MILIK SIAPA BUMI YANG SATU INI
Saya akan menjejaki proses kreatif Satu Bumi (S'pura, Pustaka Melayu, 1998) secara terperinci. Proses kreatif tersebut adalah sebahagian daripada nafas kehidupan saya.
Pada suatu petang, anak perempuan saya yang berumur lapan tahun, pulang dari sekolah lalu menangis dengan tiba-tiba. Esakannya menghiris jantung saya kerana saya dapat merasakan bahawa dia betul-betul mengalami semacam pergulatan batin. Bila saya mengajaknya berbicara dia memeluk saya dengan erat. Saya membiarkannya mengalirkan airmata seketika. Tanpa dipelawa dia tiba-tiba berkata: “Adakah saya benar-benar orang Melayu, ayah? Kawan-kawan memanggil saya Cina di sekolah.”
Saya tersentak sebentar dan memandang wajahnya yang kuning langsat seperti ibunya, sambil mengesat airmata yang membasahi pipinya. “Adakah saya Cina, ayah?” Saya tersenyum lantas menjawab, “ Tidak sayang, kau keturunan Melayu.” Jawapan itu spontan tetapi jelas belum beres.
Memang saya mendaftarkan keturunannya sebagai Melayu di surat lahirnya. Tetapi saya juga akur isteri saya bukan Melayu tulen. Ibu isteri saya berketurunan Cina. Khabarnya, ibu mertua saya itu telah diserahkan keluarganya kepada keluarga Melayu ketika pemerintahan Jepun dulu. Bapa mertua saya itu pula berdarah campuran Melayu dan Jepun. Saya sendiri berketurunan Jawa dan Melayu. Maka anak saya keturunan apa ya?
Persoalan itu menguasai benak saya lalu merebak dan bercabang. Adakah darah yang menentukan keturunan? Atau budaya yang mencorakkannya? Adakah ia penting untuk kesejahteraan hidup manusia? Adakah keturunan menentukan jatidiri dan kemanusiaan seseorang? Saya jadi bingung. Mengapakah persoalan demikian menjadi bertambah berat bila ia melibatkan darah-daging sendiri?
Saya mengutarakan persoalan itu kepada isteri saya dengan harapan jawapannya dapat menyelesaikan dilema anak tersayang. Saya bertambah khuatir jika persoalan ini tidak ditemukan jawapannya, akan menjejaskan pembentukan jiwa dan masa depan anak saya itu. Isteri saya tersenyum sambil menghulurkan draf tesis Phdnya yang berjudul “Tren Kepimipinan Politik Melayu” kepada saya lantas menyuruh saya menyemaknya. Saya agak tersinggung kerana permintaannya seolah-olah memaksa saya melupakan persoalan dasar yang mengganggu benak saya ketika itu. Apakah fungsi kepimpinan politik dalam menentukan keturunan, jatidiri, budaya, perkembangan jiwa dan masa depan seseorang? Saya tergerak berfikir isteri saya itu kurang peka terhadap kerunsingan yang saya alami.
Tetapi kegusaran itu perlahan-lahan bertukar menjadi kesyukuran kerana sebahagian daripada pertanyaan yang berserabut di dalam benak saya itu tiba-tiba terlerai, setelah saya menyelongkar lembar demi lembar tesis akademiknya itu. Itulah hikmah seorang isteri. Dia lebih memahami.
Saya petik sedikit buah fikir yang menjadi asas tesisnya: “Kebudayaan politik merangkumi sikap, kepercayaan dan perasaan bersangkutan dengan politik yang dialami sesebuah masyarakat pada masa tertentu. Kebudayaan politik ini telah dibentuk oleh sejarah masa silam masyarakat tersebut yang melibatkan kegiatan sosial, ekonomi dan politik. Ia boleh menentukan perlaksanaan kehidupan dan masa depan masyarakat tersebut. Gagasan kebudayaan ini tercipta, dihayati dan dipadankan dengan kehidupan sehari-hari setiap ahli masyarakat tersebut. ” (Sukmawati Sirat; Tren Kepimpinan Politik Melayu; Universiti South Carolina, hlm. 7-8)
Saya justeru enak berbincang dan berdebat dengannya. Tesis isteri saya itu memberi perspektif baru bahawa kebudayaan dan jatidiri sesebuah masyarakat itu amat bergantung pada kepimpinan politik. Selama ini saya hanya melihatnya dari perpektif perkembangan seni, budaya, mitos, adat istiadat dan tatasusila.
Saya juga teringat dan mengemas kembali pembacaan saya tentang rangka-rangka pencerakinan sejarah, sosiologi dan psikologi dari karya-karya Ibn Khaldun, Karl Marx, Erich Fromm, Karl Mannheim, Albert Schweitzer, Ortega Y Gasset, Al Ghazali, Iqbal, Sigmund Freud dan Karl Jung. Karya-karya ini melengkapkan pemahaman saya terhadap asas dan ciri-ciri utama dalam pembentukan kebudayaan dan jatidiri seseorang.
Persoalan yang dihadapi anak saya telah menjadi persoalan saya sendiri, malah tidak keberatan saya menyatakan, persoalan masyarakat yang saya wakili. Siapakah kita sebenarnya?
Tesis Phd isteri saya itu menyentuh pergolakan siasah pulau selatan dari kemerdekaan hingga ke tahun sembilan puluhan. Ia juga mengimbas kesan pemerintahan Jepun ke atas politik Melayu setempat. Tesis itu cuba mengesan tren kepimpinan politik yang menyambut tuntutan masyarakat di dalam menghadapi kehidupan sosial dan ekonomi yang berubah-ubah.
Terdapat seorang tokoh yang disorot di dalam tesis tersebut, yang begitu ketara dalam perkembangan politik di pulau ini. Penglibatannya bermula sebelum pemerintahan Jepun hingga ke akhir tahun lapan puluhan. Tokoh politik itu baru juga meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya dan riwayat hidupnya telah pun dirakamkan dalam sebuah buku, hasil gandingan tulisan seorang penyair/pelukis dan seorang bekas wartawan.
Saya kembali dikuasai persoalan demi persoalan setelah habis membaca kembali riwayat hidup tokoh itu. Kisah hidupnya juga mengandungi adegan-adegan yang menarik dan subur untuk dijadikan semaian cerita. Terdapat kelucuan, kesedihan, perjuangan, kesan-kesan tragis dan belaian takdir yang menaburkan benih-benih cerita yang menimbulkan kesan pathos.
Pada masa yang sama seorang teman pensyarah di universiti di pulau ini ada meminjamkan buku yang mengisahkan penglibatan orang Melayu dalam perjuangan politik golongan kiri di Tanah Melayu. Saya agak terperanjat akan pendedahan bahawa ramai juga orang Melayu dari berbagai lapisan masyarakat yang berganding bahu dengan orang Cina dalam pergerakan kiri itu. Timbul persoalan apakah yang mendorong mereka mengenepikan keturunan demi perjuangan ideologi? Teman itu ada pernah juga membincangkan esei akademiknya yang menyorot nasib Orang Seletar yang memaut kehidupan di pinggir Selat yang memisahkan pulau ini dengan tanah Semenanjung. Khabarnya, sehingga tahun-tahun lapan puluhan Orang Seletar itu belum diberi status kerakyatan biarpun mereka adalah pribumi rantau ini. Justeru apakah yang menjadi kriteria pemilihan kerakyatan dan pembahagian hak? Bumi ini sebenarnya milik siapa?
Saya juga teringatkan lawatan saya ke pulau Penyengat beberapa ketika dulu yang menggegarkan tanggapan dan pemahaman saya terhadap sejarah dan asal-usul kerajaan Melayu di pulau selatan ini. Timbul rasa kecewa terhadap tindak-tanduk mementingkan diri sendiri yang telah mengakibatkan penukaran haluan sejarah sesebuah masyarakat. Terasa juga sakitnya hati akibat tercucuknya jarum siasah di dada masyarakat serumpun. Ke manakah terlontarnya kebijaksanaan dan kedaulatan kepimpinan yang menjadi kebanggaan sejarah? Adakah penjajah yang berperanan dan meraih keuntungan itu dari bangsa beradab atau biadab?
Kisah-kisah rusuhan terbit dari adegan gadis di biara, mogok pekerja bas dan perarakan maulud yang mewarnai sejarah pulau ini juga meninggalkan parut yang hodoh pada sosok keperibadian masyarakat. Telah lenyapkah ketenangan jiwa dan minda sehingga dinding ketahanan masyarakat menjadi rapuh?
Secara kebetulan kempen penyedaran terhadap sejarah pulau ini juga dilancarkan oleh sebuah kementerian di sini. Inti serta perutusan yang terserlah dari kempen itu ada kalanya bercanggah dengan pembacaan dan tanggapan saya sendiri terhadap sejarah yang termaktub dan sedang ditulis kembali. Maka terjadilah dialog yang bukan saja menarik tetapi menggugat kesedaran akan erti kejujuran dan kebenaran.
Justeru bertambah luas dan berat jaringan persoalan yang bertebar di kepala saya. Gagasan dan pertanyaan berlompat-lompatan dan kadang-kadang berjuntai-juntai di tangkai akal dan hati seolah-olah memujuk saya agar memetiknya. Ia telah pun menyangkut persoalan kebudayaan, agama, keturunan, tanahair, hak, kuasa, pembelotan, kerakusan, kekejaman serta keadilan. Ia minta dilayani, dikupas dan dipersembahkan dalam perspektif yang segar. Dan ia begitu relevan dengan pertanyaan peribadi anak saya itu. Tanpa disedari anak saya itu telah menjadi guru saya.
Terasa kedalaman dan keluasan kemanusiaan dari persoalan-persoalan berat yang telah terbenam di dasar sumur jiwa. Kerana telah lama terpendam ia membuak dan melimpah ke dalam bejana cerita. Pengalirannya tidak dapat dibendung lagi.
Dari urutan sejarah peribadi dan pergolakan hidup masyarakat sebelum perang Jepun hingga ke zaman kemerdekaan, saya menatang imaginasi sehingga terdorong menghasilkan Satu Bumi dalam tempoh satu setengah tahun. Saya menenun hamparan sejarah yang ternyata berat dan menggugat itu dengan seutas kisah cinta yang tidak kesampaian agar novel itu dapat mengapung dalam khayalan dan memaut hati pelbagai lapisan masyarakat.
Kehidupan saya di kampung semasa kecil menjadi latarbelakang cerita. Kisah-kisah sedih dan lucu yang saya alami menjadi rencah peristiwa. Penglibatan peribadi, secara sampingan, membuat cerita ini lebih berakar selain dihiasi bunga-bunga imaginasi.
Dari segi ketukangan saya dipengaruhi disiplin senibina yang telah menjadi kerjaya selama lebih kurang sepuluh tahun. Saya memulakannya dengan berpandukan tema, seperti saya berkemudikan konsep dalam lakaran bangunan. Tema itu saya biarkan mendak di sanubari agar ia teserap sepenuhnya dalam dasar kreativiti. Dari gagasan utama itu saya membina plot cerita berurutan dengan perjalanan sejarah dan cabangan idea, serupa saya melakarkan bangunan mengikut teknologi pertukangan dan bahan-bahan bangunan yang sesuai.
Saya pacakkan asas cerita seperti saya tegakkan tiang seri rumah. Saya letakkan pintu masuk dan jendela cerita agar pembaca dapat memilih untuk masuk secara rasmi atau menjenguk keluar bila-bila masa. Saya tentukan adegan klimaks dan unsur kejutan di balik jalan cerita yang bersahaja, seperti saya pastikan di balik pengaliran udara yang segar, ada rembasan angin dingin melalui rekahan dinding yang tidak terjangka. Saya tebarkan kesan misteri dan suspen seperti saya menjemput kabus dan bayang pada lorong-lorong kelam yang memerlukan keberanian dan penerokaan jiwa. Saya adakan ruang untuk tanggapan umum dan sudut renungan peribadi. Saya pastikan ada jubin falsafah untuk bertapak dan dinding ilmu untuk sandaran. Dan saya utamakan kejelasan arah agar pengunjung tidak akan sesat di dalam kamar-kamar cerita. Saya tebarkan bumbung perutusan agar pembaca diteduhi kesedaran. Saya adakan ruang untuk menambah dan menyambung cerita agar ia hidup di dalam imaginasi dan kesedaran pembaca seperti saya tentukan ada tapak untuk perluasan bangunan.
Secara artistik, saya mengibaratkan Satu Bumi seperti sebuah lukisan impressionistik, dengan calitan kilas dan tegas berus yang lebar dan lembut. Ada warna merah yang garang, warna api dan amarah; warna hitam yang penuh rahsia dan kadang-kadang kelihatan hodoh; dan carik-carik putih serta kuning yang menyambut cahaya kebenaran dan keagungan kemanusiaan. Latarbelakangnya adalah warna perang dan hijau muda, warna tanah dan kehidupan.
Kesan yang saya utamakan adalah tanggapan dan kerasaan serta-merta terhadap intisari cerita. Mudah-mudahan kesan serta-merta itu dapat menyentak, mencuit lalu menjemput pembaca menyeduk pengalaman sendiri, mencari makna yang berkait dan menalikannya dengan penghayatan terhadap gagasan-gagasan kemanusiaan yang murni dan agung.
Terdapat selitan butir-butir maklumat yang janggal dari segi urutan waktu dan keserasian fakta. Tetapi saya pastikan ‘kesilapan’ itu tidak melonggarkan jalan cerita atau meleburkan keampuhan makna dan perutusan. Sebenarnya, ia disengajakan untuk mengingatkan pembaca bahawa buku ini adalah cereka dan bukannya kronikal sejarah.
Setakat ini, sambutan yang saya terima dari pembaca agak menggalakkan. Nampaknya, Satu Bumi telah menyentuh hati mereka yang pernah mengalami sebahagian daripada kisah-kisah yang terjalin di dalamnya. Malah ada yang tergerak menyambung cerita yang terdedah di dalamnya. Walaupun jawapan yang saya cari belum ditemui secara muktamad dan sepenuhnya, saya lebih mengerti bahawa hidup adalah pencarian yang tidak akan berakhir. “Kenikmatan adalah keupayaan menghayati sedetik kedamaian di dalam hingar-bingar kehidupan.” (Satu Bumi; hlm. 164) Oleh kerana itu, saya terhutang budi kepada anak-anak serta isteri dan amat bersyukur terhadap Tuhan.
Julai 1999
No comments:
Post a Comment