seni dan proses penghasilan kerja (Pengukir), kesasaran matlamat ilmu dan pelajaran (Pekebun), kedangkalan kehidupan yang berpaksikan keduniaan (Seladang), kekerasan gejala otomasi (Pertemuan), kesempitan penghayatan agama dan kehidupan  (Klinik), kesongsangan dan kesepian cinta (Arca) dan sebagainya.
Dalam kumpulan puisi  Sumur Usia (S'pura, Pustaka Nasional, 1993) pula, saya telah menganjurkan proses penggalian roh sebagai teras kehidupan manusia. Puisi-puisi yang saya ciptakan ketika itu memilih pendekatan rohani sebagai penenang dan pemantap kewujudan dan kehidupan. Saya cuba mencari pertalian di antara aspirasi dan keinginan yang hidup dalam jiwa dan minda manusia dengan gejala budaya sosial, politik dan ekonomi yang berlaku di luar dirinya. Pendekatan psikologi ini merupakan jawapan saya terhadap pelbagai masaalah keasingan dan penghakisan nilai yang kita alami akibat serangan kemodenan dan teknologi.
Analisa-analisa itu mengajukan cabaran bagi saya mencari kaedah penceritaan dalam bentuk novel pula. Timbul keinginan untuk menalikan pelbagai pendekatan, subtema serta penemuan yang telah saya terokai dan renungkan dalam cerpen-cerpen dan sajak-sajak saya selama ini. Saya terpaksa bergelut dengan kerencaman sketsa-sketsa minda yang telah tersedia. Saya tergerak menggali semula dasar sumur yang telah saya cecah sebelum ini untuk mencari mataair yang segar dan baru. Setelah memikirkannya saya memilih untuk menyajikan plot cerita yang mudah dan ringkas.
Kerencaman subtema dan kepelbagaian pendekatan itu kemudian mencetuskan idea menerokai alam igauan yang mempunyai logikanya yang tersendiri. Ternyata penyelidikan saya terhadap teori dan psikologi mimpi dan igauan membantu menopang pendekatan yang saya pilih. Pembacaan saya terhadap gejala schizophrenia juga membantu membentuk perwatakan abstrak dalam cerita. Kaedah igauan dan gangguan terhadap jiwa begitu cocok sebagai kesan terhadap segala macam keasingan yang dialami manusia moden yang menjangkau hidup yang begitu canggih, tetapi belum mampu menjanjikan ketenangan dan kebahagiaan kepadanya.
Kehidupan moden dan pasca moden kita sebenarnya begitu rekah dan dangkal. Kita semua sering mengalami taraf ‘kesintingan’ yang berbeza-beza. Kita memainkan berbagai peranan dan terlibat dalam bermacam kegiatan yang tidak membawa erti kepada kehidupan dan diri kita sendiri. Yang menjadi kerisauan ialah selalunya kita juga tidak peduli akan keadaan hidup kita yang bercelaru dan tidak sebati dengan fitrah kewujudan.
Apakah yang perlu kita fahami tentang gejala ini dan bagaimanakah kita mengembalikan ketenangan jiwa dan minda dalam hidup kita? Bagaimakankah kita membetulkan paksi minda  yang tergeser dari landasan atau menemukan sauh jiwa yang hanyut? Bagaimanakah kita menemukan diri kita kembali? Itulah sebahagian daripada persoalan pokok yang diajukan dalam Menara (S'pura, Pustaka Nasional, 2002).
Menara menceritakan hari-hari terakhir seorang arkitek yang mengalami keasingan dalam hidupnya. Tokoh kita itu mengalami semacam psikosis atau igauan semasa dia mendaki menara ciptaannya. Dalam pendakiannya itu timbul pertanyaan mana yang lebih jitu dan nyata baginya - igauan yang mencakar jiwanya atau menara yang dibinanya? Menara adalah lambang pergelutan di antara kehidupan lahiriah dan rohaninya. Menara adalah citra kejayaan juga keruntuhannya.
Tokoh arkitek digunakan sebagai citra manusia pembina. Persoalan yang ingin diajukan Menara ialah pembangunan yang bagaimanakah yang harus kita perjuangkan dan pertahankan sebagai manusia? Apakah bentuk 'menara' yang hendak kita bina dalam hidup?
Pengalaman hidup peribadi saya juga mewarnai novel ini dan memberikan kejituan latarbelakang dan alur cerita. Dari aspek yang lain Menara meninggalkan tanda bagi pembaca menjejaki proses kreatif yang saya alami ketika mencipta sajak, cerpen dan novel.
Sebagai penulis saya juga mengalami semacam ‘igauan’ seperti tokoh kita. Gangguan jiwa adalah katarsis terjadinya sintesis karya. Linkungan serta pengalaman hidup saya sebagai salah seorang manusia yang terasing mencetuskan karya. Terjadi pula penciptaan kedua setelah karya mempengaruhi dan membentuk karya yang baru. Dengan kata lain Menara merupakan autobiografi hidup yang telah berbaur dan membentuk penghayatan dan penyerlahan seni  yang terus berubah selagi saya masih berkarya. Bagi saya hidup adalah pengkaryaan di samping pengabdiaan.
Kerana itu Menara sangat penting bagi sesiapa yang ingin mengenal dan menjejaki proses kreatif saya dalam tahap asas dan pembentukan. Menara adalah tugu keseniaan dan hayat sastera saya di peringkat awal.
Ramai kawan yang mengatakan bahawa saya telah membohongi pembaca dengan menyajikan karya-karya yang telah tersiar. Saya hormati pandangan tersebut tetapi ingin menawarkan perspektif bahawa Menara adalah hasil dekonstruksi dan transformasi yang telah membentuk dan memberi nyawa baru terhadap karya-karya tersebut. Sebelum Menara terhasil saya telah meruntuhkan penilaian-penilaian yang lama bagi membentuk rumusan-rumusan yang baru.
Saya sendiri telah menemukan pelbagai kaedah penyelidikan dan menyusur proses kreatif yang aneh, mencabar dan menyenangkan. Saya yakin Menara bukan setakat urutan karya-karya awal saya tetapi adalah sebuah karya baru yang mempunyai wajah dan nyawanya sendiri. Ia adalah usaha untuk memastikan karya-karya saya tetap relevan.
Saya akui Menara bukan mudah dibaca dan dihayati. Ia memerlukan kesabaran, ketekunan dan keberanian pembaca. Tetapi seperti yang telah saya jelaskan, sebenarnya ia akan menjadi mudah jika pembaca memilih pendekatan menghayati dan mengaitkan yang tersirat dan bukan mencari alur cerita yang tersurat. Menara tidak usah dipanjat melalui teknik pembacaan yang konvensional. Pembaca akan sesat dan mudah jemu jika pendekatan pembacaan ini dipilih.
Jalan ke puncak Menara harus diredah melalui belukar ilmujiwa dan kerayauan rohani. Pembaca harus sabar menggantung penilaian dan berani menerawang ke alam andaian ketika menelusurinya.
Bagi menuntun penerokaan pembaca, saya telah sengaja meninggalkan bekas dan tanda agar pembaca dapat menjejaki dan membuka rahsia di balik igauan yang membingungkan ini.
Tanggapan terhadap yang tersirat tentunya bermacam-macam dan berlapis-lapis menurut kesediaan dan persediaan pembaca. Di situlah keistimewaan serta kemanisan yang ingin saya hidangkan untuk pembaca. Menara sekaligus adalah tanda, penanda dan pertanda. Carilah bekas penerokaan saya dan temukan jejakmu sendiri!
Banyak tempat berehat dan renungan di dalam perjalanan yang berliku ini. Oleh kerana itu Menara tidak usah dipanjat dengan terburu-buru. Menara merupakan tantangan dan antitesis terhadap ketergesaan dan keterasingan hidup kita selama ini.
Kenikmatan menghayatinya tergantung pada persediaan serta tahap mana tanggapan dan pemahaman ditebuk dan dicerna. Dari satu aspek  Menara berusaha mencipta khalayak pembaca yang juga pemikir serius dan peneroka yang berani. Tentunya setiap pembaca akan memanjat Menaranya yang tersendiri. Puncak yang tercapai juga berlainan ketinggiannya. Selamat mendaki.

Jun 2003

No comments:

Post a Comment