Saturday, February 11, 2012

Ucapan Anugerah Tun Seri Lanang 2009

Bismillahirrahmanirrahim,
Salam sejahtera Pemangku Menteri Lui Tuck Yew, Assalamualaikum Encik Hawazi Daipi, Encik Masagos Zulkifli, rakan-rakan serta hadirin dan hadirat yang saya hormati:
Kalau nak jadi anak jantan, jadilah anak jantan yang ‘gentleman’. Jika perlu, ikut teladan Mail Mau Kawin yang berpandangan jauh biarpun serba kekurangan. Jangan jadi pemimpin
cengeng seperti Muhammad Hamzah. Jadilah peribadi waja seperti Syarifah Faizah. Terima kasih Tun Muhammad Ariff Ahmad.

Kalau nak berjuang dalam Dunia Di Sebalik Dunia, bermimpi panjanglah seperti Penyair yang melayangkan impian dan harapan di balik Awan Putih biarpun terpaksa menghidu Bunga Pahit. Ini nasi yang kusuap adalah bekal perjuangan selagi hayat dikandung badan.
Terima kasih almarhum Tun Masuri S. N.

Kalau nak bersuara dan mempertahankan hak, berakrablah dengan Tiga Lelaki. Jika perlu, menyendirilah seperti Pak Suleh yang sedar bahawa tanpa sebarang pembelaan, Penghulu pun akan hilang segala-galanya dan Subuh akan hilang Senjanya. Terima kasih Tun Suratman Markasan.

Memang hidup Sekadar Pengisi Ruang, namun usah dilupakan pesanan Empat atau sebuah tanda titik pun ketika mengungkapkan lukisan hidup yang cermat dan santun. Terima kasih Tun Aliman Hassan.

Usah Berburu Di Padang Datar. Carilah Fragmen kelembutan serta keindahan alam dan seni pada Delima Merah yang tumbuh di Desa Ini Hatiku. Namun, renungilah pengajaran daripada amuk Wak Cantuk. Terima kasih Tun Abdul Ghani Hamid.

Kalau hendak membela hak, usah berkelakuan seperti Mondok tetapi harus berani dan gagah seperti Pemuda yang berjuang Dalam Keasingan. Selamilah Danau Sukma untuk menembusi Batas Langit sebelum Rerama Patah Sayapnya. Terima kasih Tun Mohamed Latiff Mohamed.

Betapa pun Nyanyian Rindunya, Si Anak Geylang Serai, penulis perlu berideologi dan cekal seperti Imam ketika mengharungi Arus Teater kehidupan. Dakapilah cinta Mona yang tulus dan hangat. Terima kasih Tun Djamal Tukimin.

Tidak lupa Tun Harun Aminurrashid, Tun Noor S I, Tun Mahmud Ahmad, Tun Hamzah Hussein dan Tun Haron Abdulmajid. Perjalanan kalian telah berlalu dalam bingkisan Anumerta, namun semangat kalian masih membara di dadaku.

Kepada barisan Tun Sri Lanang sekalian, terima kasih atas jejak dan arah. Saya telah Memeluk Gerhana serta menyusur Rawa kehidupan sebelum mendaki Menara perjuangan. Di hadapan Kiswah saya telah berTawassul dan berMunajat Sukma hanya kepada Allah.  Saya akan menyambung langkah yang kalian mulakan, berbekalkan Sketsa Minda, firasat serta wawasan anak bangsa. Atas Nama Cinta, saya telah menimba Sumur Usia yang hampir menjangkau setengah abad ini, sebelum memulakan pelayaran untuk menjelajahi Satu Bumi, menyambung perjuangan kalian yang murni, demi meningkatkan martabat bangsa dalam dambaan Mardhatillah.

Terima kasih ayah dan almarhumah ibu. Terima kasih Sukma, Dhuha dan Iman. Kasih sayang kalian adalah sumsum dan penawar perjuanganku. Terima kasih Majlis Bahasa Melayu Singapura atas junjungan budi ini. Alhamdulillah, Tuhan Sekalian Alam.

No comments:

Post a Comment