MENYINGKAP TAWASSUL
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini jiwa saya terganggu oleh rangkaian berita yang tersiar di akhbar berkenaan peperangan dan keganasan yang berlaku di merata dunia. Yang menimbulkan kesedihan dan sedikit kehampaan ialah tragedi kemanusiaan itu kebanyakannya melibatkan masyarakat Islam. Peperangan di Bosnia Herzegovina , Afghanistan , Palestin, Mindanao dan Kashmir telah mengakibatkan ramai jiwa tewas atau menderita. Liputan akhbar tentang tragedi 11 September, kumpulan-kumpulan Taleban, Al Qaedah, Hamas, Barisan Kemerdekaan Nasional Moro, Jemaat Islami Kashmir, Jemaah Islamiyah dan lain lagi telah menggugat keyakinan dunia terhadap masyarakat Islam sebagai kelompok yang cintakan kedamaian.
Saya yakin ramai telah mengutuk Islam sebagai agama yang menjana keganasan melalui institusi jihad. Seperti yang dijangkakan, kalangan pemikir dan pendakwah Islam telah membidas pandangan ini dan mempertahankan Islam sebagai agama toleransi yang memberatkan ihsan, muafakat dan perikemanusiaan.
Perdebatan di arena pemikiran ini juga menyangkut kelumpuhan Islam dalam menangani badai kemodenan dan perkembangan teknologi. Politik Islam dikatakan juga telah gagal. Masyarakat Islam di merata dunia kebanyakannya tergolong dalam kelompok yang miskin ilmu, harta dan kekuasaan. Menurut ukuran Barat, jelas peradaban Islam pada masa kini berada dalam kancah kemunduran dalam bidang sosial, politik, ekonomi dan budaya.
Sekali lagi para intelektual dan ulama Islam bangun mempertahankan keunggulan Islam dan menyajikan kesimpulan bahawa ukurtara yang digunakan para pengkritik terhadap tamadun Islam bukanlah ukurtara yang sesuai. Para cendikiawan kita menyajikan teori dan landasan falsafah bersumberkan Islam sebagai jawapan.
Persoalannya ialah sejauh manakah alternatif yang diajukan para cendikiawan kita dipersetujui dan sedia dipeluk masyarakat dunia yang lain? Berjayakah cendiakawan kita meyakini dunia tentang kesucian, kebergunaan dan kehebatan Islam? Atau adakah kita telah mengabui pandangan kita sendiri terhadap keupayaan masyarakat Islam mentadbir dunia?
Adakah kritikan yang ditujukan kepada masyarakat Islam oleh masyarakat lain semuanya tersasar? Atau adakah kita kurang berlapang dada dan enggan menerima bidasan dan teguran? Sejauh manakah kita telah menggali roh dan merenungkan punca kelemahan kita sendiri?
Begitulah sebahagian daripada rentetan pertanyaan yang menyerang benak dan dada saya. Saya terpanggil memikirkan dan menawarkan sedikit pandangan mengenainya.
Saya sedar banyak faktor luar yang lebih hebat seperti cengkaman sejarah, penguasaan ekonomi dan percaturan politik yang telah mempengaruhi dan mengakibatkan tragedi yang telah dan akan berlaku. Saya memilih untuk menyelam ke dalam diri dan budaya masyarakat Islam sendiri untuk menjejaki sebahagian daripada rangkaian punca terhadap nasib yang kita alami ketika ini.
Renungan saya membawa saya pada dua daerah yang saya yakin telah mempengaruhi kewujudan kita secara mendalam kerana ianya berpusat dalam pemikiran, sikap dan kepercayaan.
Pertama ialah tentang penafsiran sejarah dan kesediaan serta persediaan kita menerima perubahan. Kedua menyangkut hakikat terputusnya hidayah dan rahmat dari Tuhan akibat penghayatan agama kita yang tersasar.
Selama ini kita telah berpandukan slogan 'Kembali kepada Al Quran dan Sunnah' sebagai jawapan terhadap segala masaalah yang kita hadapi dalam penghidupan dan kehidupan. Secara peribadi itulah juga landasan yang saya anuti. Tetapi saya merasakan ada sesuatu yang songsang dari segi kita menghayati dan melaksanakannya.
Slogan itu seolah-olah telah mengikat pemikiran kita pada sesuatu yang berharga pada masalalu dan tidak membebaskan dan melatih kita menafsir keadaan dan menjemput penyesuaian buat masakini. Kita seolah-oleh terperangkap dalam kegemilangan semalam tetapi buta terhadap kepincangan hari ini.
Dalam Tawassul (S'pura, Pustaka Nasional, 2002) saya telah memberanikan diri membawa fotokopi sejarah yang kita bangga-banggakan selama ini dan menempatkannya dalam konteks masyarakat kontemporari. Jika selama ini kita telah mengagungkan nabi seperti semestinya, saya telah mengutarakan manusia replika yang menggunakan pengalaman masalalu yang tersimpan dalam kod gen yang diwarisinya untuk menangani permasalahan masakini.
Bukankah ini yang diinginkan kabanyakan dari kita yang taksub memuja kegemilangan sejarah masasilam? Bukankah kita telah mengidam-idamkan kehidupan seperti di zaman nabi? Sebagai sahutan terhadap keinginan itu saya telah membawa manusia replika itu untuk memulakan proses yang diinginkan kita bersama. Bagaimanakah kita menerima kewujudan dan tindakannya?
Saya ingin pembaca berfikir sejenak, apakah iktibar dari sejarah kenabian yang kita contohi dan kembangkan selama ini? Bagaimanakah kita menghayati ajarannya? Adakah dengan fikiran yang tertutup tanpa sebarang penilaian yang kreatif? Sudah cukupkah penerokaan kita terhadap sumbangan budaya masyarakat lain di dunia ini? Atau kita mengambil sikap segala yang terjadi dalam sejarah Islam di zaman nabi sudah lengkap, lantas kita mengambil jalan mudah setakat menirunya.
Dalam Tawassul manusia replika itu telah menghidupkan semula sejarah gemilang ini dengan beberapa penyesuaian. Bagaimanakah pula sikap kita terhadap proses transformasi dan adaptasi sedemikian?
Di sini saya ingin tegaskan, tujuan saya sekali-kali bukanlah untuk menghina sejarah kenabian yang suci. Keinginan saya juga bukanlah untuk menciplak sejarah mulia yang telah termaktub. Saya hanya mahukan agar kita semua berfikir sama ada kita telah berlaku adil terhadap sejarah itu tanpa mengangkat dan menafsirkannya dengan pemikiran yang luas dan matang? Saya hanya inginkan Islam kembali berguna kepada dunia.
Saya yakin, walau apa pun yang telah saya tulis, sejarah suci itu akan tetap suci. Tiada sesiapa atau gejala yang akan merubahnya. Pembaca yang arif akan tahu perbezaannya.
Dalam Tawassul saya telah menggambarkan keadaan hidup Orang Imorot sebagai renungan. Saya rasa, seperti Orang Imorot, kita agak terpencil dan terasing dari perkembangan luar. Akibatnya kita tidak dihormati malah ditakuti masyarakat lain.
Selain daripada itu saya juga telah melukiskan beberapa kebiasaan agama Orang Imorot, yang saya fikir telah menyebabkan terputusnya hidayah dan pertolongan Tuhan terhadap mereka.
Saya tergerak menyatakan kita juga telah terjerumus dalam kehinaan seperti ini. Konsep tawassul yang kita anuti ternyata telah menjadi pisau yang memutuskan tali Allah. Antara lain jalinan suci kita terhadap Allah telah dikaburi ritual-ritual yang menggegarkan akidah. Sebahagian daripadanya melibatkan cara kita mengagungkan nabi.
Saya sedar ramai yang tidak setuju dengan penilaian saya ini kerana tradisi tawassul yang diamalkan telah bersemadi dalam jiwa dan minda berabad lamanya. Saya lebih suka menikmati setitik kejernihan daripada tenggelam dalam selautan kekeruhan.
Kelemahan dan kesasaran Orang Imorot saya lukiskan sebagai renungan. Saya berasa takut menghadapi kemungkinan Tanah Suci di mana sejarah mulia itu bermula akan menjadi sasaran serangan kuasa-kuasa besar pada suatu hari nanti, seperti mana bumi Tuwau Orang Imorot telah diserang. Pada hemat saya proses in sudah bermula. Jika kita tidak berani merubah keadaan kita sendiri, malapetaka ini pasti terjadi. Ini dijanjikan nabi. Tiada sesiapa yang boleh disalahkan kecuali masyarakat Islam sendiri kerana tidak berjaya menjadi masyarakat contoh dan memegang amanah sebagai khalifah di muka bumi ini.
Begitulah cetusan permasalahan, cekauan kerisauan dan dorongan pemikiran yang melandasi penghasilan Tawassul. Izinkanlah saya menceritakan pengalaman menulisnya pula.
Renungan terhadap intipati Tawassul bermula semasa saya menunaikan haji di Tanah Suci. Ketika itu kota New York juga baru mengalami tragedi 11 September.
Kota Makkah dan Madinah telah membuka mata dan meyakinkan saya tentang peranan hidup berpandukan fakta dan kesan sejarah, tetapi sebaik saja saya melangkah ke Jeddah kesan sejarah itu mula pudar. Maka timbul pertanyaan muatan apakah dari sejarah yang harus saya bawa pulang sebagai penyemat jiwa dan pengukuh langkah? Bagaimanakah pula reaksi dan pegangan agama saya terbit dari tragedi dan keganasan yang menuding ke arah masyarakat Islam?
Selain daripada itu, di Makkah dan Madinah saya melihat sendiri amalan-amalan agama sebahagian jemaah yang saya kira telah menyimpang dari ajaran murni tauhid. Semua ini berlaku walaupun berbagai peringatan dan tegahan telah dilaksanakan. Banyak papantanda seperti di tapak Bukit Tsur dan kuburan Baqi telah didirikan bagi mengingatkan jemaah akan kelencongan ini. Begitu juga risalah-risalah dalam pelbagai bahasa juga telah diberikan oleh pihak tuanrumah. Tetapi amalan-amalan yang meragukan ini tetap terjadi. Dari segi kerohanian amalan-amalan tawassul ini mengganggu ketenteraman jiwa saya.
Setelah saya pulang ke tanahair khabar tentang kejayaan saintis mengklon binatang ternakan telah tersebar luas. Kiranya manusia telah melangkah jauh dan perlahan-lahan mengambil peranan mirip 'pencipta'. Saya fikirkan jika manusia telah berupaya 'mencipta', peranan Tuhan dalam kehidupan manusia akan semakin pudar. Dasar etika Islam yang berpandukan aksiom manusia akan menerima pembalasan di akhirat menurut amalannya di dunia juga tergoncang jika manusia boleh diperpanjangkan umurnya atau manusia yang mati itu boleh dihidupkan semula melalui kemajuan sains. Jelas kemanusiaan dan Islam sendiri berada di persimpangan.
Dari sudut kebudayaan berita tentang pameran tamadun Islam yang singgah di negara Brunei Darussalam mengusik jiwa saya. Saya tergamam membaca liputan mengenai seutas janggut nabi yang dipamerkan bersama artifak-artifak lain. Ketegunan saya serupa seperti yang dirasakan ketika menziarahi makam sucinya di Madinah.
Pada masa yang sama timbul pertanyaan di benak saya. Adakah itu saja yang tinggal dari tamadun suci kita? Setakat pameran dan rujukan?
Maka timbullah semacam katarsis dan sintesis dalam benak dan dada saya untuk menggabungkan pengalaman mental dan perayauan spiritual saya dalam sebuah novel yang menalikan kemajuan sains terkini, kesucian warisan dan kehebatan institusi agama.
Pada mulanya, saya berasa agak berat meneruskan penerokaan saya itu kerana takut dilabel sesat atau murtad seperti penulis Salman Rushdie melalui Satanic Versesnya. Kemungkinan ini terjadi adalah besar kerana saya akan menjelajahi daerah yang dianggap terpelihara.
Seperti tokoh Hasyr dalam Tawassul saya mungkin dituduh telah meniru atau mencemar sejarah sakral itu. Tambahan pula dalam cerita ini saya telah mencipta tokoh yang merupakan klon nabi. Pasti ini mengundang tengkarah kerana mungkin dianggap telah menggugat institusi kenabian lantas menggoncang akidah pembaca. Mungkin juga saya dituduh mencipta nabi palsu. Itulah risiko yang saya hadapi.
Pada masa yang sama suara hati saya mendesak agar bersifat berani demi perkembangan ilmu dan sumbangan pemikiran. Juga timbul sedikit kegirangan terbit dari penemuan dan penyerapannya dalam bentuk sastera.
Rujukan saya pada sains genetik dan proses pengklonan membuka kemungkinan bahawa pencetakan semula baka manusia paling suci di dunia ini boleh terjadi biarpun prosesnya belum mencapai tahap kesempurnaan ketika ini. Persoalan utama yang timbul ialah sama ada manusia replika itu boleh menghidupkan semula sejarah suci tersebut? Adakah pembentukan semula manusia biologi menjamin perulangan peranan manusia sejarah? Penyelidikan sains sejauh ini menjelaskan bahawa kemungkinan itu adalah tipis. Tetapi dalam sastera, pengulangan sejarah itu boleh saja terjadi dan masuk akal, kerana sastera melayani kemungkinan dan pandangan futuristik.
Namun demikian, itu bukanlah isu utama yang ingin saya ketengahkan dalam Tawassul. Kemungkinan pengklonan nabi hanyalah kaedah bagi memantapkan logika penceritaan dan membuka pemikiran kita terhadap kesan sains dan teknologi pada penghayatan agama. Seperti yang diterangkan di atas, isu pokok yang ingin saya jadikan renungan ialah perihal penafsiran dan penerimaan sejarah.
Banyak lagi ilmubantu yang saya rujuk bagi memantapkan jalan cerita dan alur pemikiran dalam Tawassul. Antara lain saya telah berjinak-jinak dengan ilmu botani dan memantapkan pendirian tentang jenis tawassul yang diterima dalam Islam. Saya juga telah meneliti kitab maulid dan dibaie untuk menikmati kesan puitik dan memahami kecintaan mereka yang mengamalkannya. Begitu juga saya telah menyusuri ikhtisar ilmu epistemologi untuk memahami sandaran dan jangkauannya.
Dari segi teknik saya telah mencuba kaedah monolog dalaman bagi mengembangkan cerita. Setelah menulisnya saya merasakan diri saya seperti tokoh Syan dalam Tawassul yang memulakan pencariannya dengan harapan, dan berakhir dengan penemuan yang kiranya telah mengundang banyak lagi pencarian. Kiranya jalan ini tiada hujungnya.
Kesan utama yang saya dambakan dari pembaca adalah kesentakan jiwa dan kegugahan minda agar pembaca dapat memikirkan bersama persoalan yang agak genting ini. Saya rasakan Islam sedang menghadapi cabaran hebat sekali lagi. Kewujudannya sedang digugat. Islam kiranya telah menjadi asing seperti ketika ia bermula.
Jika karya ini dapat dianggap sebagai seni, itu adalah kelebihan yang saya senangi. Saya sebenarnya sedang mencari suara saya sendiri.
April 2003
No comments:
Post a Comment