MEMBAWA SASTERA MELAYU DI PERSADA DUNIA
Mohd Raman Daud
Mohd Raman Daud
SUDAH lebih sedekad sering diundang untuk menjadi tetamu bagi acara anak-anak sekolah, barulah pada Jumaat lalu saya diminta melancarkan dua novel Atas Nama Cinta dan Memeluk Gerhana.
Kededuanya merupakan dua buah novel terbaru Isa Kamari, penerima Anugerah SEA Write Award kerajaan Thailand. Cukup menarik sehingga saya mengesyorkan agar kededuanya ditimbangkan sebagai buku teks sastera bagi pembelajaran bahasa Melayu di sekolah.
Jarang sekali kita disuguhkan dengan karya yang memaparkan sejarah dan pergolakan hidup di Singapura yang berbilang kaum.
Atas Nama Cinta sempena kisah Maria Hertogh atau Nadra yang mencatat sejarah rusuhan kaum berdarah pada 1950 - setahun sesudah ditubuhkan Pertubuhan Antara Agama (IRO).
Badan ini gagasan Maulana Abdul Aleem Siddique, pengasas Jamiyah Singaura. Beliau seolah-olah disingkapkan tabir hari muka mengenai kekacauan agama yang bakal terjadi di Singapura. Namun ia tidak dapat dielakkan.
Novel Memeluk Gerhana pula semacam novel belia yang sarat memaparkan zaman peralihan hidup kampung (Kampung Tekad dan Tawakal) ke kota; kisah anak muda Singapura dengan pelbagai cita dan jerangkap faham radikal yang membawanya terperuk sebagai tahanan.
Kededua kisah itu wajar menjadi renungan kita dalam mengharungi kehidupan di kota raya yang kian dikenali dan dicontohi dunia.
Kegigihan Isa meng ungkapkan realiti dalam imaginasi mengingatkan saya almarhum Harun Mohd Amin atau Pak Har yang telah menghasilkan sejumlah novel berdasarkan sejarah seperti Panglima Awang, Wak Cantuk dan Wan Derus dalam dekad 1950-an dan awal 1960-an. Namun sesudah 40 tahun, barulah tradisi Pak Har disambung kembali oleh Isa, seorang jurubina bertauliah.
Karya-karya Pak Har dikatakan yang pertama antara sasterawan kita yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa utama dunia menerusi ikhtiar Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Budaya dan Saintifik Bangsa-Bangsa Bersatu). Oleh itu, Pak Har dicatatkan sebagai sasterawan besar dunia walaupun tidak sampai menerima Anugerah Nobel bagi Sastera.
Satu-satunya calon Anugerah Nobel bagi Sastera yang terakhir daripada rumpun Melayu ialah almarhum Pramoedya Ananta Toer. Sayang, pencalonannya tidak kesampaian kerana dikatakan menghadapi rintangan politik.
Bolehkah sasterawan kita seperti Saudara Isa mencapai cita cemerlang sehebat Pak Har atau sampai nyaris ke mercu seperti Pramoedya?
Ini tentulah satu soalan berat.
Namun, dalam diri sasterawan kita harus ada cita cemerlang yang amat kuat demi menyuguhkan karya terbaik bukan saja untuk masyarakatnya, tetapi seluruh kemanusiaan.
Saya sedang membaca karya penulis Turkey, Orhan Pamuk, yang juga penerima Anugerah Nobel bagi Sastera. Novelnya, Salju (Snow) amat padat dengan kisah diaspora bagi semenanjung Anatolia yang didiami bangsa Turkey dan minoriti seperti Armenia dan Kurdi.
Kehebatan Pamuk menganyam ceritanya (walaupun saya baca terjemahan Inggerisnya) memperkaya minda dan imaginasi pembaca sehingga terasa bersalah untuk menghentikan pembacaan sebelum ceritanya usai.
Lama sebelum Pamuk, Turkey sudah melahirkan sasterawan besar yang karyanya terus dibaca dan diulang cetak di Barat. Bahkan dilaporkan bahawa puisinya dijadikan semacam zikir meditasi seperti dalam sesi pakar motivasi, Dr Deepak Chopra, atau ditukil oleh penyanyi Michael Jackson. Beliau ialah Jalaluddin Rumi yang syairnya terasa amat mudah, polos tetapi memukau dengan rahsia di sebalik rahsia perjalanan sufi.
Banyak lagi contoh sasterawan dunia yang dapat kita rasai baik menerusi pembacaan atau sekadar melungsur Internet. Di sebalik kehidupan Singapura yang serba pesat dan rancak ini, kita bersyukur bahawa bahasa dan sastera kita masih bertahan.
Setidak-tidaknya dasar dwibahasa telah membela bahasa ibunda kita dan tentulah juga saya yang mencari rezeki di satu-satunya akhbar Melayu di sini. Jadi, inilah antara sumbangan kepada jati diri kita dalam lautan rumpun Melayu.
Kalau pun kita belum mempunyai pencakar langit di tengah kota atau hanya sebuah syarikat anak Melayu di bursa saham, saya mengharapkan kegigihan penulis seperti Isa Kamari akan mendorong ke arah satu mercu, iaitu, pada suatu masa kelak, kita akan melahirkan karya besar yang diakui dunia.
Kita perlu tabah untuk mendorong usaha penerjemahan karya terbaik kita ke dalam bahasa dunia, sekalipun Unesco buat masa ini belum menaruh minat. Novel Saudara Isa, Satu Bumi, sudah diterjemahkan ke bahasa Cina dan bakal dalam bahasa Inggeris.
Kita perlu membuat promosi jagat bahawa sastera Melayu di Singapura terus menatarkan mutu tinggi yang dapat dibanggakan oleh seluruh jagat. Ini merupakan cita cemerlang kita bersama. Sastera sebagai pengucapan rohani dalam tulisan yang berseni akan terus hidup selagi kita sanggup menarik minat pembaca. Untuk itu, kita tidak perlu berasa keluh kesah dan khuatir bahawa sastera tidak akan laku.
Memang benar sastera dunia kita sering diwarnai oleh bahasa Inggeris. Namun Pamuk dan ramai lagi sasterawan sudah membuktikan bahawa dalam tulisan bahasa ibunda, mereka masih boleh cemerlang dan menarik perhatian jagat.
Tentulah badan seperti Angkatan Sasterawan '50 perlu meuar-uarkan kehebatan para anggotanya yang kreatif. Audiens kita tidak lagi orang Melayu saja, tetapi seluruh jagat. Penterjemahan membolehkan hal ini berlaku. Dengan Internet, seluruh dunia dapat dijangkau walaupun sekadar bersifat maya.
Penulis juga boleh hidup macam selebriti atau glamor. Namun keunggulan penulis berbeza daripada selebriti. Cita cemerlang sasterawan sering bersandarkan kemanusiaan yang luhur dan bukan mencari keuntungan atau nama semata.
Keluhuran yang menjadi pengabdian Rumi dan Rabrindranath Tagore (penerima Anugerah Nobel bagi Sastera dari India dan pertama di Asia) dan para sasterawan besar yang lain. Kita mencari nilai luhur tadi dalam setiap kata, setiap bait dan setiap imageri dalam pengaryaan yang menyumbang kepada peradaban bangsa.
No comments:
Post a Comment